12 April 2022

28 May 2018

Beza antara pentadbir harta, pemegang amanah dan wakil kuasa yang anda harus tahu


Ramai yang keliru tentang istilah Pentadbir Harta, Pemegang Amanah dan Wakil Kuasa (Power of Attorney).
Ketiga-tiganya mungkin nampak macam sama, tetapi hakikatnya ia berbeza dari segi maksud dan perlaksanaannya.
Kali ini saya ingin kongsian apakah perbezaan antara ketiga-tiga istilah tersebut supaya masyarakat tidak lagi keliru dan faham akan kedudukannya.

A. Pentadbir Harta

#1 Apa itu pentadbir harta?

Pentadbir harta merujuk kepada seseorang atau satu pihak yang dilantik sama ada oleh tuan tanah semasa beliau masih hidup tetapi hanya berkuatkusa setelah beliau meninggal dunia kelak, atau dilantik oleh pejabat pusaka kecil atau mahkamah untuk mentadbir dan menguruskan harta tuan tanah tersebut setelah beliau meninggal dunia bagi pihak waris simati atau pihak-pihak tertentu, sebagaimana yang diputuskan oleh pejabat pusaka kecil atau mahkamah, sehingga harta tersebut diserahkan secara sah berdasarkan undang-undang kepada waris-waris atau pihak-pihak tersebut.

#2 Kenapa Pentadbir Harta dilantik?

Biasanya Pentadbir Harta dilantik sekiranya semasa simati meninggal dunia terdapat waris-waris beliau yang masih bawah umur atau hilang upaya dari segi undang-undang untuk memiliki harta atau harta tersebut terdapat sesuatu sekatan tertentu yang mana perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum ianya boleh diserahkan kepada waris atau pihak-pihak tertentu.

#3 Apa kedudukan Pentadbir Harta?

Kedudukan pentadbir harta hanyalah sekadar sebagai pengurus, pentadbir dan memegang amanah bagi pihak si mati sehinggalah harta tersebut diserahkan kepada waris yang sepatutnya atau sehingga kesemua pembahagian harta tersebut selesai.

#4 Apa hak Pentadbir Harta?

Pentadbir harta tidak ada hak pemilikan atau kepentingan terhadap harta yang ditadbirnya melainkan beliau sendiri adalah salah seorang waris yang berhak menerima harta simati tersebut. Ertinya beliau tidak ada kuasa secara otomatik untuk menjual atau memindahmilikkan harta tersebut kepada mana-mana pihak selain daripada waris-waris yang sah yang berhak menerima harta tersebut, melainkan ada suatu perintah daripada pejabat pusaka kecil atau mahkamah untuk berbuat demikian.

#5 Siapa yang boleh dilantik menjadi Pentadbir Harta?

Pentadbir Harta boleh dilantik sama ada di kalangan waris si mati itu sendiri atau pihak-pihak lain yang difikirkan sesuai oleh pejabat pusaka kecil atau mahkamah, misalnya Amanah Raya Berhad.

#6 Berapa ramai Pentadbir Harta boleh dilantik?

Pentadbir Harta boleh dilantik lebih daripada seorang dan boleh digantikan dengan pentadbir harta lain sekiranya pentadbir harta itu gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan amanah.

B. Pemegang Amanah

#1 Apa itu Pemegang Amanah?

Pemegang Amanah adalah seseorang atau satu pihak yang dilantik oleh tuan tanah semasa beliau masih hidup dan akan berkuatkuasa serta merta sebaik sahaja pelantikan pemegang amanah dibuat.

#2 Siapa yang melantik Pemegang Amanah?

Kebiasaannya Pemegang Amanah dilantik oleh tuan tanah itu sendiri untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab bagi pihak tuan tanah atau bagi pihak orang lain yang berkepentingan dengan tanah tersebut.

#3 Kenapa Pemegang Amanah dilantik?

Misalnya Pemegang Amanah boleh dilantik sekiranya tuan tanah ingin menghibahkan hartanya kepada anak-anaknya yang bawah umur atau pihak-pihak lain yang tidak layak dari segi undang-undang untuk memiliki harta tersebut, misalnya seseorang yang cacat dan sebagainya.
Pemegang Amanah juga boleh dilantik untuk tujuan menguruskan dan memegang amanah bagi pihak orang lain yang mempunyai hak pemilikan dan kepentingan terhadap tanah tersebut tetapi hak pemilikan tersebut tidak dapat didaftarkan di dalam geran akibat kekangan undang-undang dan sebagainya. Misalnya 5 orang pembeli dikalangan adik beradik atau rakan rapat berkongsi duit beli tanah pertanian berkeluasan 1 ekar untuk tujuan sama-sama uruskan urusan pecah lot. Memandangkan terdapat kekangan dari segi undang-undang yang mensyaratkan tanah pertanian hanya boleh dipindahmilikkan kepada satu nama sahaja untuk setiap 1 ekar, maka hanya salah seorang di kalangan 5 orang pembeli tersebut akan didaftarkan namanya di dalam geran. Dan 4 orang pembeli yang lain akan melantik pembeli yang namanya didaftarkan dalam geran tadi sebagai Pemegang Amanah sebagai instrument sementara sebelum geran individu berstatus bangunan dikeluarkan dan pindahmilik dibuat daripada pemegang amanah kepada pemberi amanah.

#4 Bagaimana nak pastikan Pemegang Amanah itu sah?

Untuk mewujudkan ikatan Pemegang Amanah yang sah, satu surat cara Ikatan Amanah akan ditandatangani oleh pemberi amanah dan pemegang amanah. Surat Ikatan Amanah tersebut akan didaftarkan di Pejabat Tanah. Untuk melindungi hak dan kepentingan pemberi amanah atau pihak yang berkepentingan melalui Ikatan Amanah tersebut, mereka boleh memohon Pentadbir Tanah memasukkan Kaveat Amanah ke atas tanah tersebut.

#5 Apa kuasa Pemegang Amanah?

Sama seperti Pentadbir Harta, Pemegang Amanah juga tidak ada hak dan kuasa penuh terhadap hartanah tersebut. Ertinya Pemegang Amanah tidak boleh sewenang wenangnya menjual atau memindahmilikkan tanah tersebut kepada pihak-pihak lain melainkan dengan persetujuan daripada pemberi amanah itu sendiri.

C. Wakil Kuasa

Sumber gambar : kevindcarr.com.au
Sumber gambar : kevindcarr.com.au

#1 Apa itu wakil kuasa?

Wakil kuasa adalah seseorang yang dilantik oleh tuan tanah sebagai wakilnya yang sah untuk melakukan sesuatu perkara atau tanggungjawab tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh tuan tanah tersebut berkenaan dengan tanahnya itu.

#2 Apa kuasa wakil kuasa?

Wakil kuasa boleh mempunyai kuasa penuh (full power of attorney) atau terhad (limited power of attorney) bergantung kepada setakat mana kuasa yang diberikan oleh tuan tanah kepadanya.

#3 Apa kedudukan wakil kuasa? 

Kedudukan wakil kuasa ini adalah sama seperti seolah-olah dia adalah tuan tanah itu sendiri, tertakluk kepada kuasa kuasa yang diberikan oleh tuan tanah kepadanya.

#4 Bagaimana nak pastikan wakil kuasa itu sah?

Untuk mewujudkan ikatan wakil kuasa ini, satu Surat Wakil Kuasa akan ditandatangani oleh tuan tanah dan wakil kuasa dan ianya hendaklah didaftarkan di Mahkamah Tinggi dan Pejabat Tanah berkenaan. Wakil kuasa akan terikat untuk melaksanakan tanggungjawabnya bagi pihak tuan tanah mengikut kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya.

#5 Boleh ke kuasa wakil dibatalkan?

Kuasa-kuasa tadi boleh dibatalkan atau ditarik balik bergantung kepada jenis kuasa yang diberikan kepadanya. Wakil kuasa yang boleh dibatalkan atau ditarik balik dipanggil sebagai Revocable Power of Attorney, manakala Wakil kuasa yang tidak boleh dibatalkan atau ditarik balik dipanggil sebagai Irrevocable Power of Attorney.

#6 Apa hak wakil kuasa?

Tidak seperti Pentadbir Harta dan Pemegang Amanah, Wakil Kuasa mempunyai hak dan kuasa sama seperti hak dan kuasa tuan tanah ke atas tanah tersebut. Ertinya jika tuan tanah memberikan kuasa kepada wakil kuasa untuk menjual dan memindahmilkkan tanah tersebut kepada pihak lain, maka wakil kuasa tadi mempunyai kuasa tersebut sebagaimana yang dinyatakan dalam Surat Wakil Kuasa.

Kesimpulannya,
Pentadbir Harta, Pemegang Amanah dan Wakil Kuasa mempunyai bidang kuasa, tanggungjawab dan hak-hak tertentu. Walaupun kelihatan sama antara satu sama lain, dari segi konsep dan perlaksanaannya amat berbeza.
Justeru masyarakat perlu faham tentang perbezaan tersebut supaya tidak keliru dan dapat mengelakkan penyelewengan yang boleh berlaku melalui kuasa-kuasa yang diberikan tersebut.

No comments: