12 April 2022

27 July 2018

PENGURUSAN DAN TUNTUTAN HARTA PUSAKA BESAR ORANG ISLAM DI MALAYSIA



PENDAHULUAN


Pengurusan dan pentadbiran harta pusaka orang Islam di Malaysia agak unik berbanding negara-negara lain, bukan sahaja berpunca dari perbezaan agama, adat resam dan budaya hidup masyarakat majmuknya, malah ia turut dipengaruhi oleh faktor lain termasuk perundangan yang diguna pakai dan diwarisi dari penjajah Inggeris sejak sekian lama.

Di Malaysia, harta pusaka boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu harta pusaka besar (biasa), harta pusaka kecil dan harta pusaka ringkas.

Pembahagian harta pusaka kepada tiga jenis tersebut adalah berdasarkan kepada nilai harta yang ditinggalkan oleh si mati dan sama ada si mati ada meninggalkan wasiat atau tidak.

Begitu juga, undang-undang yang diguna pakai dalam pentadbiran ketiga-tiga jenis harta pusaka itu adalah berbeza. Walau bagaimanapun, dalam kertas kerja ini hanya akan membincangkan mengenai harta pusaka besar (biasa) sahaja.

JENIS-JENIS HARTA PUSAKA ORANG ISLAM DI MALAYSIA


Dalam pentadbiran harta pusaka orang Islam, terdapat dua buah undang-undang induk yang menetapkan cara-cara dan peraturan pentadbiran harta pusaka di Malaysia iaitu Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97) dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98).

Berdasarkan kepada kedua-dua undang-undang ini, harta pusaka boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:

(a) Harta pusaka besar (biasa) iaitu harta pusaka yang jumlah nilaiannya lebih daripada RM2 juta sama ada terdiri daripada harta alih semuanya atau harta tak alih semuanya atau campuran di antara harta alih dengan harta tak alih.

Harta pusaka besar (biasa) juga termasuk harta yang ditinggalkan oleh si mati tetapi ada meninggalkan wasiat (di bawah Akta Wasiat 1959) walaupun nilainya kurang daripada RM2 juta.

Permohonan untuk mendapatkan kuasa tadbir dan pembahagian hendaklah dibuat ke Mahkamah Tinggi Sivil sahaja.

Undang-undang yang terpakai dalam mentadbir harta pusaka besar (biasa) ialah Akta Probet dan Pentadbiran 1959, Probate and Administration Rules 1961, Rules of the High Court 1980.

(b) Harta pusaka ringkas iaitu harta pusaka tanpa wasiat yang terdiri daripada harta alih sahaja dan jumlah nilainya tidak melebihi RM600,000.00. Waris-waris si mati boleh mendapat pindah milik harta-harta tersebut tanpa memohon surat kuasa tadbir dari Mahkamah dengan syarat waris berkenaan membuat permohonan kepada pegawai pentadbir pusaka atau pemegang amanah raya supaya mengendali dan menyelesaikannya.

(c) Harta pusaka kecil iaitu harta pusaka tanpa wasiat yang jumlah nilaiannya tidak lebih daripada RM2 juta yang terdiri daripada harta tak alih semuanya atau campuran antara harta tak alih dan harta alih. Permohonan tuntutan harta pusaka kecil boleh dibuat kepada pejabat daerah atau pejabat tanah negeri-negeri.

Harta alih terdiri daripada wang ringgit, insurans, saham, binatang ternakan, kenderaan dan sebagainya.

Manakala harta tak alih ialah harta yang tidak boleh dipindahkan dari suatu tempat ke suatu tempat kecuali akan merosakkan harta tersebut seperti tanah, rumah, bangunan dan sebagainya.

Menurut undang-undang di Malaysia, penilaian terhadap sesuatu harta dibuat semasa permohanan pembahagiannya dikemukakan.

Harta pusaka biasa (besar) ditadbirkan oleh orang perseorangan atau Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pemegang Amanah Raya dengan membuat permohonan kepada mahkamah untuk mendapat surat kuasa wasiat (probate) jika si mati meninggalkan wasiat yang meliputi semua hartanya (bagi orang bukan Islam sahaja), atau untuk mendapat surat kuasa mentadbir (letters of administration) bagi harta pusaka tanpa wasiat (intestate) ataupun surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar (letters of administratian with will annexed) apabila si mati meninggalkan wasiat untuk sebahagian daripada harta peninggalannya sahaja (partly testate and partly intestate).

Jika si mati meninggalkan sebarang harta dengan surat wasiat terakhir yang sah yang mengandungi cara-cara bagaimana harta pusakanya hendak dibahagikan di antara waris-warisnya, maka harta pusaka itu dipanggil harta pusaka berwasiat (testate estate).

Bagi orang yang bukan beragama Islam, wasiat itu adalah sah selama mana ia tidak mengandungi syarat-syarat yang bercanggah dengan Ordinan Pentadbiran Harta Pusaka dan kesahan wasiatnya tidak dicabar oleh mana-mana waris.

Bagi orang yang beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan tidak lebih 1/3 daripada harta pusakanya kepada pihak-pihak lain selain daripada waris (dengan persetujuan atau tanpa persetujuan waris).

Orang yang meninggalkan harta tanpa wasiat dipanggil harta pusaka tak berwasiat (intestate estate).


UNDANG-UNDANG YANG DIGUNA PAKAI DALAM TUNTUTAN HARTA PUSAKA BESAR


Dalam tuntutan yang berkaitan dengan pentadbiran harta pusaka besar (biasa), jenis undang-undang yang telah diguna pakai dalam memutuskan hak waris dan bahagian yang akan diperolehi masing-masing antaranya ialah Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97) adalah dilaksanakan terhadap harta pusaka besar (biasa) yang mana jumlah nilaiannya lebih daripada RM2 juta sama ada terdiri daripada harta alih semuanya atau harta tak alih semuanya atau terdiri daripada campuran harta alih dan harta tak alih.

Begitu juga, harta pusaka berwasiat (mengikut Akta Wasiat 1959) termasuk juga dalam definisi harta pusaka besar walaupun nilainya kurang daripada RM2 juta.

Akta Probet dan Pentadbiran 1959 telah dikuatkuasakan pemakaiannya di seluruh Semenanjung Malaysia pada 1hb. Februari 1960.

Akta ini memperuntukkan cara-cara bagi mendapatkan Surat Kuasa Probet atau Surat Kuasa Tadbir. Permohonan untuk mendapatkan surat kuasa tersebut hendaklah dibuat kepada Mahkamah Tinggi Sivil.

Menurut akta ini, terdapat tiga jenis surat kuasa wasiat dan surat kuasa tadbir, antaranya iaitu:

i. Surat kuasa wasiat (probet) di mana jika si mati ada meninggalkan wasiat yang meliputi semua hartanya (bagi si mati yang bukan beragama Islam)

ii. Surat kuasa tadbir bagi harta pusaka tanpa wasiat (intestate estate)

iii. Surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar apabila si mati ada meninggalkan wasiat terhadap sebahagian daripada harta peninggalannya dan sebahagian yang lain lagi tanpa wasiat (partly testate and partly intestate)

Walau bagaimanapun, cara pembahagian harta pusaka orang-orang Islam hendaklah mengikut hukum syarak (faraid).

Ini dapat dilihat di mana Hakim Syarie atau Mahkamah Syariah masih dikehendaki bagi membantu urusan pembahagian harta pusaka orang-orang Islam dalam menentukan bahagian faraid, mengesahkan sesuatu nazar, wasiat dan membuat keputusan berkenaan dengan harta sepencarian (carian laki bini).

BIDANG KUASA MAHKAMAH TINGGI SIVIL DALAM TUNTUTAN HARTA PUSAKA BESAR


Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat kuasa probet, surat kuasa tadbir atau surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar apabila permohonan dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang menuntut pembahagian pusaka besar (biasa).

Sebelum sesuatu permohonan surat kuasa tadbir diluluskan oleh mahkamah, satu pemberitahuan dikeluarkan oleh pihak mahkamah kepada orang ramai untuk menentukan jika ada apa-apa bantahan.

Setelah pihak mahkamah berpuashati bahawa sesuatu surat kuasa tadbir itu boleh diberi kepada pemohon atau mana-mana orang yang layak mentadbirkannya, barulah perintah dibuat bagi membolehkan surat kuasa tadbir sesuatu pusaka itu diberi kepada orang-orang tertentu.

Pada kebiasaannya, orang yang diberi surat kuasa tadbir (selain daripada Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pemegang Amanah Raya) telah dikenakan syarat agar mendapatkan seorang atau dua orang penjamin.

Seterusnya, orang yang telah diberi surat kuasa tadbir oleh mahkamah akan secara rasminya boleh menjadi pentadbir kepada sesuatu pusaka setelah seseorang itu mendapat surat kuasa tadbir.

Surat kuasa tadbir ini tidak akan dikeluarkan kepada pemohon melainkan setelah ianya berjaya mendapat penjamin dimana penjamin tersebut menandatangani suatu bon (surat ikatan ikrar) dan setelah ianya mendapat sijil akuan Pemungut Cukai Harta Pusaka yang pembayarannya telah diberi penangguhan.

JENIS-JENIS PROBET YANG DIKELUARKAN OLEH MAHKAMAH TINGGI


Dalam proses tuntutan harta pusaka besar khususnya di Mahkamah Tinggi, ia melibatkan dua jenis probet iaitu Letters of Administration (Surat Kuasa Mentadbir) dan Grant of Probate (Surat Kuasa Wasiat).

Dalam surat kuasa mentadbir, di mana melibatkan peninggalan pusaka si mati tanpa wasiat (intestate estate) manakala probet pula melibatkan harta peninggalan si mati yang ada wasiat meliputi semua hartanya jika si mati tersebut bukan beragama Islam.

Di samping itu juga, surat kuasa Probet atau surat kuasa mentadbir hendaklah dibuat kepada Mahkamah Tinggi Sivil sama ada oleh orang perseorangan, peguambela dan peguamcara dan Pegawai Pentadbir Pusaka atau Amanah Raya Berhad.

Probet ialah tindakan untuk memperaku dan mengesahkan sesuatu wasiat yang ditinggalkan si mati.

Tujuan probet ialah untuk memberi pengiktirafan kepada sesuatu wasiat yang sah di sisi undang-undang. Menurut perkara 3(1), Bahagian II, Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (Akta 97), probet boleh diberikan kepada wasi yang dilantik oleh sesuatu wasiat.

PERANAN PENTADBIR TERHADAP HARTA PUSAKA BESAR


Dalam al-Quran (surah al-Nisa’ (4): 7, 11, 12, 175, 176 dan 177) dan al-Sunnah terdapat hukum-hukum tetap dan terperinci tentang pembahagian pusaka dalam undang-undang Islam, tetapi prosedur dan cara-cara mentadbirkan harta pusaka tidak dijelaskan dengan cara terperinci.

Tugas pentadbiran harta pusaka terletak kepada negara, yang mewakilkannya kepada qadi atau hakim.

Oleh kerana tugas, peranan dan tanggungjawab pentadbiran dan pembahagian harta pusaka adalah berat dan penting dalam Islam bagi mempastikan keadilan, adalah menjadi tanggungjawab negara untuk mewujudkan peraturan-peraturan tertentu bagi mengurus dan mengendalikan perkara tersebut, dengan syarat peraturan-peraturan itu hendaklah tidak bertentangan dengan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Islam.

Di antara tugas, peranan dan tanggungjawab pentadbir-pentadbir pusaka orang-orang Islam ialah 
 
  1. menentukan jumlah sebenar harta pusaka si mati, 
  2. hak dan tanggungan yang sepatutnya ditolak, 
  3. waris-waris yang berhak dan yang tidak berhak, 
  4. halangan-halangan, 
  5. bahagian-bahagian waris yang berhak, 
  6. menyelesaikan pertikaian, menggalakkan perdamaian (sulh), 
  7. memindahkan harta kepada waris-waris yang berhak dan seumpamanya.

Dengan itu, pentadbir-pentadbir pusaka orang-orang Islam hendaklah seorang yang berkelayakan dan berkeahlian dalam bidang undang-undang pusaka Islam (faraid) dan persoalan hukum yang berkaitan dengannya.

Antara lainnya, kuasa dan tanggungjawab pemegang surat kuasa ialah untuk 
  1. mengumpulkan segala harta peningglan si mati, 
  2. termasuk memungut hutang si mati, 
  3. membayar hutang si mati, 
  4. membayar cukai-cukai harta si mati menurut undang-undang, 
  5. termasuk kuasa mendakwa dan tanggungan didakwa berkenaan dengan harta si mati dan hutang piutang si mati.

Hanya setelah selesai segala cukai, hutang-hutang yang ditanggung oleh si mati dibayar dan dakwaan (jika ada) selesai, maka harta peninggalan si mati yang bersih akan dibahagi-bahagikan mengikut hukum faraid bagi orang Islam dan mengikut Ordinan Pembahagian 1958 bagi orang-orang yang bukan Islam, Ordinan Tanah Adat di Sabah dan Sarawak, Enakmen Pemegangan Tanah Adat di Negeri Sembilan dan sebagainya.

Sebelum daripada harta pusaka dibahagikan, undang-undang berkehendakkan supaya sesuatu pemberitahuan atau iklan dibuat di dalam akhbar-akhbar yang sesuatu pusaka itu akan dibahagi-bahagikan dan jika ada sesiapa yang mempunyai hak menuntut harta dari pusaka si mati hendaklah berbuat demikian dalam jangka masa yang tertentu sebelum pembahagian dibuat kepada waris-waris.

Mengikut undang-undang pentadbiran harta pusaka sekarang, seseorang yang berhak mewarisi sesuatu pusaka atau sebahagian daripadanya dibolehkan menolak habuannya kepada lain-lain waris sama ada kesemuanya atau sebahagian daripada haknya.

Oleh yang demikian dengan adanya pentadbir pusaka ini, yang memainkan peranan yang telah diamanahkan, telah memudahkan lagi urusan pembahagian harta yang akan diagihkan mengikut bahagian masing-masing.

Dengan kata lain, ia mempercepatkan lagi masa dan tidak memerlukan kepada jangka masa yang panjang untuk diselesaikan.

PROSES TUNTUTAN HARTA PUSAKA BESAR DI MAHKAMAH TINGGI SIVIL


Dalam sesuatu tuntutan harta pusaka, prosedur yang perlu diikuti khususnya tuntutan yang dibuat di Mahkamah Tinggi ialah bagi harta pusaka dengan wasiat dan harta pusaka yang ditakrifkan sebagai harta pusaka biasa, tindakannya hendaklah diambil di Mahkamah Tinggi yang berhampiran dengan alamat tinggal si mati.

Jika si mati meninggalkan wasiat, hanya Mahkamah Tinggi berkuasa untuk mengeluarkan probet.

Tetapi jika si mati tidak meninggalkan sebarang wasiat, permohonan untuk surat kuasa mentadbir pusaka hendaklah dibuat.

Bagi permohonan untuk mendapatkan surat kuasa mentadbir pusaka, hendaklah dibuat oleh pihak-pihak yang layak antaranya ialah waris-waris si mati (benefisiari si mati) seperti balu atau duda, anak lelaki atau anak perempuan, ibu atau bapa, adik beradik dan sebagainya.

Seterusnya, oleh si piutang (creditors) seperti si pemberi pinjam wang, bank, koperasi dan sebagainya dan harta alih serta harta tak alih yang bernilai RM2 juta ke atas kesemuanya.

Permohonan atau tuntutan oleh waris-waris untuk mendapatkan surat kuasa wasiat (probet) atau surat kuasa tadbir boleh dibuat melalui sama ada;

(a) Menuntut secara persendirian

(b) Menuntut melalui khidmat peguam bela atau peguam cara

(c) Menuntut menerusi bantuan Pegawai Pentadbir Pusaka Malaysia atau Pemegang Amanah Raya (Amanah Raya Berhad)

Semasa membuat tuntutan, antara dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan ialah:

(a) Bukti Kematian seperti Sijil Perakuan Kematian (Death Certificate) atau permit pengkebumian. Lazimnya dokumen-dokumen seperti ini dikeluarkan oleh pihak hospital atau pihak polis.

(b) Jika kematian tidak dapat dibuktikan dengan cara biasa, satu permohonan untuk Perintah Anggapan Kematian (Presumption of Death) harus dibuat di Mahkamah Tinggi terlebih dahulu dan Perintah Mahkamah Tinggi itu hendaklah dikemukakan bersama-sama petisyen untuk probet atau surat kuasa mentadbir pusaka.

(c) Bagi permohonan probet, surat wasiat terakhir si mati hendaklah dipamerkan bersama petisyen semasa difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah.

(d) Satu jadual yang mengandungi butir-butir serta nilai aset dan tanggungan (asets and liabilities) si mati hendaklah juga disertakan bersama petisyen.

(e) Bagi orang Islam, satu Sijil Faraid diperolehi dari Mahkamah Syariah atau bahagian faraid dari Jabatan Agama Islam hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah bersama petisyen untuk surat kuasa mentadbir pusaka.

(f) Di samping itu, semua jenis petisyen untuk surat kuasa mentadbir hendaklah dilengkapkan dengan senarai waris, umur, tali persaudaraan dengan si mati dan alamat masing-masing bagi tujuan mendapatkan persetujuan melantik pentadbir yang dicadangkan.

(g) Waris-waris yang bersetuju di atas pelantikan seseorang waris yang dicadangkan sebagai pentadbir pusaka atau wasi boleh memfailkan surat persetujuan masing-masing yang ditandatangani di hadapan Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah, sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan di Mahkamah.

(h) Waris-waris yang ingin menolak hak dan bahagian masing-masing kepada surat kuasa mentadbir harta pusaka bagi harta pusaka tersebut bolehlah memfailkan penolakan masing-masing.

(i) Geran (atau kuasa) untuk probet atau mentadbir harta pusaka hanya boleh dikeluarkan setelah semua maklumat yang diperlukan oleh mahkamah dikeluarkan.

Selain daripada itu, sungguhpun undang-undang membolehkan orang perseorangan membuat permohonan sendiri untuk mendapatkan surat kuasa tadbir dan seumpamanya dari mahkamah, tetapi hal sebegini adalah sukar untuk difahami oleh seseorang yang bukan peguam.

Oleh itu, orang perseorangan kebiasaannya menyerahkan perkara ini kepada peguam-peguam yang mempunyai kemahiran untuk menguruskannya dengan cara membayar bayaran perkhidmatan yang dikenakan yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak tersebut.

Selain itu, mereka juga boleh dengan pilihannya sendiri memohon supaya sesuatu harta pusaka itu ditadbirkan oleh Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pemegang Amanah Raya dengan bayaran tertentu.

Seterusnya permohonan untuk mendapatkan surat kuasa tadbir dari Mahkamah Tinggi hendaklah disertakan bersama surat akuan sumpah berkenaan dengan harta pusaka si mati (estate duty affidavit) bagi maksud pengutipan cukai harta pusaka dan surat akuan tersebut hendaklah diberikan kepada Pemungut Cukai Harta Pusaka.

Setiap permohonan surat kuasa tadbir oleh Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pemegang Amanah Raya hendaklah didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Pusat (Central Registary) iaitu Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur untuk Semenanjung Malaysia.

Kewajipan pendaftaran pusat dalam peraturan pentadbiran pusaka oleh kerana tuntutan pusaka bagi seseorang si mati hanya boleh dibuat dalam satu kes sahaja dan hendaklah meliputi semua harta peninggalannya.

Pihak pendaftaran pusat mengikut rekod yang tersimpan menentukan sama ada harta pusaka seseorang si mati itu telah dituntut atau sebaliknya.

Jika didapati telah dituntut dan harta yang disenaraikan itu harta tambahan yang belum disebut dalam senarai permohonan dahulu, maka suatu akuan pembetulan (corrective affidavit) diperlukan ke atas pusaka yang dituntut itu, dan pihak pemungut cukai harta pusaka hendaklah diberitahu hal tersebut.

Sebaliknya, jika didapati sesuatu pusaka itu belum pernah dituntut maka jawapan sedemikian akan diberi kepada pemohon dan pegawai bagi sesuatu tuntutan pusaka atas permohonan surat kuasa tadbirnya.

Wallahualam..

Sumber: Mohd Zamro Muda

Kredit: https://sahabatsyarie.wordpress.com/2017/09/19/pengurusan-dan-tuntutan-harta-pusaka-besar-orang-islam-di-malaysia/

No comments: