Begitulah luasnya rahsia disisi Allah Yang Maha Esa.
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semoga Allah SWT menunjukkan kita jalan kebenaran, sentiasa di dalam limpahan Rahmat-Nya dan tidak mati melainkan di dalam Iman keislaman. Bersamalah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan berbahgia di akhirat.
.
Sesungguhnya Allah SWT telah merahsiakan dan menyembunyikan beberapa perkara di dunia ini sebagai cabaran dan perangsang kepada kita, iaitu:
.
1. Allah SWT merahsiakan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
Allah SWT menyembunyikan kedatangan malam Lailatul Qadar pada tarikh tertentu agar hambanya tidak melakukan ibadat pada malam tersebut sahaja dan mengabaikan malam-malam yang lain. Oleh itu Allah SWT menghendaki hambanya melakukan ketaatan sepanjang Ramadhan dan sepanjang hayatnya.
.
2. Allah SWT merahsiakan Redha-Nya dalam taat.
Allah SWT tidak menzahirkan penerimaan (keredhaan-Nya) atas amalan-amalan yang kita persembahkan kepadanya (ketaatan) supaya kita tidak kecewa di atas amalan tersebut dengan hikmah agar kita terus melakukan amalan tersebut, walaupun terdapat kecacatan yang kita tidak ketahui.
.
3. Allah SWT merahsiakan Murka-Nya di dalam maksiat.
Allah SWT tidak menarik nikmat dan kemewahan (Kemurkaan) daripada seseorang, walaupun nikmat yang Allah anugerahkan kepadanya digunakan untuk kemaksiatan kerana Allah masih bersifat rahmat di dunia. Sedangkan sebenarnya Allah Murka kepada kita.sepatutnya kita gunakan peluang ini untuk bertaubat kepada Allah SWT.
.
4. Allah SWT merahsiakan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
Allah SWT tidak menyatakan nama-Nya yang terAgung di dalam Al-Quran supaya hambanya tidak tertumpu pada nama dan surah tertentu sahaja dan mengabaikan kemujizatan kitab suci tersebut. Maka Allah SWT menghendaki hambanya sentiasa mengkaji dan memahami isi kandungan Al-Quran sebagai pedoman hidup.
.
5. Allah SWT merahsiakan solat yang paling utama di dalam solat fardhu.
Allah SWT menyembunyikan solat kita yang terbaik disisinya dengan hikmah supaya kita terus beribadat dan solat kepadanya sepanjang hayat. Jika Allah zahirkan penerimaan solat kita pasti kita akan bermegah-megah sesama manusia dan akan lalai serta mengambil peluang untuk melakukan maksiat.
.
6. Allah SWT merahsiakan wali Allah dikalangan alim-ulama’
Allah SWT tidak menyatakan wali-wali Allah atau hambanya yang dikasihi supaya manusia tidak menghina atau menyembah wali-wali tersebut. Sesungguhnya wali Allah akan dibenci oleh mereka yang bertuhankan hawa nafsu kerana wali-wali Allah tidak pernah menaruh hati sedikit pun pada tawaran-tawaran mereka.
.
7. Allah SWT merahsiakan Qada’ dan Qadar di dalam kehidupan.
Allah SWT menyembunyikan untung-rugi nasib dan perjalanan kehidupan agar manusia sentiasa redha menerima sebarang kemungkinan. Sudah tentu terkandung banyak hikmah disebaliknya yang telah ditentukan sejak azali lagi. Di samping itu, ianya juga menggalakkan kita lebih berusaha serta bertawakal kepada Allah SWT.
.
8. Allah SWT merahsiakan Jodoh Pertemuan.
Allah SWT tidak menyatakan pasangan hidup seseorang supaya kita tidak merasa kecewa di atas ketentuan tersebut dan menerima pasangan seadanya dengan penuh hikmah dan syukur, agar kita dapat meneruskan kehidupan dengan aman sejahtera.
.
9. Allah SWT merahsiakan tarikh kematian
Allah SWT merahsiakan tarikh kematian hambanya dengan hikmah agar hambanya sentiasa berhati-hati dalam menjalani kehidupan dan tidak melakukan kemaksiatan kerana mati akan tiba pada bila-bila masa sahaja, tanpa sesaat pun tertangguh.
.
10. Allah SWT merahsiakan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.
Jika Allah SWT zahirkan tarikh dan tempat bermulanya hari kiamat. pasti hamba-hambanya tidak dapat menempuh hari dengan lebih sempurna, mereka akan hilang akal dan tanpa mahu melakukan sebarang pekerjaan.
.
.
Begitulah bertapa luasnya ilmu Allah Yang Maha Pencipta yang hanya merahsiakan beberapa perkara disisi-Nya supaya kita sebagai hamba sentiasa berwaspada dan beramal soleh dalam kehidupan yang dipinjamkan. Hanya ilmu dan perbuatan yang bermanfaat sahajalah yang berkekalan dan dapat membantu kita di alam barzah dan akhirat nanti.
Wallahu A’alam Bissowab
No comments:
Post a Comment