12 April 2022

01 October 2012

Mampukah Beli Kereta Pertama?


Lazimnya, orang akan membeli kereta dengan menggunakan pinjaman sewa beli. Sewa beli adalah penyewaan barangan dengan pilihan untuk membelinya pada akhir tempoh pinjaman.

Dengan mengambil pinjaman sewa beli, anda dikenali sebagai penyewa dan institusi kewangan yang member pinjaman sebagai tuan punya kenderaan. Sebagai penyewa, anda perlu membuat bayaran ansuran berdasarkan terma dan syarat yang telah dipersetuju di bawah perjanjian sewa beli. Setelah semua bayaran ansuran dijelaskan, hak milik kereta tersebut akan dipindahkan kepada anda.

Berapakah kemampuan anda?

Kadar faedah untuk pinjaman kereta biasa berasaskan kadar sama rata. Mengikut Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010), kadar faedah maksimum yang dibenarkan ialah 10% setahun. Kiraan faedah adalah berdasarkan faedah atas jumlah pokok untuk sepanjang tempoh pinjaman sewa beli.

Pengiraan boleh dilihat dalam contoh berikut:-

Harga kereta
RM50,000
Bayaran pendahuluan @ 10%
RM5,000
Jumlah pinjaman sewa beli
RM45,000
Kadar faedah (kadar sama rata)
5% setahun
Tempoh pinjaman
5 tahun (60 bln)


Pengiraan:

Jumlah faedah yang dikenakan = Jumlah pinjaman x kadar x tahun
= RM45,000 x 5% x 5
= RM11,250

Jumlah pinjaman + Faedah
= RM45,000 + RM11,250
= RM56,250

Jumlah ansuran bulanan
= RM56,250 / 60 bulan
= RM938

Ansuran bulanan yang perlu dibayar ialah RM938 sebulan. Untuk mengetahui sama ada anda mampu membayar ansuran tersebut, gunakan formula berikut untuk memperoleh pendapatan bulanan minimum yang anda perlukan. Pengiraan jumlah pendapatan minimum
ini atas andaian bahawa anda tidak ada ansuran lain.

Jika anda mempunyai pinjaman lain, pastikan jumlah ansuran semua pinjaman tidak melebihi 40% daripada pendapatan bersih bulanan anda.
Contoh:
Pendapatan bersih bulanan = Bayaran ansuran bulanan kereta / 40%
= RM938 / 40%
= RM2,345

Dengan pendapatan RM2,345 tanpa komitmen pinjaman yang lain, anda mampu membayar ansuran tersebut. Walau bagaimanapun, anda masih perlu mengambil kira perbelanjaan berkaitan yang ditunjukkan di atas.

KOS TETAP
RM
CATATAN
Bayaran ansuran
938
RM45k@5% selama 5 tahun
Insurans
125
RM1,500 setahun/12 bulan
Cukai jalan
8
RM90 setahun/12 bulan
Jumlah kecil
1,071

KOS BOLEH UBAH


Petrol
225
Andaian RM0.15/kmx50km/harix30hari
Servis & penyelenggaraan
100
Anggaran
Parkir kereta/tol
100
Anggaran
Jumlah kecil
425

Jumlah Besar
1,496


Kiraan di atas menunjukkan bahawa kos memiliki kereta tersebut adalah jauh melebihi bayaran ansuran bulanan yang berjumlah RM938.

Penyelesaian awal

Anda berhak mendapat rebat ke atas faedah jika anda memilih untuk menyelesaikan lebih awal baki hutang di bawah perjanjian pinjaman sewa beli. Ini berdasarkan kiraan mengikut formula “Peraturan 78” yang sebahagian besar daripada faedah dikenakan pada peringkat awal pinjaman.
Jika anda memutuskan untuk menjual kereta semasa tempoh pinjaman, anda perlu:-
• Periksa jumlah penebusan dengan pihak pembiaya
• Periksa nilai pasaran kereta
• Bersedia untuk menjelaskan sepenuhnya baki pinjaman, jika ada, sebelum memindahkan hak milik atau menjual kenderaan kepada orang lain. Anda bertanggungjawab ke atas baki pinjaman selagi pinjaman sewa beli masih dibawah nama anda.

Apa perkara lain yang perlu diawasi?

Caj bayaran lewat
Mengikut Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010), caj bayaran lewat maksimum terhadap ansuran tertunggak yang dikira setiap hari ialah 8% setahun. Oleh itu, disarankan anda membayar ansuran sewa beli sebelum tarikh akhir pembayaran bagi mengelakkan caj bayaran lewat dan penarikan balik kereta anda.

Klausa penarikan balik
Institusi kewangan boleh menarik balik kereta dalam keadaan seperti berikut:-
• Apabila penyewa gagal membayar dua ansuran berturut-turut. Jika jumlah ansuran telah dibayar melebihi 75% daripada harga tunai kenderaan, pengambilan semula milikan boleh dibuat setelah mendapat Perintah Mahkamah; atau
• Sekiranya penyewa meninggal dunia dan ansuran tidak berbayar selama empat bulan berturut-turut.

Penyewa dikehendaki membayar kos penarikan balik dan kos penyimpanan di samping
pembayaran ansuran tertunggak dan caj bayaran lewat untuk menuntut semula kereta tersebut.




No comments: