Apa itu Artikel 121 (1A)
Perlembagaan Persekutuan?
Artikel 121 (1A) adalah
peruntukan perlembagaan yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa
mahkamah Syariah.
Adakah Artikel 121 (1A) wujud dari
dahulu?
Tidak. Sebelum 1988,
urusan-urusan mahkamah Syariah selalu diganggu oleh mahkamah Sivil. Apa yang
telah diputuskan di Mahkamah Syariah dengan mudahnya dikacau oleh mahkamah
Sivil. Hal ini sebenarnya mengganggu urusan orang Islam kerana orang Islam
mempunyai hak dan kewajipan untuk dihukum di Mahkamah Syariah.
Tokoh-tokoh seperti Allahyarham
Tan Sri Ahmad Ibrahim telah berusaha lama untuk memastikan urusan Mahkamah
Syariah bebas dan tidak diganggu oleh Mahkamah Sivil, dan hanya pada tahun
1988, peruntukan (1A) dimasukkan. Mahkamah Syariah mula ada kebebasan setelah
31 tahun Malaysia merdeka.
Kenapa perlu bagi ruang pada
mahkamah Syariah?
Dari sudut sejarah, Mahkamah
Syariah telah wujud sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi dengan wujudnya
undang-undang seperti Undang-Undang Melaka. Semua negeri di Tanah Melayu
mempunyai undang-undang Islamnya sendiri. Namun kewujudannya telah dikacau oleh
penjajah sewaktu penjajahan mereka dan akhirnya mula Inggeris mula
memperkenalkan undang-undang Common Law bermula dengan perjanjian Pangkor 1786,
Piagam Keadilan 1807 dan piagam Keadilan 1824.
Malah dalam satu kes, Ramah v
Laton (1927) 6 FMSLR (CA) telah diputuskan:
"Muslim law is not foreign
law, it is the law of the land; and the local law is a matter of which the
Court must take judicial notice. The Court must propound the law and it is not
competent for the court to allow evidence to be led as to what is the local
law."
Ini bermaksud, undang-undang
Islam itu adalah satu lex loci (law of the land), atau undang-undang sebenar di
Tanah Melayu.
Justeru, hak orang Islam
sebenarnya telah mula dinafikan secara tersusun semenjak 1786 lagi, dan hanya
pada 1988 barulah Mahkamah Syariah dapat bernafas semula.
Adakah Artikel 121 (1A) mengganggu
hak orang bukan Islam?
Tidak. Sebenarnya ia memberi
semula hak orang Islam yang telah lama dihilangkan walaupun undang-undang Islam
adalah lex loci. Kewujudan mahkamah Syariah sebenarnya tidak langsung mengacau
hak orang bukan Islam di Malaysia.
Apakah impak Artikel 121 (1A)
kalau ia digugurkan?
Antara impaknya adalah orang
Islam akan kehilangan hak. Ia tidak sama sekali mewujudkan keharmonian dalam
negara kerana orang Islam adalah penduduk majoriti di Malaysia. Sedangkan
kewujudan 121 (1A) tidak pernah menghilangkan hak orang bukan Islam. Selain
itu, kedudukan mahkamah Syariah akan kembali mundur seperti sebelum tahun 1988,
di mana Mahkamah Sivil boleh mencampuri bidang kuasa Mahkamah Sivil.
Apa salahnya orang Islam menuntut
di Mahkamah Sivil? Bukankah wujudnya mahkamah Syariah menyusahkan sahaja?
Kalau begitu, saya ingin bertanya
balik, "Apa salahnya orang bukan Islam hanya dibenarkan menuntut di
Mahkamah Syariah? Bukankah wujudnya Mahkamah Sivil menyusahkan sahaja?"
Itu hak kami. Kewajipan kami
sebagai orang Islam, dihukum dengan undang-undang Islam.
Dalam kes Mualaf, apa sebenarnya
yang berlaku?
Mualaf ini sebenarnya tidak
pernah dipaksa memeluk Islam. Selepas kematiannya, JAWI menuntut agar mayatnya
dikebumikan menurut upacara Islam. Keluarganya tidak berpuas hati dan ada pihak
cuba mengambil kesempatan dari kelemahan perlaksanaan undang-undang ini dengan
cuba menjadikannya satu isu diskriminasi dan kehilangan hak orang bukan Islam.
Kalau lemahnya dari sudut
perlaksanaan, seharusnya semua pihak berusaha agar kelemahan itu dibaiki.
Bukannya bersikap, "Marahkan nyamuk, kelambu dibakar."
Kita akui mahkamah Syariah masih
belum sempurna, kita perlu satu mekanisma yang baik bagi membolehkan isu
sebegini ditangani secara bijak. Tetapi kini, isunya sudah bertukar. Saya boleh
sebut, kes Mualaf hanya dijadikan "sebab" untuk mereka yang telah
lama memperjuangkan IFC (Inter Faith Councul) dan sekutu mereka. "They are
playing the cards now".
Mereka sengaja memainkan isu demi
isu untuk melemahkan undang-undang Islam tanpa berfikir dan bertindak dengan
baik bagi mengatasi masalah yang perlu ditangani secara rasional dan bukannya
emosional.
Jadi, Artikel 121 (1A) bukan isu?
Tidak sama sekali. Ada pihak yang
sedang memanipulasikan isu mualaf agar ia kelihatan seperti isu Artikel 121
(1A), seterusnya mendesak ia dipinda. Saya percaya, sekiranya tuntutan mereka
gagal kali ini, seperti IFC, mereka akan tunggu isu yang lain, dan mereka akan
memanipulasikan isu tersebut untuk kepentingan mereka. Dan mereka bersuara di
belakang slogan hak bukan Islam, hak minoriti dan sebagainya.
Apa yang terbaik sebenarnya?
Seperti yang disebut dari awal,
Artikel 121 (1A) tidak pernah menganggu gugat hak orang bukan Islam. Ia cuma
memberikan hak orang Islam dan mahkamah Syariah kembali kepada asal.
Tetapi Artikel 121 (1A) tidak
cukup. Ada banyak lagi perlu dibaiki untuk kebaikan bersama. Ini yang perlu
dibincangkan. Bukannya menuntut sesuatu yang menyebabkan status Mahkamah
Syariah mundur ke belakang.
Contohnya menetapkan, orang yang
memeluk Islam perlu beritahu kepada keluarga. Tidak boleh sorok-sorok.
Jabatan-Jabatan Agama Islam wajib membimbing dan menjaga kebajikan orang yang
baru memeluk Islam. Dan isu seperti perwarisan harta yang boleh diatasi dengan
baik. Dan sebagainya.
Artikel 121 (1A) adalah satu
peruntukan yang baik untuk keharmonian agama. Ia perlu dikekalkan dan
perlaksanaannya perlu dibaiki dari masa ke masa.
Kata-kata akhir?
Sebenarnya, umat Islam yang
sebenarnya banyak dinafikan hak mereka. Kita ada beberapa undang-undang yang
menafikan orang Islam dari dihukum dengan peruntukan undang-undang Islam.
Seperti Civil Law Act 1956,
Courts of Judicature Act 1964, S.51 of Law Reform (Marriage & Divorce) Act
1976, Specific Relief Act 1950 dan beberapa akta lagi.
Kita sedar, undang-undang ini
perlu dipinda demi mengembalikan hak orang Islam. Dan usaha pembaikan itu perlu
dilakukan secara baik agar tidak menjejaskan keharmonian kaum dan agama. Kita
tidak pernah mendesak seperti mereka yang mahukan Artikel 121 (1A) ini dipinda
yang secara jelas cuba menghina orang Islam dan kedudukan agama Islam di
Malaysia.
Hak minoriti dan bukan Islam sentiasa
dipastikan agar ia tidak terganggu sebab itulah usaha membaiki undang-undang
ini dibuat secara perlahan dan menerusi pendidikan.
No comments:
Post a Comment