Rujuk al-Quran, sunnah satukan perpecahan ummah
MENGURUS manusia dikatakan lebih rumit daripada mengurus haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Manusia mempunyai akal pemikiran dan pendapat yang berbeza.
Kadangkala dengan perbezaan pemikiran dan pendapat dipengaruhi emosi dan nafsu itu menyebabkan manusia hidup dalam keadaan berpuak-puak dan berpecah-belah.
Oleh sebab itu, mengurus manusia amat penting dan rumit, lebih-lebih lagi dalam mengurus perpecahan dalam kalangan mereka sehingga ia kembali menjadi tenang dan aman.
Al-Quran dan al-Sunnah meletakkan dasar penting dalam mengurus perpecahan manusia itu. Maka, untuk mengurus perpecahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini, kita wajib menjadikan dasar yang diletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan utama.
Antara ayat al-Quran menjelaskan cara mengurus perpecahan manusia ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika dua puak daripada orang beriman berperang, maka damaikan di antara keduanya; jika salah satunya melakukan kezaliman terhadap yang lain, maka perangilah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikan antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah) serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang bertindak adil.” (Surah al-Hujurat ayat 9)
Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan mengenai tindakan yang sepatutnya dilakukan ketika berlaku persengketaan dan perbalahan dalam kalangan umat Islam yang boleh membawa kepada perpecahan serta pertumpahan darah.
Dengan itu, Allah SWT menyeru semua umat Islam berusaha mendamaikan dua golongan yang saling bertelagah dan fitnah-memfitnah, seterusnya berusaha menyekat daripada berlakunya peperangan yang boleh mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.
Terdapat beberapa peristiwa yang menjadi sebab penurunan ayat di atas antaranya seperti yang diriwayatkan Anas bin Malik ra. Menurut Anas terdapat seorang sahabat berkata kepada Nabi SAW: “ Bagaimana kalau kiranya engkau (Rasulullah) pergi menemui Abdullah bin Ubay bin Salul?”
Tanpa memberi sebarang jawapan, lantas Baginda SAW terus pergi menemui Abdullah bin Ubay dengan menaiki seekor keldai dan diikuti kaum Muslimin yang lain. Kemudian mereka tiba di suatu kawasan tanah gersang.
Rasulullah SAW terus menemui Abdullah, lalu Abdullah berkata kepada Baginda SAW: “Jauhkan dirimu daripada aku, demi Allah bau busuk keldaimu menyakitkan aku.”
Setelah mendengar kata Abdullah itu, seorang sahabat daripada kaum Ansar berkata: “Demi Allah bau keldai Rasulullah SAW lebih harum jika dibandingkan dengan dirimu.” Lalu salah seorang daripada sahabat turut memarahi Abdullah.
Selepas itu, salah seorang pengikut Abdullah pula memarahi Rasulullah SAW sehingga terjadinya pergaduhan (perang mulut) di antara kedua-dua belah pihak. Bahkan masing-masing daripada kedua-dua belah pihak bertindak memukul antara satu sama lain. Berhubung kejadian ini turunlah ayat sembilan Surah al-Hujurat di atas (Hadis riwayat al-Bukhari).
Berhubung peristiwa yang berlaku ini, jelas sekali pertelagahan dan perpecahan yang berlaku tidak boleh dibiarkan sama sekali. Ia hendaklah segera diurus dengan adil dan bijaksana demi mewujudkan perdamaian dalam kehidupan.
Sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya berdiri sebagai penonton dan membiarkan perpecahan bertambah buruk dan parah. Setiap orang yang cerdik, bijak serta mempunyai kemampuan, haruslah membabitkan diri sebagai pengurus untuk mengekang perpecahan yang berlaku itu.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah menjelaskan mengenai keutamaan mengurus perpecahan serta bahayanya jika dibiarkan perpecahan dan pertelagahan itu dari terus berlaku.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Adakah kamu mahu aku beritahukan suatu perbuatan yang lebih utama daripada keutamaan puasa, sembahyang dan sedekah? Mereka (sahabat) menjawab: Ya! Maka Rasulullah SAW bersabda: Iaitu mendamaikan persengketaan yang sedang berlaku. Rosaknya hubungan persaudaraan kerana perpecahan seperti mencukur. Aku tidak bermaksud mencukur rambut, tetapi mencukur yang bermaksud merosakkan agama.” (Riwayat al-Timiziy dan Abu Dawud).
Dalam proses mengurus perpecahan, kita hendaklah membincangkan isu yang menyebabkan berlakunya perpecahan itu dalam keadaan aman. Apabila selesai saja proses perbincangan itu, hendaklah dijatuhkan hukuman kepada pihak yang bersalah dengan hukuman yang seadil-adilnya.
Oleh itu, puak yang berpecah atau bertelagah wajib menerima hukuman yang dijatuhkan dengan tenang dan terbuka. Sekiranya salah satu daripada dua pihak yang bermusuh itu menolak hukuman dan enggan tunduk atau patuh terhadap proses perdamaian yang dilakukan, maka wajarlah dalam keadaan yang sebegini hakim menjatuhkan hukuman ke atas golongan yang ingkar itu supaya mereka kembali tunduk dan patuh kepada Allah SWT, seterusnya bersetuju menerima perdamaian.
Jikalau umat Islam sentiasa berpandukan kepada ajaran al-Quran dan al-Sunnah dalam mengurus perpecahan dalam kalangan umat Islam, nescaya tidak akan berlaku sebarang peperangan antara negara Islam atau sesama umat Islam.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya semua orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikan antara dua saudara kamu (yang berpecah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat ayat 10).
Menerusi ayat ini, jelaslah bahawa Islam adalah agama yang demokratik kerana ia menyatukan semua umat manusia dan membuatkan mereka menjadi satu umat yang kuat dan disegani.
Oleh: Mohd Shukri Hanapi
No comments:
Post a Comment