12 April 2022

28 May 2018

Apakah Surat Kuasa Wakil (Power Of Attorney - PA)

Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney) ialah suatu instrumen pelantikan wakil kuasa oleh Pemberi Kuasa kepada Penerima Kuasa untuk sesuatu tujuan tertentu.

Pemberian kuasa boleh dibuat secara am atau secara khusus dengan kuasa yang diberikan sama ada kuasa boleh batal atau kuasa tidak boleh batal mengikut keperluan/keadaan masing-masing.

Pelantikan Wakil Kuasa/Penerima Kuasa perlu dinyatakan dengan jelas dan terang di dalam dokumen Surat Kuasa Wakil.

Siapa Yang Boleh Mendaftar Dokumen Surat Kuasa Wakil:


Sama ada Pemberi Kuasa atau Penerima Kuasa mendaftar sendiri atau diwakili oleh Peguam dalam urusan pendaftaran dengan mengemukakan permohonan pendaftaran dokumen tersebut di kaunter Pejabat Pendaftaran Surat Kuasa Wakil, Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur atau mana-mana Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Bahasa Surat Kuasa Yang Boleh Didaftarkan:


Di bawah Akta suatu Surat Kuasa Wakil yang ingin dan layak didaftarkan, hendaklah di dalam versi Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Inggeris.

Akta juga memberi kelonggaran kepada penggunaan lain-lain bahasa dengan syarat, naskah Surat Kuasa Wakil itu wajib disertakan bersama-sama terjemahannya ke dalam Bahasa Kebangsaan atau Bahasa Inggeris dan hendaklah disahkan oleh Jurubahasa yang bertugas di Mahkmah atau melalui Akuan Berkanun (Statory Declaration) daripada mereka yang berkelayakan untuk menterjemah daripada bahasa di mana instrument itu itu ditulis.

Pengesahan Tandatangan/Akusaksi Ke Atas Surat Kuasa Wakil:


Ditandatangani di Malaysia Barat

Jika Surat Kuasa Wakil dilaksanakan di Malaysia Barat, ia hendaklah disahkan oleh mana-mana pegawai berikut:

  • Majistret
  • Jaksa Pendamai
  • Pentadbir Tanah
  • Penyaksi Awam
  • Pesuruhjaya Sumpah
  • Peguambela dan Peguamcara yang beramal di Malaysia Barat
  • Pegawai Syarikat yang menjalankan tugas-tugas bank yang didaftarkan di bawah Undang-Undang bertulis Malaysia.

Ditandatangani di Luar Malaysia Barat

Jika Surat Kuasa Wakil tersebut dilaksanakan di luar Malaysia Barat, ianya hendaklah disaksikan oleh mana-mana pegawai berikut:

  • Penyaksi Awam
  • Pesuruhjaya Sumpah
  • Mana-mana Hakim Majistret
  • Konsul British atau Timbalan Konsul
  • Wakil kepada Ratu Britain
  • Mana-mana Pegawai Konsular Malaysia di luar negara
  • Pesuruhjaya Haji, jika dilaksanakan di Saudi Arabia
  • Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Agong Singapura atau pegawai syarikat yang menjalankan tugas-tugas bank di Republik Singapura dan diperbadankan oleh dan di bawah Undang-Undang bertulis Republik berkenaan.

Bagaimana Bentuk Pengesahan Harus Dibuat:


Seksyen 3 dan Jadual Pertama Akta Surat Kuasa Wakil 1949 memperuntukkan bentuk pengesahan adalah seperti berikut:

Jika dilaksanakan oleh Individu

Dengan menggunakan format pengesahan di Borang 1, Jadual Pertama Akta.

Jika dilaksanakan oleh Syarikat

Dengan menggunakan format pengesahan di Borang 11, Jadual Pertama Akta.

Setiap Surat Kuala Wakil yang lengkap seharusnya disetemkan terlebih dahulu di Pejabat Hasil dan Setem di negeri-negeri Malaysia Barat sebelum dikemukakan untuk pendaftaran di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Malaya.

Cara Pendaftaran Dokumen Surat Kuasa Wakil:


1) Dua(2)set dokumen Surat Kuasa Wakil perlulah disediakan:
a) Satu(1)salinan asal dokumen Surat Kuasa Wakil (untuk simpanan sendiri; dan
b) Satu(1)salinan pendua dokumen Surat Kuasa Wakil(untuk difailkan dan diserahkan ke mahkamah)

2) Penurunan tandatangan Pemberi Kuasa mestilah disaksikan oleh pihak-pihak tertentu:

a) di Semenanjung Malaysia;
i. Majistret;
ii.Jaksa Pendamai;
iii.Pentadbir Tanah;
iv.Notari Awam;
v.Pesuruhjaya Sumpah;
vi.Peguambela dan Peguamcaracara; atau
vii.Pegawai bagi syarikat yang menjalankan tugas-tugas bank yang berdaftar di bawah undang-undang bertulis di Semenanjung Malaysia.

Dokumen Surat Kuasa Wakil yang disempurnakan oleh saksi-saksi diatas mestilah dalam borang yang diperuntukkan dalam Akta Surat Kuasa Wakil 1949 seperti berikut;

BORANG I : Format Pengesahan untuk individu
BORANG II : Format Pengesahan untuk Syarikat

b) di luar Semenanjung Malaysia:
i.Notari Awam;
ii.Pesuruhjaya Sumpah;
iii.Mana-mana Hakim;
iv.Majistret;
v.Konsul British atau Naib-Konsul British;
vi.Wakil kepada Baginda atau Ratu Britain;
vii.Konsul Malaysia;
viii.Bagi dokumen yang disempurnakan di Arab Saudi oleh Pesuruhjaya Ziarah Malaysia;
ix.Bagi dokumen yang disempurnakan di Singapura oleh Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Agong Singapura; atau
x.Bagi dokumen yang disempurnakan di Singapura oleh Pegawai bagi syarikat yang menjalankan tugas-tugas bank di Republik Singapura dan diperbadankan menurut mana-mana undang-undang bertulis Republik itu.

Akta Surat Wakil 1949 tidak memperuntukkan format khas yang perlu diikuti, tetapi suatu bentuk pengesahan penyaksian oleh saksi-saksi di atas perlulah disertakan.

Pembatalan Surat Kuasa Wakil:


Melalui Notis Pembatalan

Setiap instrumen yang memberi kuasa wakil di mana salinan telah disimpan atau didaftarkan di pejabat Penolong Kanan Pendaftar menurut Akta hendaklah terus berkuatkuasa sehinggalah:

  • Notis bertulis mengenai pembatalannya diterima daripada pemberikuasa
  • Notis bertulis mengenai pelepasannya diterima daripada penerima kuasa
  • Pemberi atau penerima kuasa meninggal dunia
  • Penerima kuasa menjadi tidak siuman
  • Pemberi kuasa telah diisytiharkan sebagai tidak siuman
  • Pemberi kuasa diisytiharkan bankrap

Setiap notis pembatalan hendaklah difailkan bersama salinan asal Surat Kuasa Wakil yang hendak dibatalkan. Setiap pendaftaran pembatalan akan dikenakan bayaran sebanyak RM10/- bagi tujuan pemprosesannya.

Surat Kuasa Wakil Kekal:


Surat Kuasa Wakil kekal (Irrevocable Power of Attorney) ialah di mana dinyatakan samada Surat Kuasa Wakil tersebut “Kekal” atau “Tidak boleh terbatal untuk tempoh tertentu” (Irrevocable for fixed time), tidak akan terbatal dengan kematian pihak-pihak, tidak siuman atau kebankrapan dan sebagainya.

Jumlah Bayaran Untuk Pendaftaran Dokumen Surat Kuasa Wakil Dan Dokumen Pembatalan Surat Kuasa Wakil:


Pembayaran bagi pendaftaran dokumen Surat Kuasa Wakil dan dokumen Surat Kuasa Wakil adalah seperti berikut:

a) Pendaftaran dokumen Surat Kuasa Wakil:
Pendaftaran RM25
Deposit RM10
Setiap helaian sebelum bahagian penyempurnaan RM2

b) Pendaftaran dokumen pembatalan Surat Kuasa Wakil:
Pendaftaran RM10
Setiap helaian sebelum bahagian penyempurnaan RM2

Peringatan


Risalah ini hanya maklumat secara am mengenai Surat Kuasa Wakil dan cara mendaftarkannya seperti yang digambarkan adalah secara ringkas serta tertakluk kepada pindaan akta dan peraturan semasanya.

No comments: