12 April 2022

12 October 2011

Lendiran Dari Faraj

Pengenalan

Lendiran dari faraj adalah salah satu simptom yang biasa dialami oleh kebanyakkan wanita. Sejarah seksual penting dan kerap ditanya oleh para doktor sebelum memulakan rawatan. Ada banyak sebab lendiran dari faraj berlaku seperti tersenarai di bawah.

Sebab-Sebab

Sebab-sebab lendiran boleh dibahagikan kepada penyakit berjangkit dan tidak berjangkit. Sebab-sebab berjangkit yang kerap (common) adalah seperti Bacterial Vaginosis, Infeksi Candida (kulat), Chlamydia trachomatis, Nesseria gonorrhoea dan infeksi Trichomonas vaginalis. Chlamydia trachomatis, Nesseria gonorrhoea dan infeksi Trichomonas vaginalis adalah penyakit kelamin.(Hyperlink ke Penyakit Kelamin).

Sebab-sebab yang tidak berjangkit pula adalah seperti sebab-sebab fisiologi badan, ektropion serviks (pangkal rahim), polip serviks, benda asing di dalam faraj atau alahan (alergi).

Bacterial vaginosis (BV)

Selalunya berlaku kepada 10-30% wanita dalam usia reproduktif mereka. Di dalam faraj seseorang wanita terdapat bakteria ‘baik’ (lactobacillus) yang bertugas mengimbangi keadaan asidik sejurus memberi pelindungan dalam faraj dari bakteria yang berbahaya. BV terhasil apabila bakteria ‘jahat’ seperti Gardnerella vaginalis dan genital mycoplasma tumbuh lebih banyak dari bakteria ‘baik’ lactobacillus. Wanita berisiko tinggi untuk mendapat BV termasuk wanita yang muda (remaja), pengamal vaginal douching (kerap membasuh faraj dengan air atau sabun), IUCD (alat mencegah mengandung dalam rahim) dan mereka yang mempunyai ramai pasangan seks.

50% daripada BV tiada gejala. Bagi mereka yang mengalami gejala, selalunya akan mempunyai lendiran putih-keputihan yang banyak dan berbau busuk. Gejala ini lebih teruk selepas hubungan seksual atau selepas haid. Faraj dan kawasan kemaluan selalunya tidak bengkak.

Diagnosa

Doktor akan mengambil swab dari faraj (vaginal swab – menggunakan putik kapas) dan mengujinya di bawah mikroskop atau mencampurnya dengan satu stain yang khas di atas slaid kaca.
Rawatan BV

Antibiotik seperti Metronidazole dimakan selama seminggu (selamat semasa mengandung) selalunya cukup untuk rawatan. Hubungan seks tidak digalakkan semasa rawatan dan suami pesakit tidak perlu dirawat sekali. Hubungan seks bebas tidak digalakkan.

Infeksi Candida (Kulat)

Dua pertiga dari wanita akan mengalami masalah ini. Majoriti organisma yang bertanggung jawab adalah sejenis kulat (Candida albican). 50% dari mereka yang berjangkit mengadu gatal di bahagian faraj (Pruritis). Lendiran putih pekat (seperti dadih), tidak berbau dan menyebabkan faraj melecet dan sakit semasa hubungan kelamin. Wanita yang berisiko adalah yang mengandung, mempunyai kencing manis ataupun mengambil antibiotik bagi jangkamasa yang panjang.

Diagnosa

Doktor akan mengambil swab dari dalam faraj. Lebih dari separuh kes akan menunjukkan pseudohyphae atau spora di bawah mikroskop. Cara yang lebih sensitif adalah mengkulturkan organisma tersebut menggunakan agar-agar Sabourand’s media.

Rawatan

Ubat anti-fungal (anti-kulat) yang dimakan atau dimasukkan ke dalam faraj merupakan rawatan efektif untuk kebanyakkan wanita. Pesakit mengambilnya selama dari seminggu hingga 14 hari. Penyakit ini boleh datang kembali selepas rawatan dan ini memerlukan rawatan sehingga 6 bulan. Hubungan seks tidak digalakkan semasa rawatan dan suami pesakit tidak perlu dirawat sekali. Hubungan seks bebas tidak digalakkan.

Chlamydia trachomatis

Penyakit ini kerap menjangkiti pesakit yang berumur 25 tahun ke atas. Organismanya bukan bakteria atau virus tetapi suka tinggal di dalam sel-sel faraj pesakit. Penyakit ini boleh menjangkiti salur kencing dan pangkal rahim termasuk konjuktiva, mulut dan tekak. Ia merupakan pesakit kelamin yang boleh membawa kepada kesukaran mengandung.

Simptom dan tanda-tanda.

Lendiran bernanah, sakit bahagian ari-ari, pendarahan selepas hubungan seks, pendarahan di antara dua haid dan radang serviks adalah antara simptom-simptom penyakit ini. Walau bagaimanapun, kebanyakkan wanita tidak mengalami apa-apa tanda.

Diagnosa
Doktor akan mengambil swab dari faraj dan salur air kencing. Swab ini dihantar ke makmal untuk ujikaji. Tidak semua hospital kerajaan memberi perkhidmatan ini kerana kos ujikajinya yang mahal.

Komplikasi

Chlamydia Infeksi boleh ‘naik’ ke dalam rahim menyebabkan radang pangkal rahim, rahim, tiub dan alat kelamin wanita. Pesakit juga akan mengalami sakit di bahagian ari-ari dan perut yang kronik. Tiub saluran Fallopian boleh tersumbat menyebabkan mengandung luar rahim atau ketidaksuburan.

Rawatan

Makan Ubat antibiotik boleh merawat penyakit ini. Suami pesakit perlu dirawat sekali. Pesakit dinasihati tidak melakukan hubungan seks semasa rawatan. Hubungan seks bebas tidak digalakkan.

Nesseria gonorrhoea

Gonorrhoea adalah penyakit kelamin yang disebabkan oleh organisma N. Gonorrhoea. Pesakit selalunya tidak mempunyai simptom tetapi bagi mereka yang bersimptom, akan mengalami lendiran faraj yang selalunya banyak, bernanah dan sakit di bahagian ari-ari. Kadangkala mereka mengalami pendarahan faraj selepas haid atau selepas hubungan seks. Komplikasi jangkitan semasa mengandung boleh membawa kepada kelahiran pra-matang.

Diagnosa
Doktor akan mengambil swab dari dalam faraj dan menghantarnya ke makmal untuk ujikaji.

Komplikasi

Komplikasi sama seperti Chlamydia. Jangkitan dari faraj boleh merebak ke dalam rahim menyebabkan radang pangkal rahim, rahim dan tiub. Ia boleh menyebabkan tiub rosak dan tersumbat. Ini boleh membawa kepada komplikasi mengandung luar rahim dan ketidaksuburan.

Rawatan

Makan atau suntikan ubat antibiotik boleh merawat penyakit ini. Suami pesakit perlu dirawat sekali. Pasangan tersebut dinasihati tidak melakukan hubungan seks semasa rawatan. Hubungan seks bebas tidak digalakkan.

T. vaginalis adalah penyakit kelamin yang melibatkan hingga 30% wanita yang aktif seks di negara-negara membangun. Organisma yang bertanggung jawab adalah protozoa yang hanya terdapat di dalam faraj wanita. Seseorang yang mendapat infeksi T.V. akan mengalami bengkak faraj, lendiran yang berwarna hijau (atau apa-apa warna) yang berbuih. Infeksi tersebut boleh merebak ke dalam rahim menyebabkan bengkak pangkal rahim, rahim, tiub dan radang alat kelamin. Pesakit juga boleh mengalami gatal faraj dan di bahagian kemaluan. Simptom selalunya lebih teruk semasa haid atau sejurus selepas haid.

Diagnosa

Doktor akan mengambil swab dari faraj dan akan menyapu sedikit di atas slaid kaca. Organisma T.V. boleh dikesan semasa ujian pap smear.

Rawatan

Ubat antibiotik seperti Metronidazole boleh merawat penyakit ini. Suami pesakit perlu dirawat sekali. Pasangan suami isteri tersebut dinasihati tidak melakukan hubungan seks semasa rawatan. Hubungan seks bebas tidak digalakkan.

Lendiran fisiologi ‘biasa’

Pesakit selalu bertanya “Apakah itu lendiran biasa?”. Kebanyakkan wanita menganggap lendiran yang sedikit selagi tidak mempunyai simptom-simptom seperti tersebut di atas adalah normal (biasa). Selalunya ia berlaku pada fasa luteal (masa subur) pusingan haid dan berkurangan pada hari-hari hampir haid. Warnanya mungkin putih kekuningan atau jernih dan kuatitinya tidak banyak. Doktor akan membuat pemeriksaan rutin di bahagian faraj dan mendapati tidak terdapat apa-apa jangkitan, ia dikategorikan sebagai lendiran biasa (fisiologi).

 

No comments: