12 April 2022

21 December 2015

Bolehkah Anda Lakukan Sendiri Urusan Pindah Milik Hartanah Kepada Waris?

February 11, 2015 — Penulis: Salkukhairi Abd Sukor
FacebookTwitter
Kepada orang awam, tahukah anda yang anda sebenarnya boleh melakukan sendiri urusan pindahmilik hartanah anda kepada waris anda (seperti isteri, suami, anak, ibu bapa dan sebagainya) tanpa perlu menggunakan khidmat peguam.
Walaupun mungkin ramai yang tidak sedar akan perkara tersebut, hakikatnya, dengan melakukan sendiri urusan pindah milik hartanah, ia dapat mempercepatkan urusan dan dapat menjimatkan kos.
1. Syarat-syarat Pindahmilik Hartanah Kepada Waris Yang Boleh Dilakukan Sendiri
Terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh seseorang sebelum boleh melakukan sendiri urusan pindah milik tersebut:
i. Pemberi Pindah Milik (PPM) adalah tuan punya berdaftar hartanah tersebut. Dalam erti kata lain, dalam geran tertulis nama PPM sebagai tuan punya berdaftar. Sekiranya dalam geran masih lagi nama orang lain dan bukannya nama PPM maka khidmat nasihat peguam adalah diperlukan.
ii. Hartanah tersebut bebas daripada sebarang halangan (free from all encumbrances). Misalnya Hartanah tersebut tidak digadaikan kepada mana-mana bank atau bebas daripada sebarang kaveat oleh mana-mana pihak. Jika hartanah tersebut terdapat sebarang halangan yang tidak memungkinkan ianya dipindah milik, maka sila dapatkan nasihat dan khidmat peguam untuk menyelesaikannya terlebih dahulu.
iii. Urusan pindah milik tersebut tidak melibatkan transaksi jual beli di antara PPM dan Penerima Pindah Milik (PNPM). Jika ia melibatkan urusan jual beli di antara kedua-dua belah pihak tersebut, satu perjanjian jual beli perlulah disediakan dan ditandatangani oleh mereka terlebih dahulu. Dan sudah semestinya, adalah digalakkan perjanjian jual beli itu disediakan oleh peguam.
iv. Balasan pindah milik hartanah adalah atas dasar “balasan kasih sayang” semata-mata dan tidak melibatkan balasan wang ringgit atau tanpa melibatkan sebarang terma yang bersangkutan dengan jual beli.
2. Bagaimanakah Langkah-langkah Yang Perlu Diambil Untuk Melaksanakan Urusan Pindah Milik Tersebut?
i. Dapatkan Kebenaran Pindah Milik Daripada Pihak Berkuasa Negeri
Sila lihat dalam geran hartanah, sekiranya hartanah tersebut tertakluk kepada sekatan kepentingan, misalnya dalam geran ditulis, “Tanah ini tidak boleh dipindahmilik melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada Menteri Besar atau Pihak Berkuasa Negeri atau Pengarah Tanah dan Galian terlebih dahulu”.
Maka sebelum pindah milik boleh dilakukan, PPM hendaklah terlebih dahulu menyerahkan permohonan kebenaran pindah milik (consent) tersebut di pejabat tanah yang berkenaan.
Caranya, dapatkan borang kebenaran pindah milik di pejabat tanah dan isi segala maklumat yang dikehendaki dalam borang tersebut dengan menggunakan pen dakwat cair warna hitam. Lampirkan dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan semasa serahkan permohonan tersebut di pejabat tanah.
Di antara dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan adalah seperti salinan kad pengenalan PPM dan salinan kad pengenalan PNPM, salinan asal carian rasmi , salinan resit cukai tanah tahun terkini, salinan surat nikah (jika suami isteri), salinan surat beranak (jika anak/ibu bapa/ adik beradik), dan salinan geran asal hartanah.
ii. Isi Borang Pindah Milik (Borang 14A)
Setelah kebenaran pindah milik diperolehi, sila dapatkan/ beli Borang Pindahmilik (Borang 14A) daripada pejabat tanah dan sila isi segala maklumat yang dikehendaki di dalam borang pindahmilik tersebut.
Sekiranya anda tidak pasti bagaimanakah cara untuk mengisi Borang 14A tersebut, sila dapatkan bantuan daripada kerani yang bertugas di kaunter pendaftaran pejabat tanah, atau kebiasaannya, sampel borang tersebut ditampal di notice board di bahagian pendaftaran pejabat tanah. Ikut sahaja sampel tersebut.
iii. Tandatangan Borang Pindah Milik Dihadapan Peguam atau Penolong Pegawai Daerah
Selepas diisi sepenuhnya Borang 14 tersebut, kedua-dua PPM dan PNPM hendaklah menurunkan tandatangan dalam Borang pindah milik (Borang 14A) tersebut dihadapan Penolong Pentadbir Tanah (ADO) sebagai saksi.
Anda juga boleh mintak bantuan peguam sebagai saksi untuk tanda tangan borang pindah milik tersebut, tetapi kebiasaannya peguam akan kenakan sedikit charge perkhidmatan sebanyak RM50 (maksimum) untuk setiap penyaksian yang dibuat.
iv. Hantar Permohonan Adjudiksai (Permohonan Nilaian Duti Setem) di LHDN
Selepas itu, sila serahkan permohonan adjudikasi (penilaian duti setem pindah milik) di Unit Stem, Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Anda boleh lakukan sama ada secara manual atau secara online.
Untuk proses secara manual anda kena isi borang yang disediakan di kaunter stem dan sila sertakan sekali bersama-sama borang permohonan tersebut dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan seperti salinan geran hartanah, salinan borang pindah milik yang telah ditandatangani dan disaksikan, salinan kad pengenalan PPM dan PNPM, salinan surat beranak/ salinan sijil nikah PPM dan PNPM, salinan surat kebenaran pindah milik dan lain-lain dokumen sokongan yang diperlukan oleh LHDN.
Sekiranya anda serahkan permohonan secara on line, anda boleh layari www.hasil.gov.my/stamp. Anda perlu mendaftar terlebih dahulu untuk membolehkan anda log in dalam web site tersebut. Dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah discan dan diupload di dalam page yang disediakan.
v. Terima Notis Nilaian Duti Setem Pindah Milik
Biasanya dalam tempoh 8 hari bekerja, LHDN akan hantar kepada anda Notis Taksiran Duti Stem yang menjelaskan tentang berapa banyakkah duti stem pindah milik yang anda kena bayar.
Duti Stem yang dikenakan adalah mengikut nilai pasaran semasa hartanah tersebut. Nilai pasaran tersebut ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH), dimana JPPH akan memaklumkan kepada LHDN tentang berapakah nilaian semasa hartanah yang hendak dipindah milik tersebut.
Bedasarkan kepada itulah LHDN akan tentukan berapakah duti stem pindah milik yang dikenakan kepada anda. Semakin tinggi nilai pasaran semasa hartanah tersebut, maka semakin tinggilah duti stem yang akan dikenakan.
vi. Bayar Duti Setem Pindah Milik
Untuk duti stem pindah milik atas balasan Kasih Sayang daripada suami kepada isteri dan sebaliknya, bayaran duti stem pindahmilik adalah dikecualikan. Manakala untuk duti stem pindah milik atas balasan Kasih Sayang daripada bapa/ ibu kepada anak dan sebaliknya, bayaran duti stem pindahmilik adalah sebanyak 50% daripada duti stem sebenar yang akan dikenakan.
Untuk pindah milik yang dibuat atas balasan Kasih Sayang sesama adik beradik, anak saudara kepada bapa/ ibu sudara dan sebaliknya, dan lain-lain, tiada pengecualian atau potongan duti stem diberikan. Dalam erti kata lain, mereka akan dikenakan bayaran duti stem penuh mengikut nilaian semasa hartanah tersebut.
vii. Tempoh Bayaran Duti Setem Pindah Milik Perlu Dibuat
Anda mempunyai masa selama 30 hari untuk menjalaskan bayaran duti stem pindah milik tersebut di LHDN. Sekiranya gagal, anda akan dikenakan penalti atas kelewatan bayaran tersebut. Selepas bayaran dibuat Sijil Bayaran Duti Stem Pindah milik akan dikeluarkan oleh LHDN dan ia perlu dilampirkan sekali di dalam Borang Pindah milik tersebut.
viii. Pendaftaran Pindah Milik di Pejabat Tanah
Setelah itu, bolehlah anda uruskan pendaftaran pindah milik di pejabat tanah. Diantara dokumen-dokumen yang anda perlukan untuk masuk permohonan pendaftaran pindah milik adalah seperti berikut:-
• Salinan Kad Pengenalan PPM dan PNPM beserta salinan surat beranak/ sijil nikah (jika berkenaan)
• Borang pindah milik yang telah dimati stem (diadjudikasi)
• Geran Hartanah yang asal
• Resit Asal bayaran cukai tanah dan cukai pintu tahun terkini (jika rumah/ kedai)
• Sijil Bayaran Duti Stem Pindah Milik
• Notis Taksiran Duti Stem Pindah Milik
• Salinan Asal Surat Kebenaran Pindah Milik
• Fee pemprosesan (berbeza beza mengikut negeri masing-masing)
ix. Pengeluaran Geran Baru Yang Telah Dipindah Milik
Setelah permohonan pindah milik didaftarkan oleh pejabat tanah, pejabat tanah akan keluarkan geran asal yang baru yang telah dipindahmilik kepada nama PNPM. Tempoh proses pengeluaran geran asal yang baru berbeza-beza mengikut negeri masing-masing. Paling lama mungkin ambil masa dalam 2 minggu. Ada sesetengah negeri dalam masa 1 jam pun sudah siap geran baru.

Maka selepas dapat geran asal yang baru, selesailah sudah proses pindah milik hartanah kepada waris anda. Mudah, jimat dan praktikal bukan?
kredit kepada
https://www.facebook.com/salkukhairi.abdsukor/posts/834321366607452

No comments: