12 April 2022

18 July 2018

Bertafakur

Wahai diri....
Ada baiknya jika kita dapat meluangkan masa bersendirian dengan diri kita sendiri untuk beberapa jam atau beberapa hari, bagi mengimbau kembali perjalanan hidup yang telah berlalu dan menjadikannya PENGAJARAN untuk meneruskan sisa-sisa hidup kita yang makin sedikit berbaki ini.

Sebaiknya, kita bersendirian seketika. Pergi berpeleseran dengan ALAM sambil BERTAFAKUR merenung hal DIRI dengan menanam semangat dan azam :

1. Naikkan makam DIRIMU YANG TERPUJI seperti yang telah engkau janjikan. Naikkan darjat dirimu sendiri ke makam yang lebih terpuji, dari darjat bodoh ke darjat kenal, dari darjat malas ke darjat rajin, dari darjat hina ke darjat mulia, dari darjat sakit ke darjat sihat, dari darjat ego ke darjat Ihsan. Keluar dari menjadi diri BIASA yang  banyak orang ada, kepada menjadi diri LUAR BIASA yang hanya SATU orang yang ada. Satu diri yang luar biasa itu adalah diri kita sendiri ! Orang itu adalah Engkau !

2. Bertuturlah dengan semua makhluk dengan bahasa HATI yang saling menghormati dan bermotivasi, bukan dengan bahasa LIDAH yang memaki dan tinggi diri.

3. Belajar untuk lebih mengenali realiti DIRI kita sendiri kerana jasad kita makin lemah, umur makin pendek.  Tiada lagi alasan. Kurang cakap, lebih bertindak. Jadi manusia yang paling hebat pada diri kita sendiri. Bukan lagi sekadar menanam angan-angan.

4. Praktiskan IKHLAS dalam  melakukan segala sesuatu tanpa mengharap apa jua balasan termasuk mengharapkan ucapan terima kasih.  Jadi manusia yang paling IHSAN dipersekitaran kita. Praktis membantu makhluk, tanpa orang lain tau. Saling menerima maaf dan memaafkan.

Usia kita menjadi  lebih pendek pada setiap detik berlalu. Sama-samalah kita memanfaatkan sisa-sisa usia yang makin sedikit ini.
Semalam telah menjadi sejarah. Hari semalam telah menjadi Hari Ini. Tahun Depan telah bergelar Tahun Ini. Inilah PERATURAN kehidupan yang diciptakan. KEHIDUPAN itu BERUBAH ! Peraturan Kehidupan yang Berubah-Ubah inilah satu-satunya undang-undang alam yang KEKAL, yang tidak akan berubah! Soalnya, apakah perubahan itu kita dapat rasakan pada diri kita? Samada jawapannya Ya atau Tidak, hanya diri kita sendiri yang tahu.

Renung-renungkan jawapannya. Bertafakurlah seketika dengan masuk ke dalam sarung bernama JASAD yang menyelimuti DIRI ini.  Kusyuklah dengan membuang segala ingatan. Hanya dengan kusyuk,  barulah engkau bisa mendengar  Suara Jantung mu (suara hati). Jika engkau masih tidak dapat mendengarkannya, maka merayulah kepada Hakikat Pencipta untuk diperdengarkan Suara Jantung mu itu. Bersabarlah ! Barangkali engkau tidak mendengarkannya kerana sememangnya engkau tidak pernah INGAT pun untuk berhubung dengan DIRI mu sendiri sejak engkau dilahirkan.

Teruskan kekusyukan mu, meskipun engkau masih belum  mendengarkannya. Berbisiklah dengan DIRI mu sendiri sepuasnya. Andainya dalam bisikan itu engkau berdukacita,  kecewa atau marah atau cemburu, maka itu tandanya, engkau telah ada senjata. Dukacita, kecewa, marah dan cemburu itu adalah hal BURUK yang engkau perlu gunakan sebagai senjata perang bagi mendapatkan hal BAIK. Inilah peperangan kehidupan yang telah ditetapkan oleh Hakikat Pencipta. Untuk mendapatkan hal BAIK, engkau perlu kenal hal BURUK.

Latihlah dirimu mengenali hal BURUK ini. Keburukan itu berada di FIKIRAN mu.  Engkau harus ingat bahawa FIKIRAN itu amat bijaksana. Ia boleh jadi apa saja yang engkau fikirkan! Jika engkau fikirkan marah, ia menjadi amarah. Kau fikirkan dukacita, ia jadi nestapa.  Kau fikirkan cemburu, ia jadi celaka. Kau fikirkan tenang, ia jadi aman. Kau fikirkan Kasih, ia jadi Cinta. Kau fikirkan bahagia, ia jadi sejahtera. FIKIRAN itu tersangat licik lagi bijaksana. Ia menjadi apa saja yang engkau inginkan!

Kini, bila si FIKIRAN  itu datang kepadamu, engkau sudah tahu apa yang boleh engkau lakukan. DIRIMU sendiri  yang mencorakkan FIKIRAN  itu untuk menjadi BAIK atau BURUK.

Belajarlah mengenali Suara Jantung mu (suara hati), kerana dari jantung itulah lahirnya  getaran gelombang yang menzahirkan  perasaanmu. Ketahuilah, perasaan itu adalah ba-ha-sa Roh. Engkau adalah bang-sa Roh yang berkomunikasi dengan bahasa perasaan. Sesungguhnya, jika engkau berada di persimpangan dalam membuat keputusan, maka ikutlah Suara Jantungmu. Suara Jantung yang benar-benar menggetarkan perasanmu.  Namun jangan pula kau tinggalkan AKAL, kerana akal itu sentiasa membawa si-FIKIRAN  yang  licik lagi bijaksana itu. Gunakan akal sekadar untuk menimbang, namun kata putusnya adalah pada SUARA JANTUNG (hati)  mu !  Sesungguhnya, keseimbangan antara AKAL dan JANTUNG  itu adalah sangat perlu.

Bila engkau telah belajar memahami  erti keseimbangan ini, maka engkau akan menjadi lebih arif. Jika engkau dungu, engkau menjadi lebih tahu, dari tahu engkau menjadi cerdik, dari cerdik engkau pandai, dari pandai engkau bijak, dari bijak engkau arif, dari arif engkau KENAL.  Maka, belajarlah mengenali DIRIMU sendiri. Jangan kau harapkan guru mengajarkan mu. Guru hanya menunjukkan jalan, namun engkau sendiri yang harus melalui jalan yang ditunjukkannya itu. ENGKAU yang memahamkan DIRIMU sendiri. Kefahaman datang dari ENGKAU, bukan dari gurumu. Jangan sesekali engkau menerima kebenaran dari orang lain. Kebenaran orang lain, belum tentu benar bagi engkau dan kebenaran engkau belum tentu benar bagi orang lain. Maka bertanyalah, belajarlah, kajilah,  fikirlah, carilah kebenaranmu sendiri ! Engkau tahu engkau benar, bilamana engkau dapat merasakan GETARAN kebenaran itu di dalam perasaanmu. Engkau tahu engkau benar bila engkau lebih IKHLAS, lebih IHSAN dan lebih BERANI.

Dengarkan Suara Jantungmu (suara hati), percayakannya dan ikutlah. Jika engkau tidak percayakan DIRIMU, maka kepada siapa lagi yang engkau harapkan ?

DIRI kita ini adalah HEBAT dan sentiasa SEJAHTERA. Jika kita benar-benar YAKIN tentang HAKIKAT DIRI kita yang sebenarnya, DIRI ini akan subur berkembang infiniti. Dengarkan suara jantung (hati) bila kita bercakap. Fahamilah bahawa apa yang kita cakapkan itu adalah berdasarkan ruang-lingkup PENGALAMAN DIRI kita itu jua.

Kenapa ?

Kerana PENGALAMAN adalah lebih dulu wujud sebelum FIKIRAN. Tanpa pengalaman, AKAL tidak boleh memikirkan apa yang telah kita alami. Makanya, apa yang sedang kita cakapkan ini, adalah hal yang telah berlaku,cumanya kita terlupa sahaja. Terlupa berlaku, kerana kita hidup dalam RUANG. Bila ada ruang, akan ada masa. Bila ada masa, terlupa akan wujud, kerana terlupa adalah hal masa.  Bila tiada ruang, barulah peranan AKAL terbatal.

SEDANG BERLAKU

Semasa sesuatu SEDANG berlaku, segalanya berhenti. Kenapa ? Kerana hal yang SEDANG berlaku tidak mewujudkan ruang. Bila tidak ada ruang, masa tiada dan terbatal dengan sendirinya. SEDANG BERLAKU itu adalah hal SEKARANG yang tiada mula dan tiada akhir yang tidak tidak dapat diperjelaskan dengan penggunaan akal kerana ia adalah hal SAHLA (SEDANG ALAMI HAL LUAR AKAL). Semasa kita sedang melakukan sesuatu, kita sebenarnya sedang mengatakan kepada dunia bahawa, "Inilah caranya aku memperkenalkan DIRI aku". Inilah caranya aku mengenalkan PENGALAMANKU kepada DIRI KU sendiri.

BELAJAR SATE TAHU

Kita perlu belajar cara KENAL DIRI (makrifah) secara SATE TAHU dan SENTIASA BERHUBUNG (Solat Daim) dengan JIWA sendiri yang sedang berkata-kata tanpa suara dan perkataan ini (Qadim).

Kita tidak seharusnya membuta tuli percaya akan apa yang orang banyak perkatakan". Kita harus TENTU (Qada’) dan TETAPKAN (Qadar) kaedah KENAL DIRI (makrifat) kita sendiri untuk memahamkan bila kita boleh percaya dan bila kita perlu engkar dalam menerima sesuatu maklumat !

SEDAR

SEDAR bahawa jasad ini juga adalah DIRI yang sama yang sentiasa sedang bercakap dan berkata-kata dengan JIWA kita pada setiap waktu dan ketika. Jiwa ini ada aplikasi bernama PERASAAN (EMOSI) yang sering bergerak naik turun. Jika kita tahu mengawal applikasi ini, makanya ia akan memberi signal KEBENARAN kepada kita. Perasaan adalah bahasa tubuh yang sentiasa berkata benar. Namun, AKAL itu yang sentiasa akan menukarkan emosi kepada hal yang berbolak balik. Makanya kita perlu belajar KENAL (makrifah) jajahan takluk PERASAAN kita sendiri.

KENALKAH  APA YANG ENGKAU SEDAR ~
SEDARKAH APA YANG ENGKAU KENAL ?

KESEDARAN adalah hal SAHLA yang engkau tidak dapat jelaskan dengan penggunaan akal.

Untuk membincangkan hal KESEDARAN, engkau perlu SEDAR terlebih dahulu. Maksudnya, Diri Engkau yang dalam keadaan sedar itu perlu wujud terlebih dahulu sebelum engkau boleh membincangkan hal KESEDARAN. Jika engkau tidak sedar, bagaimana mungkin engkau boleh membincangkan hal kesedaran ini ?

Engkau perlu sedar yang engkau wujud, sebelum engkau dapat memperkatakan tentang hal kesedaran. Jika Engkau tidak wujud, bagaimana engkau dapat memperkatakannya ?

Engkau bisa saja mengatakan yang diri engkau tidak wujud dan yang wujud hanyalah Tuhan. Engkau bisa saja menegaskan tidak boleh ada 2 wujud. Hanya ada satu wujud, iaitu wujud Tuhan. Soalnya, bagaimana engkau tahu? Siapa yang memberitahu engkau ? Tuhan ? Guru engkau ? Diri engkau ? Atau, tahu engkau itu hanya sekadar dari pemberitahuan kitab-kita yang dipelajari dari para guru sebelumnya ?

Apapun, bukankah engkau perlu SEDAR terlebih dahulu sebelum engkau tahu siapa atau apa yang memberitahu ?

KESEDARAN

Samada kesedaran engkau itu adalah kesedaran murni, atau separuh murni atau tidak murni ianya bukan persoalan. Murni atau tidak, ianya tetap dikatakan kesedaran. Ia hanya istilah orang, untuk membedakan tahap kesedaran engkau dengan tahap kesedaran orang lain. Apapun, ia tetap kesedaran.

APAKAH YANG ENGKAU KENAL ?

Jika engkau sedang membaca tulisan ini melalui hand-phone, apakah yang engkau KENAL ? Engkau kenal sesuatu tentang hal hand-phone atau engkau kenal sesuatu tentang hal Diri Engkau ?

Bagaimana pula engkau tahu ?
Jika KENAL itu makrifah, maka makrifahkah engkau ?

TAKUT

Bila kita TAKUT, bila kita hanya menerima bulat-bulat akan SISTEM KEPERCAYAAN yang disogokkan kepada kita oleh orang-orang terdahulu melalui kitab-kitab, makanya DIRI ini akan memberikan signal ketakutan palsu yang menyebabkan kita takut melangkaui sistem kepercayaan yang dimomokkan kepada kita itu. Makanya, DIRI ini akan sentiasa berada dalam KETAKUTAN dan akan memikirkan HUKUMAN jika DIRI itu melangkaui batas yang telah ditetapkan.

Ketahuilah...

Ketakutan sebenarnya telah diprogramkan oleh AKAL itu sendiri mengikut acuan pengalaman.

Kita adalah apa yang kita fikirkan !

Diriku memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap dari semua para sahabat dan kenalan.

Maaf Batin dan Zahir !



https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=792544677802791&id=100011417981758

No comments: