Berikut teks penuh ucapan oleh mantan Ketua Hakim Negara,
Tun Abdul Hamid Mohamad pada Majlis Wacana Islam dan Cabaran Semasa
sempena Majlis Berbuka Puasa NGO-NGO
Islam.
Semenanjung Tanah Melayu telah dijajah daripada orang
Melayu. Yang menentangnya, baik Dato Bahaman, Dato Sagor, Dato Maharaja Lela,
Dol Said, Tok Janggut atau Rusli Dhobi, adalah orang Melayu. Yang menentang
Malayan Union adalah orang Melayu. Yang berkorban nyawa menentang pengganas
Komunis semasa darurat adalah orang Melayu. Yang menuntut kemerdekaan adalah
orang Melayu. Orang bukan Melayu menyertai gerakan menuntut kemerdekaan apabila
mereka melihat ia akan menjadi kenyataan untuk menjaga kepentingan mereka. Pada
masa itu pun tujuan mereka sudah berlainan.
Logiknya, Semenanjung Tanah Melayu yang dijajah daripada
orang Melayu hendaklah dipulangkan kepada orang Melayu. Tetapi tidak, orang
Melayu diminta berkongsi kuasa yang akan diserah balik oleh penjajah British.
Pada masa itu pun orang Melayu telah diminta mengorbankan hak mereka “untuk menjaga perpaduan”. Orang Melayu bersetuju,
sehinggakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1955, untuk memberi lebih banyak
representasi kepada orang bukan Melayu, kawasan-kawasan majoriti Melayu
diberikan kepada calon-calon bukan Melayu untuk bertanding. Keadaan ini
berterusan demi untuk memastikan kemenangan pemimpin-pemimpin utama bukan
Melayu, sehinggalah PRU 12 apabila kemenangan UMNO sendiri dalam kawasan
majoriti Melayu sudah tidak terjamin.
Semasa rundingan kemerdekaan, PAS menuntut supaya Pulau
Pinang dan Melaka dijadikan Negeri-Negeri Melayu demi menjaga hak keistimewaan
orang Melayu. Semasa Malaysia hendak ditubuhkan PAS menentangnya kerana ia akan
mengurangkan peratusan orang Melayu dan takut kiranya orang Melayu akan hilang
kuasa politik dan dengan itu kedudukan orang Melayu dan agama Islam akan
tergugat. Malah, selama beberapa dekat PAS senentiasa mengkritik UMNO kerana “tak cukup Melayu dan tak cukup
Islam”. Begitu prihatin PAS terhadap
nasib bangsa Melayu dan agama Islam pada masa itu.
Semasa rundingan kemerdekaan juga, Parti Boroh Malaya
menuntut supaya ditubuhkan kerajaan unitari kerana, mengikut mereka,
mengekalkan Sultan-Sultan dan Negeri-Negeri Melayu akan mewujudkan sebuah
kerajaan beraja. Dalam kata- kata lain mereka hendak menghapuskan sistem beraja
di Malaya. Siapakah majoriti ahli-ahli Parti Boroh? Tidakkah tuan-tuan terhidu
bau yang serupa sekarang?
Parti Komunis Malaya mengangkat senjata untuk menubuhkan
kerajaan komunis ala-China. Beberapa orang pemimpin parti-parti kiri Melayu
lari ke hutan dan menyertai Parti Komunis Malaya kerana takut ditangkap
British. Mereka diperalatkan oleh Chin Peng untuk mempengaruhi orang Melayu
menyokong perjuangan mereka. Nasib baik, pada masa itu orang Melayu tidak
terpengaruh degan mereka. Soalan: Tidakkah orang Melayu ternampak perancangan
yang serupa sekarang oleh “komunis
bandar” meminjam istilah Tan Sri
Rahim Noor, mantan Ketua Polis Negara?
Biar apa pun, akhirnya peruntukan-peruntukan Perlembagaan
dipersetujui dan ia menjadi undang-undang utama kita. Pada detik 12.00 tengah
malam Semenanjung Tanah Melayu pun merdeka. Orang-orang yang sebaya dengan saya
masih terdengar pekikan “Merdeka” itu dengan perasaan penuh
semangat dan kegembiraan.
Tetapi, pada detik yang sama, satu perkara berlaku, yang
kita tidak sedar. Ini digambarkan dengan jelas oleh Professor Shad Saleem
Farouqi dalam bukunya yang bertajuk “Document
of Destiny: The Constitution of the Federation of Malaysia” di muka surat 710. Katanya:
“As a result
of the “social contract” between the various races,
millions of migrants to British Malaya were bestowed with citizenship by the
Merdeka Constitution. It is believed that the number of citizens in Malaya
doubled at the stroke of midnight on August 31, 1957 due to the constitutional
grant.”
“Akibat “kontrak sosial” di antara berbagai-bagai
kaum, berjuta-juta pendatang ke Malaya yang diperintah oleh British itu diberi
kerakyatan oleh Perlembagaan Merdeka. Adalah dipercayai bahawa jumlah warga
negara Malaya bertambah sekali ganda pada detik tengah malam 31 Ogos 1957
disebabkan oleh pemberian Perlembagaan itu.”
(Terjemahan saya).
Pada 1963, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Kedudukan
anak negeri Sabah dan Sarawak hampir serupa dengan kedudukan orang Melayu di
Semenanjung. Maka peruntukan yang serupa dibuat untuk mereka – lihat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Semenjak Merdeka hinggalah sekarang, Kerajaan Persekutuan
dipimpin oleh sekumpulan parti berbagai-bagai bangsa dengan seorang Melayu
sebagai Perdana Menterinya. Biar apa pun kelemahan mereka, negara berada dalam
keadaan aman, tenteram membolehkannya maju dalam semua bidang dan dinikmati
oleh semua orang dan semua kaum. Mana sebuah kaum yang boleh berkata bahawa
mereka tidak menikmati kemakmuran Malaysia walau sedikit pun? Negara kita adalah
di antara beberapa buah negara sahaja dalam dunia ini yang Perlembagaan asalnya
masih berkuat kuasa. Malah Malaysia disifatkan sebagai model negara membangun
dan negara Islam moden.
Jika kaum minoriti hendak ‘complain’ mengenai kebebasan mereka,
tunjukkan kepada saya sebuah negara yang memberi lebih banyak hak kepada kaum
minoriti. Apa jadi kepada orang Islam Rohingya di Myanmar? Di negeri-negeri
jiran, nama mereka pun perlu diubah. Tunjukkan kepada saya sebuah negara yang
bukan sahaja membenarkan sekolah-sekolah vernakular diadakan, malah
membiayainya. Dari segi kebebasan beragama, pernahkah Kerajaan menghalang
mereka daripada mengamalkan agama mereka. Pernahkah terfikir oleh mereka
bagaimana mudahnya mereka membina rumah-rumah ibadat mereka di Malaysia,
termasuk di atas tanah Kerajaan tanpa sebarang tindakan, diberi bantuan
kewangan dan tanah gantian apabila dikehendaki pindah? Bandingkan dengan
halangan yang di hadapi oleh orang Islam untuk membuat sebuah masjid di Eropah
atau Amerika Syarikat.
Kecuali seketika di sekitar tahun 1969, keadaan bertahan
selama lebih kurang 50 tahun. Ia disebabkan Kerajaan Persekutuan kukuh,
pemimpin-pemimpin yang tegas dan ekonomi yang senentiasa berkembang. Kerajaan
Persekutuan kuat sebab ia menerima sokongan orang Melayu dan bukan Melayu yang
mencukupi, walau pun lebih banyak orang Cina senentiasa menyebelahi
pembangkang. Mereka mahu lebih. Itu sahaja sebabnya. Dan mereka menuduh orang
Melayu “tamak” kerana hendak mencapai 30% ekonomi negara!
Bagaimana dengan mereka yang sudah mempunyai 80% tetapi mahu lebih? Mungkin itu
“dermawan” mengikut istilah mereka. Anehnya ada juga orang
Melayu yang mempercayainya.
Tetapi, keadaan berubah di kebelakangan ini. Orang Melayu
berpecah kerana leka dengan sedikit kemakmuran yang baru dirasai, ketaksuban
kepada parti dan pemimpin dan kehadiran pemimpin-pemimpin dan
penyokong-penyokong yang oportunis yang tidak kira apa yang akan terjadi kepada
bangsa, negara dan agama asalkan cita-cita mereka tercapai. Maka orang Melayu
berpecah dengan seriusnya. Kumpulan pengundi majoriti menjadi minoriti.
Kumpulan minoriti memperalatkan sebahagian pengundi Melayu untuk kepentingan
mereka dan orang Melayu tidak sedar.
Melihat keadaan itu, kumpulan-kumpulan yang memang pandai
mengira untung-rugi, terus mengatur perancangan mereka. Mereka membuat
perancangan teratur untuk merampas kuasa melalui peti undi, dengan bersatu padu
sesama sendiri sambil memperalatkan parti-parti Melayu dan orang Melayu yang
naif itu. Mereka hampir berjaya.
Sambil itu kumpulan-kumpulan ekstremis mula membuat
tuntutan-tuntutan yang bukan-bukan, menyerang hak-hak orang Melayu, menghina
lagu Kebangsaan, menghina bendera Malaysia, menghina Institusi Raja-Raja,
menghina pemimpin-pemimpin Melayu dan menghina agama Islam. Ketiadaan tindakan
tegas terhadap mereka dilihat oleh mereka sebagai tanda kelemahan dan mereka
menuntut lebih lagi.
Pendekatan mereka adalah bersifat ugutan dan bisnes: jika
mahu perpaduan berikan kami hak yang sama dan kebebasan sepenuhnya. Dalam
kata-kata lain, mereka mahu faedah yang diberikan kepada orang Melayu dan anak
negeri Sabah dan Sarawak dihapuskan. Ertinya, mereka mahu perizaban kadar dalam
perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, keistimewaan pendidikan dan latihan,
permit, lesen dan sebagainya dihapuskan. Semua mesti diberi atas dasar merit.
Mereka tahu mereka menguasai ekonomi dan berada di hadapan dalam bidang
pelajaran. Mereka tinggal di bandar-bandar besar di mana terdapat semua
kemudahan dan exposure. Apabila pemilihan cuma dibuat berdasarkan kelulusan
akademik, merekalah yang akan membolotnya. Tak cukup dengan itu, mereka mahu
UiTM juga dibuka kepada mereka!
Rata-rata orang bukan Islam di Malaysia tidak senang dengan
kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Mereka mahu agama-agama mereka
juga diberi kedudukan yang sama. Mengikut mantan Mufti Pulau Pinang, di Pulau
Pinang telah berlaku satu peristiwa di mana di perasmian sebuah bangunan oleh
Timbalan Ketua Menteri, doa dibacakan oleh seorang Paderi Kristian, seorang
Sami Hindu dan Imam Masjid Negeri. Saya amat hairan mengapa Imam Besar pun
turut menyertainya. Tidakkah beliau berfikir?
Saya amat sedih melihat orang Melayu dan Islam begitu naif
sehingga mereka begitu mudah diperalatkan sehingga sanggup bertakbir dan
bergolek di atas jalan raya sedangkan orang bukan Islam yang untung.
Saya juga hairan mengapa ada orang-orang yang dikenali
sebagai ulama’ tidak nampak muslihat gereja
Roman Katolik yang hendak memakai kalimah “Allah” dalam Bible Bahasa Melayu dan
upacara gereja dalam Bahasa Melayu selepas 500 tahun kecewa mengkristiankan
orang Melayu secara besar-besaran. Mereka merujuk kepada penggunaan kalimah
Allah di bumi Arab tanpa menganalisis berbezaannya. Kita perlu lihat isu itu
dalam konteks Malaysia.
Hinggakan, apabila sami Buddha mengadakan upacara sembahyang
di surau di sebuah hotel pun, ada “ilmuwan
Syariah” yang mengatakan Rasul Allah
pernah membenarkan orang Kristian bersembahyang dalam masjid. Tidakkah mereka
nampak perbezaannya?
Kisah itu melibatkan ahlil-kitab yang beriman dengan Allah
dan di peringkat awal kerasulan Muhammad s.a.w. dan cara mereka bersembahyang
pun tidak mencemarkan kesucian masjid. Jika dibenarkan penganut-penganut agama
yang ada di Malaysia bersembahyang dalam masjid, apa akan jadi? Bukan sahaja
masjid akan busuk dengan bau gaharu, babi panggang pun akan dibawa masuk ke
masjid, sebab di bulan hantu lapar “offering” kepada hantu lapar adalah
sebahagian daripada upacara sembahyang mereka.
Mantan Mufti Pulau Pinang juga memberitahu saya adalah susah
mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana
pemimpin-pemimpin agama-agama lain juga menuntut hak yang sama. Jika kita tidak
membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke seluruh Malaysia. Pada waktu
itu, waktu penyiaran rancangan-rancangan agama Islam di televisyen pun akan
terpaksa dikongsi dengan agama-agama lain. Jabatan-jabatan Kerajaan dan
kampus-kampus universiti kerajaan yang menyediakan surau akan terpaksa
menyediakan gereja, to’kong-to’kong dan gurdwara, memberi
hanya dua misalan. Ertinya, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah
tidak bermakna lagi. Peruntukan agama Islam sebagai agama Persekutuan mungkin
dimansuhkan atau kesemua agama akan dijadikan agama Persekutuan. Tidakkah orang
Islam berfikir?
Kumpulan ini sangat tidak puas hati dengan peruntukan
Perlembagaan yang tidak membenarkan orang bukan Islam menyebarkan agama mereka
kepada orang Islam. Selain dari itu, mereka pergi ke merata dunia untuk
memburukkan Islam kerana Islam tidak membenarkan penganutnya murtad, kerana
Islam membolehkan poligami, kerana Islam mengharamkan liwat, membuat tuduhan
Islam mendiskriminasikan orang perempuan kerana pembahagian pusaka yang tidak
sama rata dan lain-lain. Soalan saya: Mengapa mereka membantah hal-hal mengenai
agama Islam pada hal kita tidak pernah membantah mereka membakar kereta kertas,
duit neraka (hell money) atau mencucuk pipi mereka dengan besi dan lain-lain.
Mereka juga tidak puas hati dengan kedudukan Bahasa Melayu
sebagai bahasa Kebangsaan. Mereka mahu Bahasa mereka juga diberi kedudukan yang
sama. Ke mana perginya “kontrak
sosial”?
Ringkasnya mereka mahukan atau mahu menghapuskan apa yang
ada pada orang Melayu tetapi mereka tidak mahu melepaskan apa yang ada pada
mereka. Sanggupkah syarat kerakyatan dikaji semula? Sanggupkah
syarikat-syarikat milik mereka dibuka kepada orang Melayu, baik sebagai pemilik
saham, ahli Lembaga atau pengurusan atasan?
Kumpulan itu menjadi lebih berani kerana:
1. Mereka telah melihat orang Melayu berpecah-belah.
Kumpulan majoriti telah menjadi minoriti.
2. Mereka telah berjaya mempengaruhi pemimpin-pemimpin
parti-parti orang Melayu untuk bekerjasama dengan mereka.
3. Mereka telah berjaya memanfaatkan pengundi Melayu yang
menentang BN yang tidak sedar bahawa mereka diperalatkan.
4. Ketiadaan tindakan terhadap mereka dilihat sebagai
kelemahan Kerajaan.
5. Pemansuhan Perisytiharan Darurat dan undang-undang yang
dibuat di bawahnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan pengumuman
bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan dilihat sebagai satu kemenangan
mereka. Mereka telah sekian lama menuntut perkara itu dilakukan dan mereka
berjaya sekarang.
6. Persepsi rasuah di kalangan pemimpin politik Kerajaan
yang tinggi memudahkan orang ramai percayai hasutan mereka.
Pada masa yang sama, Kerajaan semakin mengambil sikap lebih
lembut dan “liberal”, mungkin dalam usaha untuk memenangi semula
sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu yang telah lari kepada pembangkang.
Jika itulah tujuannya, nyata sekali bahawa harapan itu adalah satu kesilapan.
Bukan sahaja mereka tidak kembali dan tidak berterima kasih, tetapi mereka
melihatnya sebagai satu kelemahan di pihak Kerajaan dan kejayaan bagi mereka.
Saya boleh faham mengapa Perisytiharan Darurat dan
undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan.
Dalam tahun 1970an, seorang Hakim dari Afrika yang datang ke
Malaysia untuk menghadiri satu persidangan undang-undang bertanya kepada saya: “Malaysia berada dalam keadaan
darurat bukan? Saya tidak lihat sekatan jalan raya oleh tentera mahupun kereta
kebal di jalan raya.” Saya jawab,
“Ya, itu darurat di Malaysia.
Bayangkan jika tidak.” Untuk
mengatakan selepas tahun 2000 kita masih berada di bawah keadaan darurat adalah
tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang yang dibuat khas
untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar untuk dibela walau pun dari
segi undang-undang ia adalah sah.
Tetapi, saya dapati sukar sedikit untuk memahami mengapa
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) juga turut dimansuhkan. Perlu diambil
perhatian bahawa ISA bukanlah satu undang-undang yang dibuat di bawah
peruntukan Perkara 150, ia itu semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa. ISA
dibuat di bawah Perkara 149 yang membolehkan undang-undang seperti ISA dibuat
untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman
awam dan sebagainya.
Memanglah undang-undang yang membolehkan penangkapan dan
tahanan tanpa perbicaraan bukanlah undang-undang yang baik. Tetapi, sudahkah
kita lupa Mei 13? Adakah keadaan yang menggugat ketenteraman negara, tidak kira
oleh siapa, komunis, militan Islam, kumpulan pelampau dan lain-lain sudah tidak
ada lagi? Mana lebih baik ISA atau Guantanamo (Untuk perbincangan mengenai ISA
dan Guantanamo, sila baca ucapan dan kertas kerja saya bertajuk “Conflict of Interests Between
Different Basic Rights” dan “Legal and Judicial
Transformation in Malaysia” yang boleh
didapati dalam lman web saya.)
Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di
kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan ISA,
berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. ISA bukanlah sebab
utama yang menentukan kedudukan itu.
Sekarang ISA telah “digantikan” dengan Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Secara ringkas, perbezaan
utama di antara keduanya ialah ISA membolehkan tahanan tanpa perbicaraan.
(Tetapi tangkapan dan penahanan itu boleh dicabar di mahkamah melalui semakan
kehakiman (judicial review)). Sebaliknya, di bawah SOSMA seseorang yang
melakukan suatu kesalahan di bawah akta itu mestilah dituduh di mahkamah atas
tuduhan tertentu dan dibicarakan sama seperi kes jenayah lain.
Setakat ini sebanyak 38 orang telah dihadapkan ke mahkmah di
bawah SOSMA, dengan 30 daripadanya di Lahat Datu. Perbicaraan sedang berjalan.
Pendakwaan dilakukan oleh Peguam Negara sendiri. Kebanayakan pertuduhan adalah
di bawah Chapter VIA Kanun Keseksaan yakni kesalahan-kesalahan yang berkaitan
dengan keganasan (offences relating to terrorism).
Ertinya “terrorism” yang memungkinkan kewujudan
ISA masih ada. Apa yang dilakukan sekarang memang cantik di atas kertas. Tetapi
soalnya, mampukan SOSMA menangani masalah terrorism? Dari segi
kesalahan-kesalahan yang diwujudkan ia nampaknya lengkap. Soalnya, dapatkah
pertuduhan-pertuduhan itu dibuktikan? Sama-samalah kita melihat
perkembangannya.
Bagi saya ukurannya bukan sangat ISA ada atau tidak tetapi
bagaimana ia dilaksanakan. Undang-undang apa pun boleh disalahgunakan. ISA pun
jika dilaksanakan dengan berhemah dan menepati peraturan-peraturannya, boleh
membawa hasil yang lebih baik dari SOSMA jika SOSMA disalahgunakan.
Sebaliknya, jika SOSMA dilaksanakan dengan berhemah dan ia
memberi kesan yang serupa, tentulah SOSMA lebih baik.
Selain daripada itu Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
telah juga mengumumkan bahawa Akta Hasutan 1948 juga akan dimansuhkan.
Akta ini dibuat oleh British apabila Persekutuan Tanah
Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British.
Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk
membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan,
menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tak sah, menghasut
orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas
hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, mengembangkan perasaan
permusuhan antara kaum. Seksyen 3(1)(f) memperuntukkan:
“…….mempersoalkan
apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau
prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III
Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181
Perlembagaan Persekutuan.”
Bahagian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152
ialah mengenai Bahasa Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai “perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan,
permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.
Peruntukan ini dimasukkan akibat peristiwa 13 Mei.
Ringkasnya, ia menghalang sesiapa sahaja daripada mempersoalkan perkara-perkara
yang disebutkan itu untuk mengelak daripada berulangnya peristiwa 13 Mei.
Bagi saya, perwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan itu
adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain.
Maka kepada anaknya saya berseru: Janganlah mansuhkan apa yang ayah anda telah
lakukan. Saya khuatir kiranya beliau tidak akan memaafkan anda kerananya.
Bagaimana dengan RUU Harmoni yang JPNIN sedang buat itu?
Mereka mengaitkan Akta Hasutan dengan RUU Harmoni. RUU
Harmoni akan menggantikan Akta Hasutan seperti mana SOSMA menggantikan ISA.
Ertinya, mengikut mereka, untuk mencapai perpaduan dan harmoni (“perpaduan”) Akta Hasutan perlulah dimansuhkan kerana ia
menjadi penghalang perpaduan. Dalam kata-kata lain, berikan kebebasan kepada
sesiapa sahaja untuk menghasut orang ramai supaya membenci Raja, menghapuskan
sistem beraja, mempersoalkan kedudukan Bahasa Melayu sebagi Bahasa Kebangsaan,
mempersoalkan hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan
kerakyatan, perpaduan akan tercapai. Lojik apa ini? Ia samalah dengan lojik
seorang yang berkata “Kalau mahu
tebuan berada di dalam sarangnya, jolokkan sarangnya.” Cubalah!
Maka kita perlu faham bahawa alasan bahawa Akta Hasutan
perlu dimansuhkan demi untuk mencapai perpaduan itu tidak berasas langsung. Ia
hanyalah helah untuk memansuhkan Akta Hasutan oleh orang-orang yang tidak
sukakannya. Apatah lagi yang menggubalnya adalah Majlis Peguam. Itulah yang
mereka mahu. Diberi peluang, terus mereka memanfaatkannya. Kita jangan
terperangkap dengan helah seperti itu.
Apa untungnya orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak
jika larangan- larangan mempersoalkan hak-hak yang diberi kepada mereka oleh
Perkara 153 itu dihapuskan? Apakah untungnya orang Melayu jika hasutan mengenai
kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dibenarkan? Yang untung
hanyalah orang-orang yang tidak suka peruntukan-peruntukan itu. Tanpa Akta
Hasutan mereka bebas menghasut orang ramai untuk menghapuskan pemerintahan Raja
Berperlembagaan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang Melayu
dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Itu kita mesti faham.
Selain dari itu, ada beberapa perkara yang sangat
menghairankan saya mengenai usaha menggubal RUU Harmoni untuk menggantikan Akta
Hasutan itu. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian
Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah Dato’
Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan
akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhkannya, hendaklah datangnya
daripada kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di
bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai
maklumat-maklumat, termasuk maklumat rahsia, mengenai ketenteraman negara yang
akan menentukan dasar mengenainya.
Soalan saya: Mengapa dalam hal ini tugas itu diambil alih
oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang menterinya
Tan Sri Joseph Kurup yang nampaknya bekerjasama dengan Nancy Shukri, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri? Adakah satu “rampasan” (highjacking) berlaku di
sini?
Mengikut prosedur biasa, penetapan dasar dilakukan oleh
kementerian berkenaan sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini,
penentuan dasar, sekurang- kurangnya di peringkat permulaan, diserahkan kepada
JUU&D yang ditubuhkan oleh MKPN yang di tubuh pula oleh JPNIN. Pengerusi
JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid
Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Lim
Chee Wee, mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam
adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR.
Adakah ini “rampasan” (highjaking) yang kedua?
Mengikut prosedur biasa juga, setelah dasar ditentukan oleh
kementerian berkenaan, penggubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam
hal ini, penggubalan dilakukan oleh Majlis Peguam. Adakah ini “rampasan”
(highjaking) yang ketiga?
Disebabkan oleh kesuntukan masa, untuk tujuan wacana ini,
memadailah jika saya memberi dua misalan mengenai isi kandungan RUU Harmoni.
Pertama, rang undang-undang itu menekankan peruntukan Perkara
8 Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 2(i) National Harmony and Reconciliation
Bill mengatakan bahawa tujuan rang undang-undang itu adalah:
“2(i) To give
effect to the letter and spirit of the Federal Constitution, in particular
Article 8.”
“Untuk memberi
kesan kepada apa yang tertulis dan semangat Perlembagaan Persekutuan, khususnya
perkara 8.” – (Terjemahan saya.) Apa kata
Perkara 8? Perkara 8(1) memperuntukkan:
“8. (1) Semua
orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan
yang sama rata di sisi undang- undang.”
Itulah yang mereka mahu mahkamah memberi keutamaan dalam
mentafsir atau memakai (interpretation or application) undang-undang itu jika
ada kes.
Sepanjang ingatan saya, saya belum penah temui satu akta
yang memperuntukkan bahawa sesuatu perkara dalam Perlembagaan itu kena diberi
perhatian yang lebih daripada yang lain-lain. Dari situ kita dapat lihat tujuan
mereka yang tersirat.
Kedua, nampaknya matlamat utama penggubal RUU Harmoni adalah
untuk memansuhkan Akta Hasutan. Seksyen 8(1), Draft Racial and Religious Hate
Crimes Bill memperuntukkan:
“8(1) The
Sedition Act 1948 [Act No. 15] is repealed.”
Siapakah yang membuat tuntutan supaya Akta Hasutan
dimansuhkan? Tidakkah apa yang hendak dilakukan itu untuk memenuhi kehendak
mereka?
Patutkah Akta Hasutan dimansuhkan? Jawapan saya: tidak.
Patutkah ia dipinda? Jawapan saya: Ya. Apakah pindaan yang perlu dibuat?
Jawapan saya: Masukkan Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Malaysia (agama Islam) ke
dalam seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan. Sekarang menghasut terhadap kedudukan agama
Islam bukanlah satu kesalahan di bawah Akta Hasutan. Mungkin kerana itu, mereka
sangat berani. Semua orang Islam, sama ada dalam UMNO, PAS, PKR, NGO dan
individu hendaklah bersatu dalam hal ini.
Kedua, pada pandangan saya, adalah lebih baik bagi kerajaan
kiranya kesalahan menghasut terhadap kerajaan dimansuhkan. Maksud saya hanya
mengenai kerajaan tetapi terhadap Raja mestilah dikekalkan. Ini lebih
demokratik, lebih telus dan lebih terbuka. Hari ini pun, walaupun larangan itu
ada, setakat yang saya tahu, kerajaan tidak pernah mengambil tindakan terhadap
orang yang mengkritiknya kerana itu sebahagian daripada proses demokrasi. Untuk
apa dikekalkan peruntukan itu?
Pada pandangan saya, itulah pendirian yang semua orang
Islam, parti politik Islam dan NGO Islam, patut ambil.
Kita bukan mahukan hak orang lain. Kita bukan menuntut
supaya Perlembagaan dirombak kerana kita mahu lebih. Kita cuma mempertahankan
Perlembagaan Persekutuan. Kita cuma mahu apa yang telah dipersetujui dikekalkan
untuk mengekalkan perpaduan dan harmoni. Rasiskah kita?
Pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam, tidak kira dalam parti
mana hendaklah bersatu dalam mempertahankan kepentingan bangsa, agama dan
negara, dengan mempertahankan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Malaysia yang
sedia ada. Caranya ialah dengan menguatkan Kerajaan Persekutuan. PAS patutlah
bekerjasama dengan UMNO dan BN di peringkat pusat. Di peringkat negeri ia boleh
kekal seperti sekarang. Saya membuat seruan ini kerana saya percaya bahawa,
dalam keadaan sekarang, mengikut hemat saya, itu sahaja cara yang boleh kita
mempertahankan Perlembagaan dan kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam di
Malaysia.
Anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak patut ingat bahawa apa
yang menjamin nasib mereka ialah Perlembagaan Persekutuan dan mereka juga
sepatutnya bersama mempertahankannya.
Sebenarnya semua pemimpin negara, tidak kira apa parti
politiknya, apa bangsa dan agamanya, sama-sama mempunyai tanggungjawab untuk
mempertahankan Perlembagaan Malaysia untuk kepentingan bersama.
Kesimpulannya:
1. Janganlah mansuh Akta Hasutan 1948.
2. Segala urusan mengenai Akta Hasutan hendaklah dilakukan
oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu KDN.
3. JPNIN tidak sepatutnya mengambil alih perkara yang
terletak dalam bidang kuasa KDN dan Peguam Negara.
4. Prosedur biasa di mana Kementerian berkenaan menentukan
dasar dan penggubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala keputusan
muktamad dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.
5. Akta Hasutan hendaklah dipinda untuk memasukkan Perkara 3
dan 11 (agama Islam) ke dalam seksyen 3(1)(f).
6. Eloklah kerajaan memikirkan untuk meminda Akta Hasutan
untuk mengeluarkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan supaya kerajaan nampak
lebih telus, terbuka dan demokratik.
7. Ketepikan draf RUU yang dibuat oleh Majlis Peguam itu.
8. Jika JPNIN berfikir bahawa perpaduan boleh dicapai
melalui undang-undang, sila sediakan drafnya. Ikutlah peraturan biasa.
9. Semua orang Melayu, Islam dan anak negeri Sabah dan
Sarawak dan semua parti politik, NGO dan pertubuhan Melayu, Islam dan anak
negeri Sabah dan Sarawak, hendaklah bersatu dalam hal ini.
10. Kita bukan hendak meminggir mana-mana kaum. Kita hanya
hendak mempertahankan Perlembagaan supaya perpaduan akan berkekalan. Malah,
kaum-kaum lain juga sepatutnya bersama-sama mempertahankan Perlembagaan kerana
hanya dengan cara itu perpaduan dan harmoni dapat dikekalkan.
Sekian. terima kasih.
Tun Abdul Hamid Mohamad tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
No comments:
Post a Comment