12 April 2022

31 May 2018

Resipi - Kuih Raya tanpa perlu oven

Macamana dengan kuih raya? Buat ke beli? Ada kawan-kawan yang rajin nak buat tapi takde oven.

Meh aku share 5 resepi mudah buat kuih raya yang tak perlu ada oven pun. Cuma perlu dapur dan peti ais.

Kat bawah ni aku kongsi 5 resepi yer.  Boleh cuba..

1. Cornflakes salut coklat

Bahan-bahan:
1. Cornflakes
2. Coklat masakan (any brand,  tapi aku suka Beryls)
3. Cup kui

Cara membuat:
1.  Cairkan coklat masakan atas dapur,  boleh guna kaedah double boil.
2. Tuang cornflakes dalam mangkuk.
3. Tuangkan coklat yang dah cair ke dalam mangkuk mengandungi cornflakes.
4. Gaul rata dan masukkan dalam cup kertas guna sudu.
5.  Susun atas dulang,  masukkan dalam peti ais untuk sejukkan/keringkan coklat.
6. Susun dalam balang kuih.

2. Cornflakes sambal

Bahan-bahan:
1. Bawang holland
2. Cili kisar/boh
3. Ikan bilis
4. Kacang (ikut kacang kegemaran)
5. Cornflakes (Guna jenama Nestle sebab tebal dan rangup atau cornflakes madu)
6. Gula
7. Garam
8. Minyak masak

Cara-cara.
1. Gorengkan ikan bilis sampai garing dan toskan.
2. Blendkan bawang holland bersama cili kisar/boh.
3. Tumis bawang dan cili.
4. Masukkan gula secukup rasa.
5. Masukkan garam secukup rasa.
6. Tumis sampai jadi sambal kering.
7. Masukkan ikan bilis dan kacang,  gaul rata.
8.  Padamkan api dan masukkan cornflakes.  Gaul sampai rata sambal.
9. Simpan dalam balang,  tutup balang bila dah sejuk untuk elakkan lemau.


3. Choco ball


Bahan-bahan:
1. Cornflakes/bertih beras
2. Coklat masakan
3. Almond hancur

Cara membuat:
1. Cairkan coklat masakan atas dapur.
2. Hancurkan cornflakes.
3. Tuang coklat ke dalam cornflakes/bertih beras.
4. Kepal-kepal sehingga jadi bulat
5. Golekkan atas almond hancur.
6. Sejukkan sekejap dalam peti ais.
7. Susun dalam balang.

4. Crispy chocolate bar



Bahan-bahan:
1. Bertih beras coklat (beli di kedai bakery)
2. Coklat masakan

Cara-cara membuat:
1. Letakkan bertih beras dalam mangkuk.
2. Cairkan coklat atas dapur
3. Tuang coklat ke dalam mangkuk mengandungi bertih,  gaul rata
4.  Letak dalam loyang,  tekan bagi mampat
5. Sejukkan dalam peti ais selama 10 minit.
6. Potong bentuk segi empat, susun dalam balang.

5. Nutella bar

Bahan-bahan:
1. Nutella
2. Biskut marie
3. Coklat masakan

Cara-cara membuat:
1. Hancurkan biskut marie,  boleh guna dry blender.
2. Gaulkan biskut dengan nutella dalam mangkuk.
3. Ratakan dalam loyang dan tekap supaya padat.
4. Cairkan coklat atas dapur.
5. Tuang coklat ke atas adunan nutella tadi.
6.  Sejukkan dalam peti ais selama 30 minit.
7. Potong dan hidang.

No oven,  tak bermakna tak boleh buat kuih raya tau.


Kredit: Blog Mymellythoughts

28 May 2018

Apakah Surat Kuasa Wakil (Power Of Attorney - PA)

Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney) ialah suatu instrumen pelantikan wakil kuasa oleh Pemberi Kuasa kepada Penerima Kuasa untuk sesuatu tujuan tertentu.

Pemberian kuasa boleh dibuat secara am atau secara khusus dengan kuasa yang diberikan sama ada kuasa boleh batal atau kuasa tidak boleh batal mengikut keperluan/keadaan masing-masing.

Pelantikan Wakil Kuasa/Penerima Kuasa perlu dinyatakan dengan jelas dan terang di dalam dokumen Surat Kuasa Wakil.

Siapa Yang Boleh Mendaftar Dokumen Surat Kuasa Wakil:


Sama ada Pemberi Kuasa atau Penerima Kuasa mendaftar sendiri atau diwakili oleh Peguam dalam urusan pendaftaran dengan mengemukakan permohonan pendaftaran dokumen tersebut di kaunter Pejabat Pendaftaran Surat Kuasa Wakil, Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur atau mana-mana Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Bahasa Surat Kuasa Yang Boleh Didaftarkan:


Di bawah Akta suatu Surat Kuasa Wakil yang ingin dan layak didaftarkan, hendaklah di dalam versi Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Inggeris.

Akta juga memberi kelonggaran kepada penggunaan lain-lain bahasa dengan syarat, naskah Surat Kuasa Wakil itu wajib disertakan bersama-sama terjemahannya ke dalam Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Inggeris dan hendaklah disahkan oleh Jurubahasa yang bertugas di Mahkmah atau melalui Akuan Berkanun (Statory Declaration) daripada mereka yang berkelayakan untuk menterjemah daripada bahasa di mana instrument itu itu ditulis.

Pengesahan Tandatangan/Akusaksi Ke Atas Surat Kuasa Wakil:


Ditandatangani di Malaysia Barat

Jika Surat Kuasa Wakil dilaksanakan di Malaysia Barat, ia hendaklah disahkan oleh mana-mana pegawai berikut:

  • Majistret
  • Jaksa Pendamai
  • Pentadbir Tanah
  • Penyaksi Awam
  • Pesuruhjaya Sumpah
  • Peguambela dan Peguamcara yang beramal di Malaysia Barat
  • Pegawai Syarikat yang menjalankan tugas-tugas bank yang didaftarkan di bawah Undang-Undang bertulis Malaysia.

Ditandatangani di Luar Malaysia Barat

Jika Surat Kuasa Wakil tersebut dilaksanakan di luar Malaysia Barat, ianya hendaklah disaksikan oleh mana-mana pegawai berikut:

  • Penyaksi Awam
  • Pesuruhjaya Sumpah
  • Mana-mana Hakim Majistret
  • Konsul British atau Timbalan Konsul
  • Wakil kepada Ratu Britain
  • Mana-mana Pegawai Konsular Malaysia di luar negara
  • Pesuruhjaya Haji, jika dilaksanakan di Saudi Arabia
  • Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Agong Singapura atau pegawai syarikat yang menjalankan tugas-tugas bank di Republik Singapura dan diperbadankan oleh dan di bawah Undang-Undang bertulis Republik berkenaan.

Bagaimana Bentuk Pengesahan Harus Dibuat:


Seksyen 3 dan Jadual Pertama Akta Surat Kuasa Wakil 1949 memperuntukkan bentuk pengesahan adalah seperti berikut:

Jika dilaksanakan oleh Individu

Dengan menggunakan format pengesahan di Borang 1, Jadual Pertama Akta.

Jika dilaksanakan oleh Syarikat

Dengan menggunakan format pengesahan di Borang 11, Jadual Pertama Akta.

Setiap Surat Kuala Wakil yang lengkap seharusnya disetemkan terlebih dahulu di Pejabat Hasil dan Setem di negeri-negeri Malaysia Barat sebelum dikemukakan untuk pendaftaran di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Malaya.

Cara Pendaftaran Dokumen Surat Kuasa Wakil:


1) Dua(2)set dokumen Surat Kuasa Wakil perlulah disediakan:
a) Satu(1)salinan asal dokumen Surat Kuasa Wakil (untuk simpanan sendiri; dan
b) Satu(1)salinan pendua dokumen Surat Kuasa Wakil(untuk difailkan dan diserahkan ke mahkamah)

2) Penurunan tandatangan Pemberi Kuasa mestilah disaksikan oleh pihak-pihak tertentu:

a) di Semenanjung Malaysia;
i. Majistret;
ii.Jaksa Pendamai;
iii.Pentadbir Tanah;
iv.Notari Awam;
v.Pesuruhjaya Sumpah;
vi.Peguambela dan Peguamcaracara; atau
vii.Pegawai bagi syarikat yang menjalankan tugas-tugas bank yang berdaftar di bawah undang-undang bertulis di Semenanjung Malaysia.

Dokumen Surat Kuasa Wakil yang disempurnakan oleh saksi-saksi diatas mestilah dalam borang yang diperuntukkan dalam Akta Surat Kuasa Wakil 1949 seperti berikut;

BORANG I : Format Pengesahan untuk individu
BORANG II : Format Pengesahan untuk Syarikat

b) di luar Semenanjung Malaysia:
i.Notari Awam;
ii.Pesuruhjaya Sumpah;
iii.Mana-mana Hakim;
iv.Majistret;
v.Konsul British atau Naib-Konsul British;
vi.Wakil kepada Baginda atau Ratu Britain;
vii.Konsul Malaysia;
viii.Bagi dokumen yang disempurnakan di Arab Saudi oleh Pesuruhjaya Ziarah Malaysia;
ix.Bagi dokumen yang disempurnakan di Singapura oleh Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Agong Singapura; atau
x.Bagi dokumen yang disempurnakan di Singapura oleh Pegawai bagi syarikat yang menjalankan tugas-tugas bank di Republik Singapura dan diperbadankan menurut mana-mana undang-undang bertulis Republik itu.

Akta Surat Wakil 1949 tidak memperuntukkan format khas yang perlu diikuti, tetapi suatu bentuk pengesahan penyaksian oleh saksi-saksi di atas perlulah disertakan.

Pembatalan Surat Kuasa Wakil:


Melalui Notis Pembatalan

Setiap instrumen yang memberi kuasa wakil di mana salinan telah disimpan atau didaftarkan di pejabat Penolong Kanan Pendaftar menurut Akta hendaklah terus berkuatkuasa sehinggalah:

  • Notis bertulis mengenai pembatalannya diterima daripada pemberikuasa
  • Notis bertulis mengenai pelepasannya diterima daripada penerima kuasa
  • Pemberi atau penerima kuasa meninggal dunia
  • Penerima kuasa menjadi tidak siuman
  • Pemberi kuasa telah diisytiharkan sebagai tidak siuman
  • Pemberi kuasa diisytiharkan bankrap

Setiap notis pembatalan hendaklah difailkan bersama salinan asal Surat Kuasa Wakil yang hendak dibatalkan. Setiap pendaftaran pembatalan akan dikenakan bayaran sebanyak RM10/- bagi tujuan pemprosesannya.

Surat Kuasa Wakil Kekal:


Surat Kuasa Wakil kekal (Irrevocable Power of Attorney) ialah di mana dinyatakan samada Surat Kuasa Wakil tersebut “Kekal” atau “Tidak boleh terbatal untuk tempoh tertentu” (Irrevocable for fixed time), tidak akan terbatal dengan kematian pihak-pihak, tidak siuman atau kebankrapan dan sebagainya.

Jumlah Bayaran Untuk Pendaftaran Dokumen Surat Kuasa Wakil Dan Dokumen Pembatalan Surat Kuasa Wakil:


Pembayaran bagi pendaftaran dokumen Surat Kuasa Wakil dan dokumen Surat Kuasa Wakil adalah seperti berikut:

a) Pendaftaran dokumen Surat Kuasa Wakil:
Pendaftaran RM25
Deposit RM10
Setiap helaian sebelum bahagian penyempurnaan RM2

b) Pendaftaran dokumen pembatalan Surat Kuasa Wakil:
Pendaftaran RM10
Setiap helaian sebelum bahagian penyempurnaan RM2

Peringatan


Risalah ini hanya maklumat secara am mengenai Surat Kuasa Wakil dan cara mendaftarkannya seperti yang digambarkan adalah secara ringkas serta tertakluk kepada pindaan akta dan peraturan semasanya.

Menganalisa Saham : Fundamental Analysis vs Technical Analysis


Dalam pelaburan saham, terdapat dua pecahan aliran menganalisa iaitu aliran Fundamental analysis dan aliran Technical analysis. Kedua-duanya memainkan peranan yang penting bagi seorang pelabur mahupun pedagang saham. Kali ini saya akan berkongsi secara ringkas tentang kedua-dua aliran menganalisa ini.

Fundamental Analysis

Pengamal analisa fundamental mencari value sebenar syarikat dengan mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi perniagaan dan peluang syarikat itu di masa akan datang. Faktor-faktor yang mempengaruhi terbahagi kepada dua kategori iaitu faktor kuantitatif dan faktor kualitatif.
Faktor kuantitatif berkait rapat dengan penyata kewangan syarikat. kita akan mengukur prestasi syarikat dengan nombor yang terdapat didalam penyata kewangan. Soalan-soalan yang biasa kita akan dengar ketika mengkaji faktor kuantitatif antaranya ialah:
  1. Adakah keuntungan syarikat meningkat dalam masa 5 tahun ini.
  2. Berapakah ratio Debt-to-Equity bagi syarikat ini.
  3. Berapakah jumlah aset syarikat ini.
Faktor yang ke dua ialah faktor kualitatif di mana faktor ini di kaji dengan perkara yang tidak dapat dikira dengan nombor seperti brand, key management team & lain-lain. Soalan-soalan yang biasa kita akan dengar ketika mengkaji faktor kualitatif antaranya ialah:
  1. Siapakah CEO syarikat ini
  2. Produk syarikat ini terkenal?
Dengan mengkaji kedua-dua faktor ini, para pengamal analisa fundamental dapat mengenal pasti value syarikat & membuat keputusan samada syarikat ini bagus untuk di beli atau tidak.

Technical Analysis

Pengamal analisa teknikal mengkaji Market action untuk meramal pergerakan harga saham di masa akan datang. Pengamal analisa teknikal menggunakan harga, volume & open interest (Derivative) sebagai alat untuk meramal pergerakan harga pada masa akan datang.
Sebagai pengamal analisa teknikal, mereka berpegang teguh kepada falsafah analisa teknikal iaitu:
  1. Market discount everything.
  2. Price move in trend.
  3. History repeat itself.
Dengan memahami falsafah ini, pengamal analisa teknikal dapat mengenal pasti trend saham, meramal pergerakannya seterusnya memberi keputusan bila waktu yang sesuai untuk membeli dan menjual saham tersebut.

Carta keputusan apabila kita menganalisa saham sebelum membeli
Fundamental (Syarikat apa) Technical (Bila) Keputusan
/ X Profit
X / Profit
/ / Profit
X X Rugi

Contoh situasi:
  1. Fifi seorang pelabur yang mengamalkan analisa fundamental. Selepas menganalisa syarikat A dengan menggunakan analisa fundamental, Fifi membeli tanpa melihat graf saham tersebut. Fifi berkemungkinan besar akan mendapat profit walaupun terpaksa menunggu lama.
  2. Fatiha seorang pedagang saham jangka pendek & sederhana. Selepas menganalisa syarikat A, Fatiha membeli dan menjual dengan berpandukan graf dan berkemungkinan memperolehi keuntungan ataupun meminimum kan kerugiankerana Fatiha tahu bila waktu untuk membeli dan menjual saham tersebut.
  3. Dengan menggabungkan kedua-dua aliran analisa, para pelabur & pedagang saham dapat memilih saham yang terbaik dan membeli & jual pada waktu yang paling sesuai.
  4. Jika para pelabur mahupun pedagang saham tidak melakukan analisa & membeli saham dengan membuta tuli, kebarangkalian untuk mereka RUGI amat lah BESAR. Ianya seperti berjudi di Bursa Malaysia.
Jika kita melihat carta di atas, ternyata dengan menggabungkan analisa Fundamental & Technical dapat menghasilkan keuntungan di samping dapat meminimum kan kerugian jika harga saham merudum.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua. Selamat melabur & berdagang.

Che’Fa
MsTA (UK), CFTe (USA)

Beza antara pentadbir harta, pemegang amanah dan wakil kuasa yang anda harus tahu


Ramai yang keliru tentang istilah Pentadbir Harta, Pemegang Amanah dan Wakil Kuasa (Power of Attorney).
Ketiga-tiganya mungkin nampak macam sama, tetapi hakikatnya ia berbeza dari segi maksud dan perlaksanaannya.
Kali ini saya ingin kongsian apakah perbezaan antara ketiga-tiga istilah tersebut supaya masyarakat tidak lagi keliru dan faham akan kedudukannya.

A. Pentadbir Harta

#1 Apa itu pentadbir harta?

Pentadbir harta merujuk kepada seseorang atau satu pihak yang dilantik sama ada oleh tuan tanah semasa beliau masih hidup tetapi hanya berkuatkusa setelah beliau meninggal dunia kelak, atau dilantik oleh pejabat pusaka kecil atau mahkamah untuk mentadbir dan menguruskan harta tuan tanah tersebut setelah beliau meninggal dunia bagi pihak waris simati atau pihak-pihak tertentu, sebagaimana yang diputuskan oleh pejabat pusaka kecil atau mahkamah, sehingga harta tersebut diserahkan secara sah berdasarkan undang-undang kepada waris-waris atau pihak-pihak tersebut.

#2 Kenapa Pentadbir Harta dilantik?

Biasanya Pentadbir Harta dilantik sekiranya semasa simati meninggal dunia terdapat waris-waris beliau yang masih bawah umur atau hilang upaya dari segi undang-undang untuk memiliki harta atau harta tersebut terdapat sesuatu sekatan tertentu yang mana perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ianya boleh diserahkan kepada waris atau pihak-pihak tertentu.

#3 Apa kedudukan Pentadbir Harta?

Kedudukan pentadbir harta hanyalah sekadar sebagai pengurus, pentadbir dan memegang amanah bagi pihak si mati sehinggalah harta tersebut diserahkan kepada waris yang sepatutnya atau sehingga kesemua pembahagian harta tersebut selesai.

#4 Apa hak Pentadbir Harta?

Pentadbir harta tidak ada hak pemilikan atau kepentingan terhadap harta yang ditadbirnya melainkan beliau sendiri adalah salah seorang waris yang berhak menerima harta simati tersebut. Ertinya beliau tidak ada kuasa secara otomatik untuk menjual atau memindahmilikkan harta tersebut kepada mana-mana pihak selain daripada waris-waris yang sah yang berhak menerima harta tersebut, melainkan ada suatu perintah daripada pejabat pusaka kecil atau mahkamah untuk berbuat demikian.

#5 Siapa yang boleh dilantik menjadi Pentadbir Harta?

Pentadbir Harta boleh dilantik sama ada di kalangan waris si mati itu sendiri atau pihak-pihak lain yang difikirkan sesuai oleh pejabat pusaka kecil atau mahkamah, misalnya Amanah Raya Berhad.

#6 Berapa ramai Pentadbir Harta boleh dilantik?

Pentadbir Harta boleh dilantik lebih daripada seorang dan boleh digantikan dengan pentadbir harta lain sekiranya pentadbir harta itu gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan amanah.

B. Pemegang Amanah

#1 Apa itu Pemegang Amanah?

Pemegang Amanah adalah seseorang atau satu pihak yang dilantik oleh tuan tanah semasa beliau masih hidup dan akan berkuatkuasa serta merta sebaik sahaja pelantikan pemegang amanah dibuat.

#2 Siapa yang melantik Pemegang Amanah?

Kebiasaannya Pemegang Amanah dilantik oleh tuan tanah itu sendiri untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab bagi pihak tuan tanah atau bagi pihak orang lain yang berkepentingan dengan tanah tersebut.

#3 Kenapa Pemegang Amanah dilantik?

Misalnya Pemegang Amanah boleh dilantik sekiranya tuan tanah ingin menghibahkan hartanya kepada anak-anaknya yang bawah umur atau pihak-pihak lain yang tidak layak dari segi undang-undang untuk memiliki harta tersebut, misalnya seseorang yang cacat dan sebagainya.
Pemegang Amanah juga boleh dilantik untuk tujuan menguruskan dan memegang amanah bagi pihak orang lain yang mempunyai hak pemilikan dan kepentingan terhadap tanah tersebut tetapi hak pemilikan tersebut tidak dapat didaftarkan di dalam geran akibat kekangan undang-undang dan sebagainya. Misalnya 5 orang pembeli dikalangan adik beradik atau rakan rapat berkongsi duit beli tanah pertanian berkeluasan 1 ekar untuk tujuan sama-sama uruskan urusan pecah lot. Memandangkan terdapat kekangan dari segi undang-undang yang mensyaratkan tanah pertanian hanya boleh dipindahmilikkan kepada satu nama sahaja untuk setiap 1 ekar, maka hanya salah seorang di kalangan 5 orang pembeli tersebut akan didaftarkan namanya di dalam geran. Dan 4 orang pembeli yang lain akan melantik pembeli yang namanya didaftarkan dalam geran tadi sebagai Pemegang Amanah sebagai instrument sementara sebelum geran individu berstatus bangunan dikeluarkan dan pindahmilik dibuat daripada pemegang amanah kepada pemberi amanah.

#4 Bagaimana nak pastikan Pemegang Amanah itu sah?

Untuk mewujudkan ikatan Pemegang Amanah yang sah, satu surat cara Ikatan Amanah akan ditandatangani oleh pemberi amanah dan pemegang amanah. Surat Ikatan Amanah tersebut akan didaftarkan di Pejabat Tanah. Untuk melindungi hak dan kepentingan pemberi amanah atau pihak yang berkepentingan melalui Ikatan Amanah tersebut, mereka boleh memohon Pentadbir Tanah memasukkan Kaveat Amanah ke atas tanah tersebut.

#5 Apa kuasa Pemegang Amanah?

Sama seperti Pentadbir Harta, Pemegang Amanah juga tidak ada hak dan kuasa penuh terhadap hartanah tersebut. Ertinya Pemegang Amanah tidak boleh sewenang wenangnya menjual atau memindahmilikkan tanah tersebut kepada pihak-pihak lain melainkan dengan persetujuan daripada pemberi amanah itu sendiri.

C. Wakil Kuasa

Sumber gambar : kevindcarr.com.au
Sumber gambar : kevindcarr.com.au

#1 Apa itu wakil kuasa?

Wakil kuasa adalah seseorang yang dilantik oleh tuan tanah sebagai wakilnya yang sah untuk melakukan sesuatu perkara atau tanggungjawab tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh tuan tanah tersebut berkenaan dengan tanahnya itu.

#2 Apa kuasa wakil kuasa?

Wakil kuasa boleh mempunyai kuasa penuh (full power of attorney) atau terhad (limited power of attorney) bergantung kepada setakat mana kuasa yang diberikan oleh tuan tanah kepadanya.

#3 Apa kedudukan wakil kuasa? 

Kedudukan wakil kuasa ini adalah sama seperti seolah-olah dia adalah tuan tanah itu sendiri, tertakluk kepada kuasa kuasa yang diberikan oleh tuan tanah kepadanya.

#4 Bagaimana nak pastikan wakil kuasa itu sah?

Untuk mewujudkan ikatan wakil kuasa ini, satu Surat Wakil Kuasa akan ditandatangani oleh tuan tanah dan wakil kuasa dan ianya hendaklah didaftarkan di Mahkamah Tinggi dan Pejabat Tanah berkenaan. Wakil kuasa akan terikat untuk melaksanakan tanggungjawabnya bagi pihak tuan tanah mengikut kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya.

#5 Boleh ke kuasa wakil dibatalkan?

Kuasa-kuasa tadi boleh dibatalkan atau ditarik balik bergantung kepada jenis kuasa yang diberikan kepadanya. Wakil kuasa yang boleh dibatalkan atau ditarik balik dipanggil sebagai Revocable Power of Attorney, manakala Wakil kuasa yang tidak boleh dibatalkan atau ditarik balik dipanggil sebagai Irrevocable Power of Attorney.

#6 Apa hak wakil kuasa?

Tidak seperti Pentadbir Harta dan Pemegang Amanah, Wakil Kuasa mempunyai hak dan kuasa sama seperti hak dan kuasa tuan tanah ke atas tanah tersebut. Ertinya jika tuan tanah memberikan kuasa kepada wakil kuasa untuk menjual dan memindahmilkkan tanah tersebut kepada pihak lain, maka wakil kuasa tadi mempunyai kuasa tersebut sebagaimana yang dinyatakan dalam Surat Wakil Kuasa.

Kesimpulannya,
Pentadbir Harta, Pemegang Amanah dan Wakil Kuasa mempunyai bidang kuasa, tanggungjawab dan hak-hak tertentu. Walaupun kelihatan sama antara satu sama lain, dari segi konsep dan perlaksanaannya amat berbeza.
Justeru masyarakat perlu faham tentang perbezaan tersebut supaya tidak keliru dan dapat mengelakkan penyelewengan yang boleh berlaku melalui kuasa-kuasa yang diberikan tersebut.

Jenis-Jenis Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney (PA))



5 jenis surat kuasa wakil (Power of Attorney (PA)) dan kesannya yang anda harus tahu


Isu tentang PA ini banyak menimbulkan kekeliruan bukan sahaja kepada orang awam malahan kepada pengamal undang-undang juga.
Ramai yang memberikan PA kepada seseorang tanpa mengetahui pun apakah kesan PA tersebut kepada dirinya dan transaksi (kontrak) yang dimasukinya.
Ini sangat bahaya sebenarnya kerana apabila seseorang memasuki sesuatu surat wakil kuasa dengan seseorang yang lain, ia seolah-olah memberikan kuasa yang ada padanya berkaitan dengan sesuatu kepentingannya kepada orang lain.
Maka untuk merungkai kekeliruan tersebut, di sini saya senaraikan jenis-jenis PA dan kesan masing masing terhadap transaksi yang dimasuki tersebut termasuklah berkaitan dengan pembatalan PA tersebut.

#1 Surat Kuasa Wakil Terhad (Limited PA)

Merujuk kepada kuasa yang diberikan oleh Pemberi Kuasa (Donor) kepada Wakil Kuasa (Donee) untuk tujuan-tujuan tertentu dan terhad sahaja dalam tempoh masa tertentu dan terhad sahaja.
Apabila tujuan atau tempoh masa tersebut telah berlaku/ selesai maka berakhirlah kuasa yang diberikan itu. Dan PA tersebut dianggap terbatal secara automatik.
Misalnya Roy (Donor) memberi kuasa kepada Putra (Donee) untuk menanam pokok jagung di atas tanahnya untuk tempoh masa 10 bulan sahaja mulai daripada tarikh PA. Sebaik sahaja pokok jagung telah ditanam dan tempoh 10 bulan tersebut berakhir, maka PA tersebut dianggap berakhir dan terbatal.

#2 Surat Kuasa Wakil Tidak Terhad (Unlimited PA)

Merujuk kepada kuasa yang tidak terhad yang diberikan oleh Donor kepada Donee untuk tempoh masa yang tidak terhad ie; selama-lamanya.
Dalam kes Unlimited PA, kuasa yang diberikan tersebut dianggap akan tetap berkekalan selama-lamanya melainkan ianya ditarik balik oleh Donor dengan persetujuan Donee atau kuasa tersebut diserahkan semula oleh Donee kepada Donor atas kerelaannya atau sekiranya salah seorang daripadanya meninggal dunia, atau hilang ingatan atau disahkan bankrup.
Misalnya Roy (Donor) beri kuasa kepada Putra (Donee) untuk majukan tanahnya dengan sebarang bentuk tanaman sampailah ianya mengeluarkan hasil yang berpanjangan.
Maka selagi tanah itu dimajukan oleh Putra dengan apa jua jenis tanaman dan ianya mengeluarkan hasil, maka kuasa tadi dianggap akan tetap berkekalan melainkan ianya ditamatkan oleh Roy dengan persetujuan Putra atau kuasa tersebut diserahkan semula oleh Putra kepada Roy atau sekiranya salah seorang daripada mereka meninggal dunia atau tidak siuman atau bankrup.

#3 Surat Wakil Kuasa Boleh Batal (Revocable PA)

Merujuk kepada PA yang boleh dibatalkan oleh Donor pada bila-bila masa walaupun tanpa persetujuan daripada Donee.
Misalnya Roy (Donor) beri Revocable PA kepada Putra (Donee) untuk uruskan tanahnya. Maka Roy boleh pada bila-bila masa membatalkan PA tersebut walaupun tanpa persetujuan daripada Putra.

#4 Surat Wakil Kuasa Tidak Boleh Batal (Irrevocable PA)

Merujuk kepada kuasa yang diberikan oleh Donor kepada Donee yang tidak boleh sewenang-wenangnya dibatalkan oleh Donor melainkan dengan persetujuan Donee ataupun Donee menyerahkan semula kuasa tersebut kepada Donor dengan kerelaannya, atau sekiranya salah seorang daripadanya meninggal dunia, atau hilang ingatan atau disahkan bankrup.
Misalnya Roy (Donor) beri Irrevocable PA kepada Putra (Donee) untuk majukan tanahnya.
Maka kuasa tadi dianggap tidak boleh dibatalkan melainkan ianya ditamatkan oleh Roy dengan persetujuan Putra atau kuasa tersebut diserahkan semula oleh Putra kepada Roy atas kerelaannya atau sekiranya salah seorang daripada mereka meninggal dunia atau tidak siuman atau bankrup.

#5 Surat Wakil Kuasa Atas Balasan Yang Ada Nilai (PA For Valuable Consideration)

Merujuk kepada wakil kuasa yang diberikan oleh Donor kepada Donee tertakluk satu balasan yang bernilai yang diberikan oleh Donee kepada Donor.
Misalnya Putra bagi pinjam wang sebanyak RM20 ribu kepada Roy. Sebagai balasannya, Roy serahkan tanahnya dan beri kuasa kepada Putra untuk memajukan tanah tersebut dan segala hasilnya akan dijual oleh Putra sehinggalah selesai hutang tersebut.
Dalam kes PA sedemikian, ia dianggap tetap berkuatkuasa sehinggalah balasan tersebut sempurna keseluruhannya.
Untuk maklumat lanjut sila rujuk Seksyen 5, 6 & 7 Power of Attorney Act 1949.
Adakah sesuatu PA itu akan mengikat waris-waris kedua-dua belah pihak?
Bilakah kuasa tersebut dianggap bermula berkuatkuasa dan dianggap berakhir?
Adakah PA tersebut perlu didaftarkan dan apakah kesannya sekiranya ianya tidak didaftarkan?
Insya Allah saya akan kongsikan jawapannya dalam posting yang akan datang.
Moga perkongsian ini bermanfaat. Insya Allah.
Terima kasih,
SALKUKHAIRI ABD SUKOR 
Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

kredit: http://www.halalmoney.my/5-jenis-surat-kuasa-wakil-dan-kesannya-yang-anda-harus-tahu/