12 April 2022

22 July 2013

Pembahagian Harta Bukan Muslim ke Waris Muslim - Samada anak Mualaf dapat bahagian?

Daripada soalan yang dikemukakan, saya mendapati isu perundangan yang ditimbulkan ialah sama ada penulis, seorang mualaf boleh mewarisi harta ibunya seorang bukan Islam.

Ibu penulis bukan seorang Islam, oleh yang demikian akta-akta yang terpakai dalam mentadbir harta ibu penulis ialah Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Pembahagian 1958. Kedua-dua Akta ini tidak mempunyai peruntukan yang menyatakan bahawa seorang Islam tidak boleh mewarisi harta simati yang bukan Islam.

Walaubagaimana pun, memandangkan penulis telah memeluk Islam, perhatian beliau haruslah dibawa kepada hadith-hadith berikut:
  - hadith Usamah bin Zaid r.a: Nabi s.a.w bersabda: Orang Islam tidak boleh mewarisi harta orang kafir dan orang kafir tidak boleh mewarisi harta orang Islam.
 - hadith lain yang menyatakan, "Pemeluk dua agama (berbeda), tidak boleh saling mewarisi." [HR. Ahmad (6664). Orang-orang yang menakhrij Musnad berkata, "Hasan lighairih." Diriwayatkan juga oleh Abu Dawud (2911), Ibnu Majah ((2731) dari Abdullah bin Amr. Hadits ini ada dalam "Shahih A/-Jami'Ash-Shaghir"(7614). At-Tirmidzi meriwayatkan dengan gharib dari Jabir (2109).]

Berdasarkan hadith-hadith di atas, penulis yang telah memeluk agama Islam tidak boleh mewarisi harta ibunya yang bukan seorang Islam. Saya cadangkan agar tuan mendapat pandangan lanjut tentang perkara ini daripada Syarie scholars kerana kami di Jabatan Perundangan tidak berkelayakan dalam Islamic Law.

Saya mendapati negeri Perlis telah pada 1/5/2000 mengeluarkan fatwa tentang perkara ini yang berbunyi seperti berikut:

“Orang yang bukan Islam adalah tidak boleh mewarisi harta orang yang beragama Islam dan orang yang beragama Islam tidak boleh mewarisi harta orang yang bukan Islam sebagaimana penjelasan dalam hadis sahih yang bermaksud: Orang kafir tidak boleh mewarisi harta orang Islam dan orang Islam tidak boleh mewarisi harta orang bukan Islam.”

Walaubagaimana pun, saya tidak dapat memastikan ada fatwa kebangsaan berkaitan perkara ini.

Jika saya berhadapan dengan penulis saya akan menerangkan kepada beliau bahawa di bawah undang-undang sivil, yakni Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dan Akta Pembahagian 1958, tidak ada halangan untuk penulis mewarisi harta peninggalan ibunya kerana di bawah Akta-Akta ini tidak ada peruntukan yang menyatakan bahawa seorang Islam tidak boleh mewarisi harta simati yang bukan Islam . Walaubagaimana pun, memandangkan beliau seorang Islam beliau harus dimaklumkan dan dinasihatkan tentang hadith-hadith di atas untuk beliau membuat keputusan yang sewajarnya -Mungkin penulis boleh mentadbir (jika dipersetujui oleh adik-beradik yang lain tapi dia dikecualikan daripada bahagiannya. Sedikit malang beliau mendapat layanan seperti yang dinyatakan oleh penulis dari pihak-pihak yang berkaitan jika ia benar.

Semoga pandangan di atas telah memberi sedikit penjelasan tentang perkara ini.

Terima kasih,

Zuraida

 ---------------------------------------------------------------------------------------------


Ingin tahu hak sebagai anak bila peluk Islam

Soalan:

Assalamualaikum, saya memeluk Islam kerana cinta saya kepada agama ini. Namun begitu, hubungan kekeluargaan saya tidak pernah putus, malah sayalah yang menjaga ibu saya semasa dia sakit hinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Bak kata orang, air dicincang tak kan putus. Oleh kerana adik-beradik saya yang lain berada di luar negara, saya berusaha untuk menyelesaikan masalah harta pusaka ibu. Tetapi saya diberitahu, oleh sebab berlainan agama, saya tidak berhak langsung atas harta pusaka ibu saya.

Apabila saya meminta kepastian daripada Jabatan Agama Islam, saya juga diberi jawapan yang sama. Malah mereka juga bersikap kurang sabar dengan pertanyaan-pertanyaan saya dan mempersoalkan kenapa saya masuk Islam. Saya rasa amat terhina dan kecewa dengan layanan mereka. Saya cuma ingin tahu hak-hak saya sebagai seorang anak dan juga seorang Islam. Salahkah begitu? Saya juga harap maklumat ini dapat dikongsi bersama terutamanya bagi yang baru memeluk Islam. Wassalam.

Rose,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

Kami juga amat kecewa dengan layanan yang puan terima daripada pegawai yang bekerja di Jabatan Agama itu. Tidak sepatutnya mereka berkelakuan sebegitu rupa. Ini memberikan satu gambaran buruk tentang institusi yang mewakili Islam di negara ini.

Kami ingin mengambil kesempatan di sini menyeru kepada orang ramai supaya membuat pengaduan secara rasmi, iaitu secara bertulis kepada pegawai atasan pegawai yang berkenaan, jika mengalami layanan-layanan yang tidak berpatutan sebegini. Tujuannya supaya taraf perkhidmatan boleh diperbaiki di masa akan datang dan juga supaya orang lain tidak mengalami nasib yang sama.

Sememangnya kami bersetuju dengan tindakan puan menjaga ibu puan semasa dia sakit. Ini adalah satu sikap terpuji yang harus dicontohi. Agama tidak seharusnya menjadi halangan kasih sayang kekeluargaan.

Oleh kerana ibu puan bukan seorang Muslim, maka undang-undang pembahagian harta yang boleh dirujuk ialah Akta Pembahagian 1958. Seksyen 6 Akta tersebut menyatakan waris-waris yang boleh mewarisi harta pusaka seseorang yang telah meninggal. Antaranya ialah pasangannya yang masih hidup, anak, dan ibu bapa.

Seksyen ini tidak pula menyatakan bahawa waris itu mestilah menganut agama yang sama dengan orang yang meninggal itu.

Malah, apa yang ditekankan dalam Akta ini (di bawah seksyen 5) ialah pertalian darah antara orang yang meninggal itu dengan waris-warisnya.

Oleh itu, secara perundangannya, puan mempunyai hak terhadap harta pusaka ibu puan. Namun begitu, saya percaya apa yang diberitahu kepada puan oleh pegawai di Jabatan Agama adalah berdasarkan pandangan jumhur ulama yang empat, iaitu pandangan Imam Malik, Imam Abu Hanifa, Imam Syafi'e dan juga Imam Ibn Hanbal.

Keempat-empat mereka mengatakan seorang Muslim tidak boleh mewarisi harta daripada bukan Muslim.

Ini adalah situasi di mana hukum syarak diaplikasikan ke dalam kes sivil (pembahagian harta pusaka si mati yang bukan Muslim adalah kes sivil). Walaupun sudah ada undang-undang bertulis yang jelas tentang pembahagian harta pusaka orang bukan Muslim, namun apabila salah seorang warisnya beragama Islam, pihak-pihak yang berkuasa mula ragu-ragu.

Keraguan ini haruslah dihapuskan dan pihak-pihak yang berwajib mestilah berani untuk tampil memberikan penjelasan tentang hak-hak orang Muslim terhadap keluarga mereka yang bukan Muslim, dan sebaliknya.

Panel Peguam Sisters In Islam.

(Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 7, Jalan 6/10, 46000, Petaling Jaya, Selangor, atau telefon ke Talian TeleNisa 03-77843733 pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat atau e-mel: telenisa@sistersinislam.org.my )

(Versi asal tidak diubah oleh editor Utusan Malaysia)


No comments: