12 April 2022

26 August 2019

Tips Dan Rawatan Ubat Untuk Sembelit


Sembelit ialah kesukaran membuang air besar yang melibatkan pembuangan najis yang keras dan kurang kerap berbanding kebiasaan. Individu yang sembelit biasanya terpaksa meneran dan merasa tidak puas membuang air besar.

Sembelit boleh terjadi akibat kurang pengambilan air dan serat dalam makanan. Ia juga boleh terjadi kepada bayi yang minum susu formula atau bertukar corak pemakanan, pesakit yang terlantar, pesakit yang mengambil ubat jenis opioid seperti tramadol dan morfin, pesakit kanser usus dan pesakit irritable bowel syndrome.

Rawatan tanpa ubat

Rawatan sembelit menggunakan ubat tidak menyembuhkan sembelit secara kekal. Sebelum mengambil ubat, punca sembelit hendaklah dikenal pasti dan diatasi terlebih dahulu. 

Antara amalan yang boleh dilakukan untuk mengurangkan masalah sembelit adalah seperti minum 6 - 8 gelas air sehari, makan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin yang tinggi kandungan serat dan bersenam setiap hari.
Selain daripada itu kurangkan pengambilan produk tenusu, alkohol, dan makanan atau minuman yang mengandungi kafein seperti coklat, teh dan kopi.

Namun begitu, jika perubahan gaya hidup seperti di atas tidak berkesan atau anda mengalami masalah seperti buasir yang berdarah atau penyakit jantung seperti angina (sakit dada) yang bertambah teruk jika meneran, maka penggunaan ubat laksatif (julap) adalah perlu.

Laksatif juga membantu meringankan masalah sembelit dalam kalangan pesakit yang mengambil ubat jenis opioid atau menghidap irritable bowel syndrome.

Rawatan ubat laksatif

Terdapat empat jenis laksatif yang digunakan untuk merawat sembelit di mana setiap satu dengan fungsinya tersendiri. Ubat-ubat yang disenaraikan di bawah mudah didapati di mana-mana klinik, hospital dan farmasi komuniti. 

1. Laksatif Pukal
 
Contoh: dedak gandum (wheat bran), dedak oat (oat bran), sekam psyllium (psyllium husk), sekam ispaghula (ispaghula husk).

Fungsinya adalah untuk menyerap air dalam usus untuk menghasilkan najis pukal seterusnya menggalakkan pergerakan usus. Walau bagaimanapun, laksatif pukal ini memerlukan masa beberapa hari untuk berkesan. Selain daripada itu, individu yang mengambil laksatif pukal ini perlu untuk minum banyak air agar dapat mengelakkan usus tersumbat. Laksatif pukal ini sesuai untuk pesakit yang mempunyai najis yang kecil dan keras dan ia boleh dibeli di pasar raya atau di premis farmasi komuniti.

2. Pelembut Najis
 
Contoh: cecair parafin (liquid paraffin)

Pelembut najis bertindak sebagai pelincir dan melembutkan najis. Cecair parafin ini elok jika diambil sebelum makan pada waktu malam supaya ia lebih berkesan. Elakkan tidur sejurus selepas mengambil cecair parafin kerana ia bersifat meruap dan boleh memasuki paru-paru. Pengguna perlu berhati-hati kerana pengambilan jangka panjang cecair parafin ini boleh menyebabkan kerengsaan kepada usus.

3. Laksatif Osmotik
 
Contoh: lactulose

Laksatif osmosis bertindak dengan melembutkan najis melalui cara menarik air dari badan ke dalam usus melalui proses osmosis, selain mengekalkan air yang diminum bersamanya. Walaupun rasanya sangat manis, lactulose ialah sejenis gula sintetik yang tidak dicernakan oleh tubuh. Namun, ia masih mengandungi sedikit gula dalam bentuk laktosa dan galaktosa. Pesakit kencing manis harus berhati-hati mengambil lactulose ini. Pengguna boleh membancuh lactulose dengan air dan minum untuk mengurangkan rasa manisnya.

Laksatif Perangsang
 
Contoh: bisacodyl, senna, gliserin (glycerin)

Laksatif perangsang ini bertindak dengan meningkatkan pergerakan usus supaya najis dapat ditolak keluar dengan cepat. Walau bagaimanapun penggunaan berlebihan boleh menyebabkan cirit-birit. Bisacodyl terdapat dalam bentuk tablet untuk dimakan atau supositori (berbentuk seperti peluru) untuk dimasukkan ke dalam dubur.

Senna pula ialah sediaan herba dalam bentuk tablet dan boleh diperoleh di premis farmasi komuniti. Gliserin pula didapati dalam bentuk enema. Enema adalah tiub yang mengandungi cecair gliserin untuk dipicit ke dalam dubur.

Tips rawatan untuk golongan tertentu

1. Bayi dan kanak-kanak
Biasanya jus buah prun, pir atau epal yang dicampurkan sedikit ke dalam susu sudah memadai untuk melembutkan najis bayi. Laksatif yang sesuai untuk bayi dan kanak-kanak ialah lactulose. Jika tidak berkesan, laksatif perangsang boleh ditambah bagi kanak-kanak berusia dua tahun ke atas dengan nasihat doktor.

2. Wanita mengandung
Bagi wanita mengandung hendaklah sentiasa mengamalkan rawatan tanpa ubat untuk mengelakkan sembelit. Jika kaedah rawatan tanpa ubat tidak berkesan, laksatif pukal boleh dicuba terlebih dahulu. Lactulose boleh diambil secara sederhana. Manakala Bisacodyl atau senna hanya boleh diambil oleh ibu mengandung atas nasihat doktor setelah pertimbangan antara faedah dan risiko dilakukan. Walau bagaimanapun penggunaan enema gliserin tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan kesakitan abdomen yang kuat.

3. Wanita yang menyusukan anak
Laksatif pukal, lactulose, senna dan enema gliserin selamat untuk digunakan oleh wanita yang menyusukan anak. Bagaimanapun, ibu menyusu harus berhati-hati dengan sediaan senna yang digabungkan dengan herba-herba lain kerana ia mungkin tidak sesuai untuk bayi yang sedang mengalami jaundis.
Walaupun ubat-ubat untuk rawatan sembelit mudah didapati di farmasi komunti dan klinik, pengguna dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan lanjut sekiranya mengalami masalah sembelit berpanjangan. Sila dapatkan nasihat doktor sekiranya sembelit disertai dengan pendarahan dari dubur, sakit abdomen, tidak boleh membuang angin, dan muntah-muntah.

Disediakan oleh
Zuhailah Mohd Shafawi
Pegawai Farmasi Hospital Shah Alam.

No comments: