12 April 2022

29 October 2018

PENYAKIT-PENYAKIT TANAMAN LIMAU


PEROSAK TANAMAN LIMAU

  1. Lalat Buah (Bactrocera dorsalis)
    Lalat bertelur dalam buah-buah yang hampir masak/matang dan selepas telur menetas, larva mengorek dalam buah dan memakan tisu.  Balut buah dengan kertas seawal yang boleh.  Kutip semua buah-buah yang telah diserang dan tanam.  Gunakan bahan penarik jantan untuk mengurangkan populasi serangga jantan.
       
  2. Pelombong Daun (Phyllocnistis citrella)
    Larva korek dan makan tisu dalam daun.  Daun menjadi cacat dan berkedut atau bergulung.  Sembur racun hamama dimethoate 0.1% b.a. setiap dua minggu sekali.
      
  3. Pengorek Buah Limau (Citripestis sagititiferella)
    Larva mengorek dan memakan tisu.  Dewasa menghisap cecair dari buah.  Timbunan sisa makanan akan kelihatan pada lubang yang dikorek.  Kumpul dan musnahkan buah yang diserang.  Menggunakan bahan penarik jantan untuk mengurangkan populasi serangga jantan.
     
  4. Hamama (Panonychus citri Tetranychus spp.)
    Dewasa menghisap cecair dari tangkai, daun dan buah, menjadi tompok kuning.  Serangan pada permukaan daun dan ini akan menyebabkan banyak daun gugur terutama pada musim kemarau.  Sembur dengan kimia seperti propagite dan amitraz 0.1% bahan aktif pada 3 minggu sekali.
  5. Kutu Thrips (Scirtothrip dorsalis)
    Menyerang pada bahagian tangkai daun muda dan putik buah.  Daun yang diserang akan menebal dan kedua-dua sisinya menggulung ke atas.  Tunas daun menjadi hitam, kering dan gugur.  Sembur dengan racun kimia seperti malathion (0.1% bahan aktif) setiap dua minggu sekali.


     
  6. Kutu Lompat (Diaphorina citri)
    Menyerang bahagian pucuk dan menghisap cecair.  Ia juga menjadi vektor kepada penyakit.  Sembur dengan racun seperti imidachloropid (0.005% bahan aktif).

  1.  

     

    PENYAKIT-PENYAKIT TANAMAN LIMAU

     
    1. PENYAKIT 'GREENING"
    "Greening Disease (Liberobacter asiaticum)


     Penyakit Grening tanaman limau adalah penyakit yang merbahaya bagi kemajuan industri limau di negara ini dan berasal dari negara China.  Penyakit ini disebabkan oleh sejenis hidupan yang sangat kecil dan disebarkan oleh serangga pembawa dari jenis kutu leloncat.  Di Malaysia, serangga pembawa yang dikenalpasti ialah Diaphorina citri. Kuw. Penyakit ini boleh mengurangkan jumlah hasil mutu buah.  Pada kadar serangan yang teruk, pokok limau boleh mati.

    Cara Kerosakan Berlaku:
    Serangga pembawa Penyakit Greening yang dewasa berukuran 2-3 mm panjang dan berwarna coklat keperangan.  Serangga dewasa dan anak akan menghisap cecair daun terutama daun-daun muda.  Apabila serangga pembawa menghisap pokok lain, cecair yang telah sedia ada di dalam badan serangga itu akan dipindahkan kepada pokok tersebut.  Oleh itu, sekiranya serangga pembawa menghisap cecair daun daripada pokok yang berpenyakit, penyakit greening akan disebarkan dari pokok ke pokok.
     
     
    Tanda-tanda Penyakit:- (boleh juga link di sini)
    Penyakit Greening boleh dikenali apabila salah satu atau lebih daripada satu tanda-tanda berikut kelihatan pada pokok limau:-
    1. Warna kekuningan boleh dilihat di antara urat daun. 
      Tanda ini bermula dari satu dahan dan merebak ke dahan lain.
    2. Tompok-pokok hijau pada daun.
    3. Pertumbuhan tunas menjadi rapat dan tegak.
    4. Tunas dan ranting layu dan mati.
    5. Buah-buah muda menjadi kuning oren atau merah bertompok.  
      Bentuk buah tidak seimbang bulat dan akhirnya gugur.

    Langkah-langkah Pengawalan:
    Program kawalan yang disyorkan adalah berbentuk kawalan bersepadu yang merangkumi tiga aspek penting:  iaitu penggunaan bahan tanaman yang bebas daripada penyakit, kawalan punca penyakit dan kawalan serangga pembawa penyakit. Langkah-langkah kawalan adalah seperti berikut:-
    1. Gunakan bahan-bahan tanaman yang bebas daripada penyakit
    2. Pemeriksaan tanda-tanda penyakit
    Perhatikan tanda-tanda penyakit dan tandakan pokok yang berpenyakit serta pokok-pokok di dalam lingkungan 30 meter di sekeliling pokok yang berpenyakit tersebut.
    Kawalan Punca Penyakit:
    Cantas ranting yang menunjukkan tanda penyakit dan rawat bahagian yang dicantas dengan racun kulat yang sesuai. Ranting yang telah dicantas dan semua buah dari pokok yang berpenyakit hendaklah dimusnahkan dengan membakar atau menanam sedalam tidak kurang daripada satu meter.  Jika serangan teruk, pokok limau yang berpenyakit hendaklah ditebang dan dibakar atau ditanam.  Langkah ini dapat menghalang penyakit daripada merebak ke bahagian atau pokok limau yang lain. 
    RAJAH
     
     Pembentukan pokok klon berbatang tunggal
    (a) tunas utama diberi sokongan 
    (b) cantasan dahan rendah
    (c) pokok berbatang tunggal yang dikehendaki
     
                              Cantasan pokok yang diserang penyakit mati rosot
    Kawalan Serangga Pembawa penyakit:
    Sembur pokok-pokok yang telah ditanda dengan racun serangga bagi menghapuskan serangga pembawa.  Racun serangga seperti Dimethoate atau Deltamethrine boleh disembur dua minggu sekali terutama semasa pengeluaran pucuk muda kerana pada masa ini populasi Diaphorina citri adalah tinggi.  Untuk memastikan program kawalan yang berkenaan, langkah-langkah pengawalan ini perlu diulang setiap dua minggu sekali.
     
  2. PENYAKIT KERUPING
    "Scab" (Elsinoe fawcetti)
    Keruping biasanya kelihatan timbul di permukaan kulit buah dan daun.  Bermula dengan luka kecil yang kelihatan seperti titik yang pudar bertukar menjadi kekutil yang mengandungi tisu gabus berwarna perang pucat.  Daun akan bertukar menjadi berkerekot dan bertukar bentuk dan akhirnya dahan-dahan muda akan dijangkiti.  Penyakit ini merebak dengan cepat di peringkat semaian.  Kawalan kultura seperti pengudaraan yang sempurna dan pengairan secara 'overhead sprinkler' pada semaian semasa pokok sedang berpucuk selama 2-3 minggu disyorkan.  Gunakan racun kulat, terutamanya pada peringkat semaian ketika pokok sedang berpucuk muda untuk mengelakkan masalah ini.


     
  3. PENYAKIT VIRUS TRISTEZA
    (Tristeza Virus" (CTV)


    Simptom adalah sama seperti pokok yang diserang pada akar, termasuk terencat pertumbuhan.  Pada jenis yang rentan penyakit ini, simptom batang berjalur, kekuningan urat daun dan kematian pucuk dapat dilihat dengan mengupas kulit.  Penyebaran virus ini bergantung kepada keadaan iklim.  Di tanah rendah di mana suhu panas, virus ini tidak merebak begitu cepat.  Anak benih yang ditanam haruslah dibiakkan melalui kaedah cantuman tunas hujung dan mesti rintang kepada virus tristeza.  Anak benih yang mula membesar disyorkan diberi rawatan suhu panas dengan meletakkan pokok-pokok tersebut di dalam rumah plastik.  Menyembur racun serangga untuk mencegah vektor kutu daun dua kali setahun disyorkan.

     
  4. PENYAKIT PHYTHOPTHORA
    (Phythopthora Canker" (Phythopthora spp.)

    Cabang-cabang menjadi kering dan tiada pertumbuhan baru.  Bila akar reput, seluruh pokok menjadi kering dengan cepat.  Simptom adalah daun yang berwarna kuning yang hampir sama dengan simptom kekurangan unsur nitrogen.  Pada pangkal batang, luka kecil berwarna hitam muncul kemudian berkembang dengan keluaran gam berwarna coklat menjadi tanda-tanda gummosis.  Pengeluaran gam bermula dengan kematian kulat dan menjadi nekrosis pada kayu.  Penyakit ini boleh dikawal dengan berkesan melalui kaedah mencantum tunas pada pokok penanti yang rintang.  Mencantum mata tunas lebih tinggi ke atas pokok penanti 25-30 cm dan paras tanah supaya pokok baka tidak terkena percikan air.  Kawalan rumpai di sekeliling pokok juga perlu bagi memastikan sekitaran sentiasa kering.  Sekiranya pokok dijangkiti, semburan racun kulat boleh dilakukan sekurang-kurangnya setiap 3 bulan sekali. 


     
  5. PENYAKIT KANKER LIMAU
    "Canker" (Xanthomonas campestgris)

    Simptom kelihatan pada daun, ranting dan buah pada kesemua varieti limau.  Kerosakan pada seluruh pokok terutamanya pada daun dan buah.  Kanker berasal daripada liang-liang kecil berwarna gelap kemudian coklat dan dikelilingi oleh liang berwarna kuning.  Bila besar, ia kelihatan sebagai gabus yang bahagian tengahnya pecah.  Luka terjadi pada bahagian gabus dan bawah permukaan daun.  Pengusaha boleh menanam pokok-pokok penahan angin untuk mengurangkan kerosakan fizikal pada pokok.  Racun kulat hendaklah disembur jika jangkitan agak serius.  Langkah-langkah pembasmian bakteria yang berkesan termasuk (1) mengumpul dan membakar daun-daun berpenyakit yang gugur (2) merendam mata tunas dalam 1000 ppm streptomycine (antibiotik) selama satu jam sebelum mencantum di peringkat tapak semaian.

     
  6. PENYAKIT KULAPUK HITAM
    "Sooty Mold" (Capnodium citri)

    Biasanya berlaku di kawasan yang panas dan lembap.  Bila kulat tumbuh dengan banyak (berwarna hitam berjelaga pada daun), ia menghalang daun dari menerima cahaya.  Kulapuk hitam tidak memberi kesan pada pertumbuhan pokok tetapi ianya menjadi amaran kehadiran serangga-serangga perosak tanaman yang juga membawa penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus.  Ianya juga memberi kesan kepada warna kulit buah semasa matang.  Ianya disebabkan oleh beberapa jenis kulat, tetapi yang utamanya ialah Capnodium citri.  Kulat ini bukanlah parasit tetapi hidup dengan memakan madu di permukaan pokok yang dikeluarkan oleh serangga tertentu terutamanya afid, 'scale insect' dan larva kepada 'Whitefly'.  Tiada kawalan perlu dibuat ke atas penyakit ini.  Dengan mengawal serangga-serangga pembekal madu atau gula kepada kulat ini, ianya akan terkawal secara tidak langsung.  Kulapuk boleh juga dihilangkan dengan menyembur minyak jenis yang tidak merosakkan pokok.


     
  7. HAMAMA "Mites"
    (Tetranychus spp.)

    Terdapat beberapa jenis hamama yang menyerang limau.  Diantaranya Hamama merah (Citrus red mite), Hamama leper (Citrus flat mite), Hamama lebar (Broad mite) dan Hamama perak (Citrus silver mite).  Hamama menyerang dengan menghisap cecair daun muda dan putik buah.  Kulit buah akan menjadi kasar dan berwarna perang dan berkerutu.  Kawalan hendaklah dijalankan dari peringkat putik buah lagi dengan menggunakan racun hamama yang sesuai dan berkesan.

     
  8. LELOMPAT PSYLID
    "Psylids" (Diaphorina citri)

    Perosak ini adalah serangga vektor penyakit 'greening' limau.  Jika serangga ini berada di kawasan yang dijangkiti penyakit 'greening', besar kemungkinan penyakit akan merebak dengan cepat di ladang.  Serangga dewasa menghisap cecair dan pucuk dan bertelur di celah-celah daun.  Kehadiran perosak boleh dikesan dengan meneliti pucuk limau dan juga menggunakan perangkap pelekat berwarna kuning.  Serangga ini boleh dikawal dengan menggunakan racun serangga jenis sistemik yang berkesan dan mempunyai kesan sampingan yang minima terhadap serangga agen kawalan biologikal seperti parasitoid dan pemangsa.

     
  9. KUTU DAUN
    "Aphids" (Aphis spp.)

    Kutu daun menyerang tunas baru dan daun muda.  Serangga ini suka menyerang bahagian pucuk daun muda, peringkat bunga dan putik buah.  Bahagian yang diserang akan menjadi cacat dan berkerinting dan terbantut tumbesarannya.  Kutu daun merupakan vektor pembawa virus penyakit tristeza limau.  Kutu daun boleh dikawal dengan penyemburan racun serangga jenis umum yang tidak toksik pada serangga agen kawalan biologikal seperti kumbang ladybird.  Pembiakan kumbang pemangsa dan agen parasit boleh juga mengawal populasi kutu daun.

     
  10. KUTU TRIP
    "Thrips" (Thrips spp.)


    Menghisap cecair daun, pucuk dan bunga.  Tunas daun jadi hitam, kering dan gugur.  Bunga menjadi kering dan gugur.  Pucuk terbantut.  Kulit buah berwarna keperakan terutama di bahagian tangkai buah, daun kelihatan kekuningan, menebal dan kedua sisi tepinya menggulung ke atas.  serangan sering berlaku pada musim panas.

     
  11. LALAT BUAH
    "Fruit fly" (Bactrocera papayae dan Dacus spp.)

    Lalat bertelur pada buah yang hampir masak atau masak.  Telur menetas dan larva mengorek masuk ke dalam serta makan isi buah.  Terdapat larva lalat di dalam buah bila dikupas.  Bahagian yang diserang mudah dijangkiti penyakit kulat atau bakteria.  Akhirnya boleh menjadi busuk, reput dan gugur.  Sembur dengan bahan penarik seperti umpan protin bercampur racun serangga.  Ini amat berkesan kerana ianya membunuh kedua-dua jantina lalat buah.
  12. KOYA
    "Mealy bugs" (Planococcus citri Russo.)


    Serangga ini menyerang pucuk, daun matang, ranting dan buah.  Bahagian yang diserang akan mempunyai tompok-tompok putih akibat koya.  Kesan sampingan kehadiran koya ialah terdapatnya kulapuk hitam pada bahagian bawah daun dan permukaan buah.  Ini adalah hasil dari pertumbuhan kulat keatas embun madu yang dikeluarkan oleh koya.  Pokok akan kelihatan seperti berjelaga.  Semburan campuran minyak putih dan racun serangga dapat mengawal perosak ini.

     
  13. PELOMBONG DAUN
    "Leaf Miners" (Phyllocnistis citrella Staint)


    Ulat (warna hijau) mengorek ke dalam daun dan menghisap cecair sap epidermis.  Setiap ulat berada dalam satu lombong bersinar keperakan dan berkelok-berkelok.  Daun menjadi cacat, berkedut-kedut dan bergulung.  Selalunya terdapat kepompong berwarna oren di tepi daun.

     
  14. KEPINDING
    "Stink Bug" (Rhynchocoris humeralis Thnbg dan R. Serratus Don.)
    >

    Kepinding yang berwarna hijau ini menghisap cecair dari bahagian daun muda, pucuk dan buah.  Daun yang dihisap akan menjadi layu dan kering.  Sementara itu, buah pula akan berongga di bahagian isinya dan serangan di peringkat putik boleh menggugurkan buah.  Serangga ini boleh dikawal dengan membuat tinjauan ladang yang kerap dan memungut peringkat  nimfa dan dewasa dengan tangan.  Semburan racun serangga jenis umum boleh mengawal prosak ini.


     
  15. PENGOREK KULIT LIMAU
    "Rind Borer" (Prays endocarpa Meyr.)


    Ulat ini menyerang jenis limau yang mempunyai kulit tebal seperti limau bali.  Ulat akan mengorek ke dalam kulit buah dan mengeluarkan serpihan tahinya ke permukaan buah.  Buah akan kelihatan buruk dan berbinjul-binjul dan ini akan menurunkan nilai komersialnya.  Semburan dengan racun serangga di peringkat putik sebelum membalut dapat mengawal perosak ini.




POKOK PENANTI

Pemilihan pokok penanti menjadi faktor utama penanaman pokok limau.  Pokok penanti diperkenalkan untuk menangani masalah penyakit reput batang phythopthora dan penyakit virus tristeza.  Biasanya anak pokok 'mandarin' dan 'sweet orange' yang dibiakkan secara tut tidak dapat dielakkan daripada serangan penyakit tersebut.  Oleh yang demikian pokok penanti yang digunakan hendaklah rintang terhadap kedua-dua penyakit ini.
 
Varieti Troyer Citrange digunakan sebagai pokok penanti untuk 'sweet orange' manakala varieti Cleoptra digunakan sebagai pokok penanti untuk tanaman limau mandarin.  Varieti-varieti seperti Poncisrus trifoliate (L) Raf. Rangpur Line, Cleoptra mandarin dan Citrumelo didapati rintang terhadap kedua-kedua penyakit ini.  Namun varieti-varieti ini tidak dapat mengawal penyakit 'greening'.
Penggunaan P. trifoliata sebagai pokok penanti akan mengakibatkan pertumbuhan awal yang kurang memuaskan di ladang kerana pokoknya kerdil.  Banyak varieti limau yang asli seperti limau nipis dan citron didapati kurang tahan terhadap kedua-dua penyakit ini.  Oleh yang demikian, jenis-jenis limau dan citroid lain perlulah dinilai sebelum dijadikan sebagai pokok penanti.
 
Pemilihan pokok penanti yang baik ditentukan oleh lima kriteria seperti berikut:-
  1. ketahanan terhadap penyakit reput batang phythopthora
  2. bersesuaian dengan iklim dan keadaan tanah di tempat yang ditanam
  3. bersesuaian dengan varieti yang dicantumkan
  4. memberi hasil yang maksima ataupun memuaskan
  5. toleran terhadap penyakit phythopthora dan virus tristeza
Petani hendaklah mencantum mata tunas lebih tinggi ke atas pokok penanti (25-30 cm dari paras tanah) supaya batang pokok baka tidak kena percikan air dari tanah dan tidak disyorkan mencantum lebih 30 cm kerana masalah pertumbuhan.  Terdapat lebih banyak kelebihan daripada masalah yang timbul daripada penggunaan pokok penanti untuk tanaman limau di Malaysia.  Kadangkala pokok penanti yang digunakan menghasilkan buah yang berasa masam dan mengambil tempoh yang lebih lama untuk berbuah.  Tetapi dengan adanya pokok penanti, petani mampu mengelakkan tanaman limau daripada diserang oleh penyakit phythopthora dan penyakit virus tristeza yang menjadi faktor utama kurangnya hasil tanaman limau.  Di samping itu, pokok penanti yang tumbuh biasanya pada paras yang renek dan ia memudahkan pengurusan harian petani-petani tanaman limau (Klik untuk lihat proses cantuman pokok).
Kebanyakan daripada pokok penanti yang berkualiti masih diimport dari negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Australia dan ia juga boleh diperolehi daripada Jabatan Pertanian, MARDI dan daripada nurseri-nurseri yang terpilih.  BIji benih untuk vrieti Rangpur Lime boleh didapati dengan mudah tetapi varieti ini kurang tahan terhadap penyakit reput batang



Dipetik:PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNGKOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA

No comments: