PECAH GERAN TANAH
ANGGARAN HARGA DAN TEMPOH SIAP
Proses diantara ‘Pecah Sempadan’ dan ‘Pecah Bahagian’
 yang membabitkan pengeluaran geran tanah berasingan / individual dari 
segi prosedur mempunyai sedikit perbezaan namun persamaannya adalah 
kedua-dua proses pecahan ini terbabit dengan beberapa jenis bayaran 
secara berperingkat dari seawal permohonan dibuat sehinggalah mendapat 
kelulusan. 
Secara asasnya terdapat pelbagai prosedur dan jenis bayaran 
yang perlu dibuat kepada pihak-pihak berikut :
1. Pejabat Tanah Daerah
2. Majlis Daerah / Majlis Perbandaran / Majlis Bandaraya ( Majlis )
3. Juru Ukur Berlesen
4. Perancang Bandar Berlesen (swasta)
5. Lembaga Juru Ukur Tanah Semenanjung
==========================================================
1.) Pejabat Tanah Daerah ( PTD )
Prosedur dan bayaran yang terlibat :
> Pendaftaran Fail
> Memperenggan
> Cabutan
> Borang 9A atau 9B
> Pelan Surih
> Pendaftaran QT / Hakmilik Sementara
> Wang Pos
> Deposit Ubah Syarat / Premium
> Akuan Sumpah
> Notis
Nota : Kadar bayaran ini adalah berbeza dan tertakluk kepada PTD setempat
2.) Majlis Daerah / Majlis Perbandaran / Majlis Bandaraya ( Majlis )
Prosedur dan bayaran yang terlibat :
> Pendaftaran Fail
> Pelan Surih
> Cabutan
> Bayaran proses Kebenaran Merancang
> Fee Pemajuan
Nota : Kadar bayaran ini juga berbeza dan tertakluk kepada Majlis setempat
3.) Jurukur Tanah Berlesen ( LS )
Antara bayaran yang terlibat ialah :
> Pendaftaran fail
> Penyediaan plan Pra-Hitungan dan plan-plan terlibat
> Bayaran untuk kerja ukuran offset atau ukur butiran* ( optional )
Nota
 : (c)* bayaran untuk ini perlu dijelaskan terlebih dahulu jikalau 
terdapat keperluan untuk Jurukur menjalankan kerja ukur bagi mendapatkan
 maklumat butiran pada tanah yang terlibat bagi tujuan penyediaan plan 
Pra-Hitungan dan plan-plan terlibat bagi tujuan permohonan. Biasanya 
keperluan adalah disebabkan oleh terdapatnya pagar, rumah atau bangunan,
 jalan keluar masuk, parit serta saliran atau pun talian penghantaran 
elektrik TNB sedia ada di atas tanah terlibat.
4.) Perancang Bandar Berlesen ( Swasta )
Ada
 kategori tanah yang perlu disertakan bersama plan Kebenaran Merancang 
(LCP) bersama dengan permohonan (rujuk bayaran kepada Majlis Daerah). 
Plan Kebenaran Merancang ini perlulah disediakan oleh Perancang Bandar 
Berlesen.
Kadar
 bayaran bukan dibawah kawalan pihak PTD, Majlis atau LS. Ianya tidak 
tetap dan mungkin terdapat perbezaan harga bergantung kepada kadar harga
 serta yuran perkhidmatan pihak Perancang Bandar Berlesen yang 
berkenaan.
5.) Lembaga Jurukur Tanah Semenanjung Malaysia ( LJT )
Bayaran
 ini mempunyai kadar tetap bagi kesemua firma Jurukur Tanah Berlesen dan
 ianya dikawal oleh kerajaan melalui pihak Lembaga Jurukur Tanah (LJT). Walau
 apa saja peralatan dan teknologi yang digunapakai oleh LS, kadar harga 
untuk kerja ukur tersebut tetap sama tidak akan boleh berlainan. LJT
 selaku persatuan bagi kesemua jurukur tanah berlesen adalah sebuah 
lembaga yang ditubuhkan berasaskan kepada perlembagaan negara melalui 
undang-undang Akta Kanun Tanah Negara ( KTN ). Akta KTN ini bukan sahaja
 kepentingan setiap jurukur tanah berlesen dipelihara tetapi kepentingan
 rakyat selaku pelanggan dan kepentingan kerajaan selaku pentadbir tanah
 juga telah ditetapkan dalam bentuk peraturan serta kadar asas setiap 
pembayaran untuk premium nilai tanah, cukai tanah, yuran urus tanah 
serta kadar asas untuk perkhidmatan ukur tanah dalam setiap bidang.
Antara bayaran untuk LJT ialah :
> Bayaran asas
> Bayaran bagi petak-petak pecahan
> Bayaran bagi plan Pra-Hitungan
> Garisan Azimuth, sambungan dan kawalan
> 20% Yuran Proses Data Digital *
> 6% cukai kerajaan
Transformasi
 teknologi dalam bidang geospatial / ukur tanah sekarang sedang berubah 
kepada format digital sepenuhnya. Pembangunan prasarana data digital ini
 adalah dibangunkan oleh kerajaan dan dikelola oleh pihak LJT melalui 
fee yang dijana daripada pendaftaran dan yuran 20% yang dibayar oleh 
Jurukur Tanah Berlesen bagi penggunannya. Maka itu bayaran khidmat ukur 
tanah yang dibayar oleh pelanggan kepada LS perlulah dibuat melalui LJT.
 Ianya boleh difahami secara analogi perbandingan berikut. Penggunaan 
data geospatial dalam format digital ini ianya seperti jurukur tanah 
menggunakan lebuhraya yang disediakan oleh LJT untuk mudah dan cepat 
sampai ke destinasi. Jadi pada setiap penggunaan lebuhraya digital ini 
maka perlulah dibayar kadar tol 20% seperti yang telah ditetapkan. 
Inisiatif ini adalah bagi melindungi kepentingan secara bersama setiap 
jurukur tanah berlesen dan mengelakkan daripada terjadinya monopoli 
perkhidmatan berasaskan keuntungan seperti dalam bidang telekomunikasi 
serta penyiaran berbayar jika ianya dibuat secara pemberian lesen atau 
kontrak kepada mana-mana syarikat swasta bagi mengusahakannya.
RINGKASAN PENERANGAN
Bayaran
 kepada 5 pihak ini adalah bayaran asas yang utama apabila satu 
sebutharga diminta oleh pelanggan bagi membuat permohonan kerja ukur 
tanah yang membabitkan pecah geran tanah berasingan satu lot asal kepada
 beberapa pecahan lot-lot kecil yang mempunyai hakmilik iaitu geran 
tanah sendiri. Namun begitu pada peringkat awal hanya satu 'Sebutharga Anggaran'
 sahaja yang dapat diberikan kepada pelanggan. Selain daripada prosedur 
dan bayaran asas kepada 5 pihak di atas terdapat juga lain-lain bayaran 
atau prosedur yang mungkin perlu dibuat atau pun mungkin tidak perlu 
dibuat.
Oleh
 kerana permohonan perlu dimajukan kepada pihak PTD kemudian pihak PTD 
pula akan memanjangkan permohonan ini kepada pihak-pihak berkuasa lain 
untuk kelulusan berperingkat serta ulasan mereka maka akan ada tempoh 
masa yang perlu diambil serta kemungkinan pihak PTD akan meminta 
pelanggan membuat pindaan pada permohonan asal kepada yang baru bagi 
memenuhi syarat atau ulasan pihak berkuasa berkenaan. Kuasa untuk 
meluluskan mana-mana permohonan pecah geran tanah bukanlah terletak pada
 LS atau LJT atau JUPEM seperti yang sering disalahtafsir oleh banyak 
pelangan. Pihak yang akan memberi kelulusan adalah PTD tetapi sebelum 
itu PTD perlu pula mendapatkan kelulusan daripada pihak lain terlebih 
dahulu. Hanya setelah kesemua pihak terbabit memberikan kelulusan 
barulah pihak PTD boleh memberikan kelulusannya. Setelah mendapat 
kelulusan dari PTD barulah LS boleh pula pergi membuat kerja ukuran 
halus tanam batu sempadan dan mengeluarkan satu plan diperakui ( plan PA
 ) bagi lot-lot baru ini. Setelah itu barulah satu senarai harga penuh 
yang muktamad dapat diberikan kepada pelanggan.
TEMPOH MASA ANGGARAN
Secara
 umumnya tempoh masa yang diambil dari awal permohonan hingga mendapat 
kelulusan adalah di antara 8 – 14 bulan ( paling cepat ) dan boleh 
berlanjutan hingga bertahun tahun lamanya jika lot tersebut ada isu atau
 bermasalah. Manakala jumlah harga kos keseluruhan bagi kerja pecah 
geran tanah ini adalah bergantung kepada jumlah pecahan, luas, kategori 
gunatanah dan lain-lain faktor. Semakin banyak pecahan dengan geran 
tanah berasingan maka kos harga purata untuk setiap 1 lot baru akan 
semakin berkurangan.
HARGA ANGGARAN KASAR
Hanya
 sekadar contoh harga anggaran kasar untuk perbandingan, satu lot asal 
seluas 2 ekar. Jika pelanggan mahu pecahkan menjadi 2 lot kecil 
berasingan dengan keluasan masing-masing 1 ekar maka perlu dibuat 1 
permohonan untuk pecah 1 lot baru dengan luas 1 ekar dan baki tanah 1 
ekar lagi akan kekal dalam lot asal dengan pindaan luas yang baru iaitu 
cuma 1 ekar. Kos anggaran kasar adalah dalam julat harga :
 RM 10 ++ ribu ( updated : Tahun 2021 )
Tetapi
 jika pelanggan mahu pecahkan lot asal yang luas 2 ekar tersebut kepada 4
 lot kecil dengan masing-masing luas 0.5 ekar. Mungkin kos anggaran 
kasar bagi kerja pecah geran tanah ini dalam julat harga RM 30 ribu. Ini
 secara purata akan menjadikan harga untuk setiap 1 lot baru dengan 
geran tanah sendiri cuma sebanyak RM 7.5 ribu sahaja. Dibanding harga 
untuk pecah 1 lot baru berharga RM 10 ribu, sekarang bila dipecah kepada
 4 lot, kos harga cuma RM 7.5 ribu ini bermakna sudah berkurangan 
sebanyak RM 2.5 ribu untuk setiap 1 lot baru. Atau mungkin jika dipecah 
pula kepada 8 lot kecil dengan luas masing-masing 0.25 ekar, kos harga 
bagi setiap 1 lot baru dengan geran tanah sendiri hanya pada harga RM 5 
ribu sahaja.
Inilah
 maksudnya semakin banyak lot pecahan dibuat maka semakin berkurangan 
kos harga bagi keseluruhan proses pecah geran tanah tersebut. Tetapi ini
 bukanlah harga sebenar ini hanyalah sekadar harga anggaran kasar 
sahaja. Seperti yang selalu dijelaskan kepada pelanggan ukur tanah, 
membuat kerja ukur tanah bukanlah seperti menjual barangan contohnya 
baju. Jika 1 baju berharga RM 10 maka jika pelanggan nak beli 5, 
harganya cuma sekadar darabkan 5 x RM 10 = RM 50. Untuk meletakkan harga
 ukur tanah atau menyediakan sebutharga ukur tanah untuk anda, kami 
perlu membuat carian maklumat, kajian tapak lokasi dan mengambilkira 
banyak faktor terlebih dahulu. Setelah itu barulah kami boleh membuat 
campur tolak dan berikan satu senarai sebutharga untuk anda. Membuat 
kerja ukur tanah bukanlah seperti menjual barangan. Kami penyedia 
perkhidmatan professional dengan menggunakan teknologi terkini yang 
bukan murah harganya. Dengan perkhidmatan professional inilah menara 
Kuala Lumpur dan bangunan KLCC dapat berdiri tegak. Dengan perkhidmatan 
professional inilah 2 jambatan dapat dibina secara kukuh bersambungan 
untuk menghubungkan Pulau Pinang dengan daratan Semenanjung Malaysia. 
Dan dengan perkhidmatan professional inilah juga ramai pemilik tanah 
baru tahu dimana kedudukan sebenar batu sempadan tanahnya walaupun dia 
telah berpuluh tahun tinggal menetap di atas tanah tersebut.
NOTA KAKI
Penulisan
 pada kali ini hanya sekadar memberikan kefahaman dan penjelasan ringkas
 kepada prosedur dan kos anggaran kasar untuk kerja pecah geran tanah. 
Walau pun kami dah berkali kali beritahu yang kami tidak membuat kerja 
pecah bahagian yang membabitkan proses pecah geran tanah. Tetapi hampir 
setiap hari kami akan terima pertanyaan dan permintaan berkenaan kos 
harga untuk pecah geran tanah dari pelanggan.
KAMI TAK BUAT KERJA YANG BABITKAN URUSAN PECAH GERAN TANAH
Tetapi
 andaikata anda hendak membuat pecahan bahagian satu lot asal kepada 
beberapa bahagian plot-plot kecil sekadar hendak membahagi bahagikan 
tanah sahaja tanpa membabitkan urusan pecah geran tanah asal, itu kami 
boleh buat untuk anda. Jikalau tanah tersebut terletak dalam negeri 
Selangor atau KL anda bolehlah menghubungi kami secara telefon cakap 
atau sekadar kirim mesej pertanyaan melalui aplikasi WhatsApp dengan 
nombor telefon di atas.
NOTA RINGKASAN
Sebagai
 ringkasan, kos harga anggaran kasar untuk membuat pecahan geran tanah 
bagi mendapatkan 1 lot kecil baru dengan geran tanah berasingan adalah 
bergantung kepada banyak faktor terutamanya jumlah lot pecahan, luas 
masing-masing serta kategori gunatanah. 
Harga anggaran adalah di antara RM 5 – 10 ribu bagi setiap 1 lot baru dengan geran tanah baru. Semakin banyak lot pecahan yang dibuat semakin berkurangan harganya. Manakala
 tempoh siap kerja dari awal permohonan hingga mendapat kelulusan adalah
 di antara 8 – 14 bulan, paling cepat dan boleh berlanjutan hingga 
bertahun tahun jika tanah tersebut ada isu atau bermasalah. 
Manakala
 tempoh bayaran bagi kerja ukur tanah pecah geran tanah ini pula adalah 
secara berperingkat boleh diperbincangkan dan bermula dari bayaran awal 
untuk sebutharga anggaran bagi proses buka file serta pendaftaran 
permohonan. Seterusnya peringkat bayaran kepada kerja ukur tanah yang 
perlu dibuat dan bayaran kepada pihak-pihak berkuasa berkenaan. Bayaran 
terakhir adalah selepas siap kerja satu invois untuk jumlah harga 
muktamad dan baki bayaran akan dikeluarkan.
Ruang
 komen dibawah tidak akan dibuka untuk sebarang ulasan atau pertanyaan. 
Kami tidak membuat kerja ukur yang membabitkan proses pecah geran tanah 
jadi jikalau ada yang berminat untuk ketahui lebih lanjut serta 
mempunyai tanah yang hendak dibuat pecahan secara sempadan atau bahagian
 yang bertujuan untuk mendapatkan geran tanah berasingan, anda bolehlah 
klik link dibawah dan hubungilah mana-mana Jurukur Tanah Berlesen yang 
berdekatan melalui carian ikut negeri.
DI SEMENANJUNG MALAYSIA
No comments:
Post a Comment