LIBIDO atau dikenali dengan bahasa mudah selera seks merupakan sifat penting yang perlu ada pada diri suami atau isteri. Terdapat pelbagai kaedah boleh dilakukan untuk meningkatkan libido termasuk menjalani gaya hidup sihat serta holistik.
Amalkan gayahidup sihat dan keseimbangan dalam keluarga. Apabila kedamaian dicapai, maka kedua-kedua hati suami dan isteri akan berada dalam frekuensi yang sama – harmoni. Sekali sahaja isyarat untuk melakukan hubungan biologi dihantar suami atau isteri, ia telah difahami pasangan. Isyarat yang dimaksudkan mungkin dalam bentuk perkataan, bisikan atau sentuhan. Sesetengah pasangan mungkin menggunakan gabungan dua isyarat atau lebih.
Jadi, kehidupan berumahtangga yang damai serta harmoni dipercayai merupakan kunci kepada selera seks. Selain itu pengendalian diri dalam mengurus stres juga penting. Stres emosi dan stres fizikal yang keterlaluan merupakan musuh kepada libido.
Hubungan biologiSeseorang yang sering dilanda masalah atau sedang mengalami masalah biasanya mudah mengalami emosi tiada mood untuk melakukan pelbagai perkara termasuk mengadakan hubungan biologi.
Stres emosi mengganggu keseimbangan hormon reproduktif.
Stres fizikal keterlaluan sudah tentu menyebabkan seseorang mengalami keletihan. Tubuh lebih memerlukan rehat berbanding dari mengadakan hubungan biologi.
Aktiviti fizikal secara konsisten sama ada dalam bentuk senaman atau bekerja menggunakan tenaga dan pergerakan anggota juga merupakan aspek yang tidak boleh dipandang ringan. Senaman dan bekerja menggunakan anggota membantu melancarkan peredaran darah.
Bersenam dan bekerja menggunakan anggota fizikal membantu mengharmonikan hormon stres termasuk kortisol. Apabila paras kortisol turun maka paras DHEA (dehydroepiandrosterone) iaitu prekursor hormon testosteron meningkat.Untuk mendapatkan manfaat ini seseorang harus bersenam secara konsisten misalnya dengan berjoging sekurang-kurangnya 30 minit setiap kali dengan kekerapan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Selain stres emosi yang keterlaluan, beberapa perkara berikut juga dikatakan sebagai punca seseorang kurang/hilang libido. Ia adalah obesiti, kencing manis, tekanan darah tinggi, disfungsi tiroid, keletihan adrenal, nutrisi tidak seimbang, ubat-ubatan preskripsi tertentu, pil perancang keluarga dan tidak cukup tidur.
Dari sudut makanan pula seseorang perlu makan makanan yang seimbang. Makanan yang dimakan setiap hari harus lengkap dengan mikronutrien utama termasuk lemak, karbohidrat dan protein.
Protein haiwan tertentu seperti daging lembu dan kambing dikatakan membantu golongan lelaki meningkatkan libido.Mengambil
telur setengah masak seperti diamalkan sebahagian orang sebenarnya memiliki asas tersendiri dalam membantu meningkatkan libido.
Jika diambil beberapa jam sebelum melakukan hubungan biologi, ia dikatakan membantu meningkatkan libido dan tenaga. Telur adalah simbol kesuburan dan kelahiran baru. Ia kaya dengan vitamin B5 dan B6 yang dikatakan membantu menyeimbangkan paras hormon serta mengatasi stres.
Selain telur burung, telur ikan juga kaya dengan kandungan vitamin tersebut.
Untuk pengetahuan pembaca, penulis sering memasukkan herbaherba sebagai kategori makanan tidak kira samada ia diambil bertujuan untuk mencegah dan merawat penyakit atau untuk tujuan pemuliharaan. Berikut ialah beberapa jenis herba yang penulis cadangkan yang boleh diamalkan atau diambil untuk membantu meningkatkan libido termasuk dari segi mudah terangsang secara seksual dan sensitif kepada sentuhan.
Mudah terangsangGolongan lelaki dan wanita yang
mengamalkan minum air pinang muda 1-2 kali setiap minggu dikatakan mudah terangsang secara seksual dan meningkatkan libido.
Antara cara menyediakan air pinang muda ialah merebus sebiji pinang muda yang telah diracik nipis-nipis dengan empat cawan air hingga air berkurangan kepada tiga cawan. Minum tiga cawan setiap hari dengan sukatan secawan setiap kali minum.
Stres dan keletihan adrenal dikatakan dapat dikurangkan dengan mengamalkan pengambilan herba adaptogen yang sesuai seperti putrawali (dikenali juga sebagai
patawali) dan herba horny goat weed.
Rebusan pokok semalu juga membantu meredakan stres dan meningkatkan libido.
Rugi mereka yang tidak suka makanan bercili. Mengapa? Pertama kerana cili yang kaya dengan antioksidan juga sebenarnya membantu melancarkan peredaran darah ke seluruh tubuh. Fungsi tersebut dilakukan oleh kandungan capsaicin iaitu sejenis opium (candu) semula jadi yang dibina dalam tubuh terutama dalam otak.
Capsaicin juga membantu tubuh merembes endorphin yang bersifat meningkatkan suasana hati (mood) dan seterusnya meningkatkan libido. Makan makanan bercili dipercayai membantu kulit menjadi sensitif kepada sentuhan dan belaian. Selain cili, halia dan lengkuas juga membantu kerana kedua-duanya juga mengandungi capsaicin.
Air syarbat yang terdiri daripada rebusan halia dan gula merah elok diamalkan terutama pada musim hujan. Untuk meredakan sifat panas halia atau lengkuas, tambah herba sejuk misalnya pegaga kampung.
Buah tin (fig) yang mengandungi pelbagai asid amino serta mineral seperti kalium dan manganese dikatakan makanan yang sesuai bagi membantu meningkatkan libido. Kandungan asid aminonya dikatakan membantu meningkatkan paras nitrik oksida. Selain itu ia dikatakan mampu meningkatkan stamina seksual dengan meningkatkan kepekaan pelbagai deria dalam memperbaiki suasana hati (mood) bagi membantu meningkatkan libido.
Beberapa makanan lain yang dikatakan dapat membantu meningkatkan libido antara lain termasuk
kurma, bawang putih, asparagus, bawang putih, cengkih, koko, buah pelaga dan biji labu.