بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)
Berikutan kes pecah amanah makan harta anak yatim yang melibatkan dua
orang kanak-kanak yatim piatu mangsa kemalangan DUKE tahun lepas... mula
orang fikirkan sesuatu supaya anak-anak sendiri tak alami nasib yang
sama. Terfikir juga bab ni... risaukan harta kita jatuh ke tangan orang
lain... takut harta tak diuruskan dengan sebaiknya.. kadang sebab harta
tak seberapa.. adik beradik boleh jadi musuh... boleh kelabu mata kata
orang... Jadi, ada yang cadang nak buat hibah... ada yang kata wasiat
dan ada juga cadangkan buat faraid... Jadi yang mana satu??? Sebelum nak
jelaskan dengan lebih.. kena faham konsep asas hibah. wasiat dan
faraid.
WASIAT
Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan
atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas
berlaku kematiannya. Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah
terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh
dipertikaikan di kalangan ahli waris.
Wasiat Kepada Waris dan Bukan Waris
Pada asasnya wasiat hanya diberikan kepada bukan waris kerana tujuannya
adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mengharapkan pahala. Ia
juga diharap dapat memenuhi segala kekurangan yang ada ketika hayat.
Apa yang dimaksudkan dengan waris dalam konteks wasiat ialah orang-orang
yang berhak mendapat pusaka selepas pemilik harta meninggal kelak
seperti anak atau isteri. Oleh kerana itu wasiat pada asasnya diberikan
kepada bukan waris kerana mereka ini tidak termasuk dalam kalangan orang
yang berhak untuk mendapat pusaka.
Nabi SAW bersabda yang maksudnya berbunyi;
“Allah telah berikan bahagian kepada setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.”
Bagaimanapun, wasiat kepada ahli waris masih boleh dilaksanakan
sekiranya mendapat persetujuan dari ahli waris yang lain. Perlu diingat,
ahli waris yang dimaksudkan mestilah ahli waris semasa kematian
pewasiat dan bukan ahli waris semasa hayat pewasiat. Jika kesemua ahli
waris bersetuju dengan wasiat yang dibuat maka perlaksanaan wasiat
tersebut boleh dilaksanakan.
Wasiat Wajibah
Pelaksanaan Wasiat Wajibah menunjukkan Islam amat menitikberatkan
kebajikan dan kesempurnaan hidup umatnya, terutama anak-anak yang
kehilangan ahli keluarga mereka.
Dalam perkara ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi
Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24
Oktober 2008 telah membincangkan mengenai Hukum Pelaksanaan Wasiat
Wajibah. Muzakarah berpandangan dalam melaksanakan Wasiat Wajibah adalah
harus mengambil pandangan yang menyatakan bahawa berwasiat kepada
ahli-ahli waris (seperti cucu) yang tidak mendapat pusaka disebabkan
halangan-halangan tertentu adalah merupakan suatu kewajipan yang perlu
dilaksanakan.
Wasiat Wajibah ialah seorang anak yang bapa atau ibunya mati terlebih
dahulu daripada datuk atau neneknya, anak tersebut iaitu cucu berhak
untuk menerima Wasiat Wajibah dengan mengambil bahagian faraid bapa atau
ibunya pada kadar tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka datuk atau
nenek. Sekiranya bahagian ibu atau bapa adalah 1/3 atau kurang daripada
1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar
tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah
dikurangkan pada kadar tidak melebihi 1/3.
Pelaksanaan Wasiat Wajibah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:
1. Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima Wasiat Wajibah.
2. Hendaklah kedua ibu atau bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu
daripada datuk atau nenek atau ibu atau bapa meninggal dunia serentak
dengan datuk atau nenek dalam kejadian yang sama atau berlainan.
3. Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka
datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara
fardu atau ta’sib maka mereka tidak layak untuk mendapat Wasiat Wajibah
walaupun bahagiannya sedikit berbanding Wasiat Wajibah.
4. Sekiranya anak lelaki atau anak perempuan berlainan agama dengan ibu
atau bapa atau terlibat dengan pembunuhan ibu atau bapa, maka dia tidak
berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah daripada harta pusaka datuk.
5. Sekiranya datuk atau nenek telah memberikan harta kepada cucu melalui
hibah, wakaf, wasiat dan sebagainya dengan kadar yang sepatutnya
diterima oleh anak lelaki atau anak perempuan mereka sekiranya mereka
masih hidup, cucu tidak lagi berhak untuk mendapat Wasiat Wajibah.
Sekiranya pemberian tersebut adalah kurang daripada hak yang sepatutnya
diterima oleh cucu daripada bahagian anak lelaki atau anak perempuan.
Maka hendaklah disempurnakan bahagian tersebut.
6. Anak akan mengambil bahagian faraid bapa atau ibu yang meninggal
dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek dan kadar tersebut
hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada nilai harta pusaka.
Sekiranya bahagian tersebut adalah 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka
pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut.
Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3 maka hendaklah dikurangkan pada
kadar 1/3 melainkan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli waris yang
lain.
7. Pembahagian Wasiat Wajibah boleh dilaksanakan setelah didahulukan
urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.
8. Pembahagian Wasiat Wajibah kepada cucu-cucu yang berhak adalah
berdasarkan kepada prinsip faraid iaitu seorang lelaki menerima bahagian
2 orang perempuan.
FARAID
Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan.
Menurut istilah syarak pembahagian harta pusaka selepas kematian
seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah hukum Syarak ke atas
waris-waris yang sah atau layak (seperti anak, suami, isteri, ibu,
bapa dan lain-lain). Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah
baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan
pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris sama ada berbentuk agama
(seperti zakat, nazar dan lain-lain) atau hutang kepada manusia dan
menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.
Ada tiga golongan ahli waris yang melayakkan mereka menerima harta
pusaka, pertama, melalui hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala’
(hubungan kekeluargaan). Isteri termasuk dalam golongan waris yang layak
menerima pusaka melalui hubungan perkahwinan
HIBAH
Hibah ialah anugerah, pemberian atau hadiah yang melibatkan suatu akad
yang mengandungi pemberiaan hak milik oleh pemberi harta kepada
seseorang secara rela hati semasa hayatnya atas dasar kasih sayang dan
kemanusiaan tanpa mengharapkan balasan atau tukaran.
Pemberi hibbah tidak boleh menarik balik hibahnya setelah setiap rukun
hibbah dipenuhi iaitu : pemberi hibbah (al-wahib), penerima hibbah
(al-mauhub laku). Barang dihibahkan (al-manhub) lafaz ijab kabul,
menurut mazhab syafie akad nikah tidak sempurna kecuali selepas qabul .
qabul berbeza-beza mengikut harta / aset. Sekiranya harta alih. Maka
qabul berlaku dengan mengambil, memindah, mengasingkan harta tersebut
dengan harta lain. Bagi harta tidak alih boleh berlaku dengan
mengosongkan harta, menguasainya dan melakukan tasaruf terhadap harta
tersebut seperti menyerahkan kunci dan seumpamanya.
Harta atau barang yang dihibahkan mestilah:
1. Sesuatu yang bernilai pada pandangan syarak pada waktu hibah dibuat,
2. Milik sah orang yang memberi hibah dan
3. Hendaklah jenis yang boleh diserahkan pada waktu itu.
Contohnya, ayah menghibahkan sebidang tanah kepada anaknya. Tanah adalah
jenis harta yang bernilai daripada sudut pandangan syarak. Namun
begitu, tanah itu hendaklah bebas daripada sebarang gadaian dengan pihak
bank.
Jika mempunyai sekatan gadaian, tanah itu tidak mencukupi syarat sebagai
harta yang boleh dihibahkan. Ia belum menjadi milik sah orang yang
memberi hibah dan juga tidak boleh diserahkan pada waktu itu kerana
sekatan gadaian menghalang serahan atau pindah milik dibuat.
Dalam Islam, barang yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan
jika mendapat keizinan daripada penggadai atau peminjam.
Pemberi hibah mestilah bebas menguruskan harta tersebut tanpa sebarang
sekatan. Pindah milik rumah melalui perjanjian hibah tidak boleh
dilakukan sekiranya rumah terbabit dijadikan cagaran dan dikaveatkan
melainkan cagaran itu ditamatkan dan kaveat ke atas rumah itu ditarik
balik.
No comments:
Post a Comment